Surah 42: Asy-Syura (25 – 26)

Allah Swt Menerima Taubat dan Mengabulkan Doa

Surah 42: Asy-Syura (25 – 26)


Ayat 25

وَهُوَ ٱلَّذِى يَقْبَلُ ٱلتَّوْبَةَ عَنْ عِبَادِهِۦ وَيَعْفُوا۟ عَنِ ٱلسَّيِّـَٔاتِ وَيَعْلَمُ مَا تَفْعَلُونَ

Dan Dia-lah yang menerima taubat daripada hamba-hamba-Nya dan memaafkan kesalahan-kesalahan dan mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Allah Swt menyatakan bahawa Dia menerima taubat daripada hamba-hamba-Nya dan memaafkan kesalahan mereka sekiranya mereka bertaubat kepada-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui semua hal yang dilakukan oleh manusia sama ada berupa kebaikan mahupun keburukan.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

An-Nisa’ 4:110

Anas bin Malik ra mengatakan bahawa Rasulullah saw pernah bersabda:

“Sungguh Allah Swt lebih gembira dengan taubat salah seorang daripada kamu ketika dia bertaubat kepada-Nya (dibandingkan dengan kegembiraan) salah seorang di antara kamu yang sedang mengenderai binatang tunggangan di tengah padang pasir. Lalu tiba-tiba binatang tunggangannya lenyap sedangkan di atasnya terdapat bekalan makanan dan minumannya. Saat dia berputus asa mencarinya, dia menghampiri sebatang pohon dan berbaring di bawahnya. Tiba-tiba, binatang tunggangannya yang hilang tadi itu berada di sisinya. Lalu dia memegang tali pengikatnya dan dalam keadaan yang sangat gembira dia berkata, “Ya Allah, Engkau adalah hambaku dan aku adalah Rabb-Mu.” Dia tersalah ucap kerana tersangat gembira.”

(HR. Muslim)

Daripada Abu Hurairah ra Rasulullah saw bersabda:

“Sungguh Allah lebih gembira dengan taubat seorang hamba daripada salah seorang daripada kamu yang menemukan barangnya yang hilang di tempat yang dia khuatir dia akan mati kerana kehausan.”

(HR. Muslim)

Ayat 26

وَيَسْتَجِيبُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَيَزِيدُهُم مِّن فَضْلِهِۦ ۚ وَٱلْكَـٰفِرُونَ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ

Dan Dia memperkenankan (doa) orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal soleh dan menambah (pahala) kepada mereka daripada kurniaan-Nya. Dan orang-orang yang kafir bagi mereka azab yang sangat keras.

Kemudian Allah Swt mengatakan bahawa Dia mengabulkan doa orang-orang beriman dan melakukan ketaatan kepada-Nya, malah Dia melimpahkan ganjaran dengan kurniaan-Nya yang lebih besar daripada apa yang mereka minta atau yang berhak mereka dapatkan.

Manakala orang-orang yang ingkar, iaitu yang melanggar perintah-Nya dan mengerjakan larangan-Nya, mereka akan mendapat azab yang sangat keras di akhirat kelak sebagai balasan terhadap keingkaran mereka.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku berada dekat dengan mereka. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka memperoleh kebenaran.”

Al-Baqarah 2:186