Bersabar dan Memaafkan Lebih Baik daripada Membalas Kejahatan
Surah 42: Asy-Syura (40 – 43)
Ayat 40
وَجَزَٰٓؤُا۟ سَيِّئَةٍ سَيِّئَةٌ مِّثْلُهَا ۖ فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ فَأَجْرُهُۥ عَلَى ٱللَّهِ ۚ إِنَّهُۥ لَا يُحِبُّ ٱلظَّـٰلِمِينَ
Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa, tetapi sesiapa memaafkan dan berbuat baik (kepada orang yang berbuat jahat), maka pahala buatnya daripada Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim.
Ayat ini adalah dalil bahawa orang-orang mukmin boleh membalas balik kepada orang yang melakukan kesalahan kepada mereka sama seperti kesalahan yang telah dilakukannya.
Namun sekiranya hendak mengambil tindakan untuk membalas semula, maka hendaklah mengikuti apa yang telah ditetapkan oleh Islam iaitu tidak boleh membalas melebihi apa yang telah dilakukan oleh pelaku tersebut dan ini adalah dalam konteks hukum qisas.
Islam telah memberikan jalan keadilan kepada manusia, maka hendaklah dilakukan dalam lingkungan yang dibenarkan sahaja.
Walau bagaimanapun, Allah Swt menyatakan memaafkan dan berbuat baik kepada orang yang melakukan kesalahan sehingga hubungan kasih sayang dan persahabatan kembali terjalin antara mereka adalah lebih baik dan lebih kekal daripada membalas dendam.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Kami telah menetapkan bagi mereka di dalamnya (Taurat) itu, bahawa nyawa dibalas dengan nyawa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi, dan luka-luka (pun) ada qisasnya (balasan yang sama). Sesiapa melepaskan (hak qisas)nya, maka itu (menjadi) penebus dosa baginya. Sesiapa yang tidak memutuskan perkara mengikut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”
Al-Ma’idah 5:45
Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah saw bersabda:
“Tidaklah Allah Swt menambahkan kepada hamba yang memaafkan kecuali (tambahan) kemuliaan.”
(HR. Muslim)
Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan Dia tidak menyukai orang-orang yang memulakan kezaliman terhadap seseorang dan melampaui batas dalam melakukan pembalasan kerana sikap melampaui batas dalam memberikan balasan itu juga merupakan suatu kezaliman.
Ayat 41
وَلَمَنِ ٱنتَصَرَ بَعْدَ ظُلْمِهِۦ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ مَا عَلَيْهِم مِّن سَبِيلٍ
Dan sesungguhnya orang-orang yang membela diri setelah dizalimi, tidak ada alasan untuk menyalahkan mereka.
Seterusnya, Allah Swt menyatakan orang yang telah mendapat kemenangan dalam pembelaan selepas dizalimi, tidak ada dosa baginya terhadap tindakan balas kepada yang menzaliminya. Ini kerana kemenangannya adalah berdasarkan kebenaran.
Ayat 42
إِنَّمَا ٱلسَّبِيلُ عَلَى ٱلَّذِينَ يَظْلِمُونَ ٱلنَّاسَ وَيَبْغُونَ فِى ٱلْأَرْضِ بِغَيْرِ ٱلْحَقِّ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Sesungguhnya kesalahan hanya ada pada orang-orang yang berbuat zalim kepada manusia dan melampaui batas di bumi tanpa (mengendahkan) kebenaran. Mereka itu mendapat seksaan yang pedih.
Sesungguhnya orang yang memulai kezaliman itulah yang patut dipertanggungjawabkan atau orang yang melampaui batas dalam melakukan pembalasan, melakukan kejahatan ke atas jiwa dan harta orang lain tanpa hak, takbur serta sombong dengan menganiaya orang lain dan merampas hak, mereka ini akan mendapat seksaan yang keras daripada Allah Swt.
Rasulullah saw bersabda:
“Apa yang diucapkan oleh dua orang yang saling mencela, maka dosanya ditanggung oleh orang yang memulai (mencela), selama orang yang dizalimi tidak melampaui batas (dalam membela diri).”
(HR. Muslim)
Ayat 43
وَلَمَن صَبَرَ وَغَفَرَ إِنَّ ذَٰلِكَ لَمِنْ عَزْمِ ٱلْأُمُورِ
Tetapi sesiapa yang bersabar dan memaafkan, sesungguhnya itu termasuk dalam perbuatan yang sangat mulia.
Namun Allah Swt menyatakan bahawa sifat sabar dan pemaaf itu termasuk perkara yang paling utama dituntut dalam syariat. Selepas memaafkan kesalahan, orang yang memberi maaf tidak boleh menceritakan kepada sesiapa pun tentang kesalahan tersebut. Itulah maksud غَفَرَ iaitu menutupi kesalahan setelah dimaafkan.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan jika kamu membalas, maka balaslah dengan (balasan) yang sama dengan seksaan yang ditimpakan kepadamu. Tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar.”
An-Nahl 16:126