Surah 42: Asy-Syura (51 – 53)

Penjelasan Bagaimana Allah Swt Menurunkan Wahyu

Surah 42: Asy-Syura (51 – 53)


Ayat 51

وَمَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُكَلِّمَهُ ٱللَّهُ إِلَّا وَحْيًا أَوْ مِن وَرَآئِ حِجَابٍ أَوْ يُرْسِلَ رَسُولًا فَيُوحِىَ بِإِذْنِهِۦ مَا يَشَآءُ ۚ إِنَّهُۥ عَلِىٌّ حَكِيمٌ

Dan tidak layak bagi seorang manusia berbicara dengan Allah kecuali dengan perantaraan wahyu atau dari belakang tabir atau dengan mengutuskan utusan (malaikat) dengan izin-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Tinggi lagi Maha Bijaksana.

Allah Swt menyatakan bahawa Dia tidak mungkin akan berkata-kata dengan manusia secara berdepan melainkan dengan perantaraan wahyu. Wahyu itu diberikan sama ada secara mimpi atau pun terus diilhamkan ke dalam hati para Rasul.

Dalam Shahih Ibni Hibban, daripada Rasulullah saw, baginda bersabda:

“Sesungguhnya Ruhul Qudus (Jibril as) telah membisikkan ke dalam diriku bahawa sesungguhnya jiwa itu tidak akan mati sehingga telah sempurna rezekinya dan masa ketentuan ajal(nya). Maka bertakwalah kamu kepada Allah dan berlaku baiklah dalam mencari rezeki.”

(HR. Ibni Hibban)

Maksud di belakang tabir ialah seseorang itu dapat berbicara dan mendengar perkataan Allah Swt tetapi tidak dapat melihat-Nya seperti yang terjadi kepada Nabi Musa as beberapa kali.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“…………..Dan kepada Musa Allah berkata-kata (secara langsung).”

An-Nisa’ 4:164

Allah Swt juga berkata-kata dengan para Nabi dan Rasul melalui malaikat. Malaikat yang ditugaskan menyampaikan wahyu-Nya kepada para Nabi dan Rasul ialah Jibril as.

Ayat 52

وَكَذَٰلِكَ أَوْحَيْنَآ إِلَيْكَ رُوحًا مِّنْ أَمْرِنَا ۚ مَا كُنتَ تَدْرِى مَا ٱلْكِتَـٰبُ وَلَا ٱلْإِيمَـٰنُ وَلَـٰكِن جَعَلْنَـٰهُ نُورًا نَّهْدِى بِهِۦ مَن نَّشَآءُ مِنْ عِبَادِنَا ۚ وَإِنَّكَ لَتَهْدِىٓ إِلَىٰ صِرَٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ

Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) roh (Al-Quran) dengan perintah Kami. Sebelumnya engkau tidaklah mengetahui apakah kitab (Al-Quran) dan apakah iman itu, tetapi Kami jadikan Al-Quran itu cahaya, dengan itu Kami memberi petunjuk kepada siapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya, engkau benar-benar membimbing (manusia) ke jalan yang lurus.

Ayat 53

صِرَٰطِ ٱللَّهِ ٱلَّذِى لَهُۥ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ ۗ أَلَآ إِلَى ٱللَّهِ تَصِيرُ ٱلْأُمُورُ

Iaitu jalan Allah yang kepunyaan-Nya-lah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Ingatlah bahawa segala urusan hanya kembali kepada Allah.

Allah Swt menyatakan demikianlah Dia wahyukan kepada Nabi Muhammad saw iaitu Al-Quran yang di turunkan dengan perantaraan Jibril dengan perintah-Nya.

Sedangkan sebelumnya baginda tidak mengetahui Al-Quran, iman dan syariat secara terperinci. Namun, Allah Swt menjadikan Al-Quran itu cahaya yang dapat menerangi dan menunjukkan jalan yang benar kepadanya.

Allah Swt menyatakan dengan Al-Quran ini Dia memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki untuk mendapat petunjuk di antara hamba-hamba-Nya.

Sesungguhnya Nabi Muhammad saw benar-benar membimbing manusia kepada jalan yang lurus dan jalan yang diredhai seperti yang telah diperintahkan oleh Allah Swt Pemilik langit dan bumi, yang mengatur dan menguruskan kedua-duanya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu bukti kebenaran daripada Rabbmu (Muhammad dengan mukjizatnya) dan telah Kami turunkan kepadamu cahaya yang terang benderang (Al-Quran).”

An-Nisa’ 4:174

Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan bahawa sesungguhnya hanya kepada-Nya-lah segala urusan dikembalikan. Kemudian di akhirat, Dia yang akan memberikan hukuman dan balasan yang adil tanpa sedikit pun penganiyaan. Ini adalah janji-Nya bagi orang-orang beriman dan ancaman kepada orang-orang yang kufur.

Al-Quran juga diibaratkan sebagai ‘cahaya’ kerana mengandungi keterangan-keterangan yang jelas yang mengeluarkan manusia daripada kegelapan syirik dan kekufuran. Kegelapan kufur dan syirik hanya boleh dihapuskan dengan cahaya Al-Quran.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“………………..Katakanlah, ‘Al-Quran adalah petunjuk dan penyembuh bagi orang-orang yang beriman. Bagi orang-orang yang tidak beriman, pada telinga mereka itu ada sumbatan, dan Al-Quran itu merupakan kegelapan buat mereka. Mereka itu (seperti) orang-orang yang dipanggil dari tempat yang jauh.’”

Fussilat 41:44