Surah 42: Asy-Syura (27 – 28)

Kurnian Allah Swt kepada Hamba-hamba-Nya

Surah 42: Asy-Syura (27 – 28)


Ayat 27

وَلَوْ بَسَطَ ٱللَّهُ ٱلرِّزْقَ لِعِبَادِهِۦ لَبَغَوْا۟ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَـٰكِن يُنَزِّلُ بِقَدَرٍ مَّا يَشَآءُ ۚ إِنَّهُۥ بِعِبَادِهِۦ خَبِيرٌۢ بَصِيرٌ

Dan jikalau Allah melapangkan rezeki kepada hamba-hamba-Nya, tentulah mereka akan melampaui batas di muka bumi, tetapi Dia menurunkan apa yang dikehendaki-Nya dengan ukuran. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui (keadaan) hamba-hamba-Nya lagi Maha Melihat.

Allah Swt menyatakan sekiranya Dia melapangkan rezeki hamba-hamba-Nya dan memberi mereka rezeki melebihi keperluan mereka, nescaya hal itu akan mendorong mereka melakukan perbuatan zalim, melampaui batas, sombong dan angkuh di atas muka bumi seperti yang berlaku kepada Qarun dan Firaun.

Oleh itu, Allah Swt menurunkan rezeki kepada hamba-hamba-Nya dengan kadar tertentu mengikut kehendak dan bersesuaian dengan hikmah-Nya. Dalam semua ketentuan-Nya itu terdapat kebaikan kepada hamba-hamba-Nya, maka Dia menjadikan ada yang kaya dan ada yang miskin bagi orang-orang yang berhak ke atasnya.

Sesungguhnya Allah Swt Maha Mengetahui keadaan mereka dan apa yang layak bagi mereka sama ada diperluaskan rezeki mereka atau sebaliknya.

Ayat 28

وَهُوَ ٱلَّذِى يُنَزِّلُ ٱلْغَيْثَ مِنۢ بَعْدِ مَا قَنَطُوا۟ وَيَنشُرُ رَحْمَتَهُۥ ۚ وَهُوَ ٱلْوَلِىُّ ٱلْحَمِيدُ

Dan Dia-lah Yang menurunkan hujan sesudah mereka berputus asa dan menyebarkan rahmat-Nya. Dan Dia-lah Maha Pelindung lagi Maha Terpuji.

Seterusnya, Allah Swt menyatakan bahawa Dia menurunkan hujan dalam keadaan tertentu dan ukuran tertentu mengikut keperluan sesuatu tempat. Semua ini hanya dapat dilakukan-Nya kerana hanya Dia-lah yang memiliki kekuatan dan pengetahuan yang sempurna.

Allah Swt boleh sahaja untuk tidak menurunkan hujan kepada hamba-hamba-Nya sehingga mereka mengalami kemarau yang menyebabkan mereka berputus asa dan memperlihatkan kelemahan diri sendiri dan kelemahan ilah-ilah yang disembah selain-Nya.

Namun Allah Swt Yang Maha Pemurah tetap menurunkan hujan sehingga semua makhluk yang terdiri daripada manusia, binatang, serangga mendapat rahmat-Nya. Masing-masing akan mendapat rezeki dalam bentuk yang berbeza iaitu mengikut apa yang diperlukan. Dia-lah Maha Pelindung lagi Maha Terpuji.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Padahal sebelum hujan diturunkan kepada mereka, mereka benar-benar telah berputus asa.”

Ar-Rum 30:49