Rezeki dan Kurniaan Allah Swt di Dunia dan di Akhirat
Surah 42: Asy-Syura (19 – 22)
Ayat 19
ٱللَّهُ لَطِيفٌۢ بِعِبَادِهِۦ يَرْزُقُ مَن يَشَآءُ ۖ وَهُوَ ٱلْقَوِىُّ ٱلْعَزِيزُ
Allah Maha Lembut terhadap hamba-hamba-Nya, Dia memberi rezeki kepada yang dikehendaki-Nya dan Dia-lah Yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa.
Allah Swt menyatakan sifat-Nya Yang Maha Lembut terhadap hamba-hamba-Nya dengan melimpahkan banyak rahmat dan kebaikan kepada mereka. Dia-lah yang memberikan rezeki kepada hamba-hamba-Nya sama ada mereka itu mukmin atau kafir. Semuanya dikurniakan rezeki meskipun mereka bermaksiat.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allah-lah yang memberikan rezekinya, dan Dia mengetahui tempat penyimpanannya. Semuanya tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuzh).”
Hud 11:6
Ayat 20
مَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ ٱلْـَٔاخِرَةِ نَزِدْ لَهُۥ فِى حَرْثِهِۦ ۖ وَمَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ ٱلدُّنْيَا نُؤْتِهِۦ مِنْهَا وَمَا لَهُۥ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ مِن نَّصِيبٍ
Sesiapa yang mahukan keuntungan di akhirat akan Kami tambah keuntungan itu baginya dan sesiapa yang mahukan keuntungan di dunia Kami berikan kepadanya sebahagian daripada keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagian pun di akhirat.
Allah Swt menyatakan sesiapa yang menghendaki keuntungan di akhirat melalui amal-amal yang dilakukannya di dunia ini dengan niat yang ikhlas, Dia akan tambah dan lipatgandakan keuntungan baginya.
Sesiapa yang menghendaki keuntungan di dunia melalui usaha dan kegiatan yang hanya semata-semata ingin mendapatkan keuntungan dunia, Allah Swt juga akan berikan kepadanya sebahagian daripada hasil usahanya itu berupa keuntungan dunia sesuai dengan kehendak-Nya, namun dia tidak akan mendapat bahagiannya di akhirat kelak.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Sesiapa yang menghendaki kehidupan sekarang (duniawi), maka Kami berikan baginya di (dunia) ini apa yang Kami kehendaki bagi orang yang Kami kehendaki. Kemudian Kami sediakan baginya (di akhirat) Neraka Jahannam, dia akan memasukinya dalam keadaan terhina dan terusir. Dan sesiapa menghendaki kehidupan akhirat serta berusaha ke arah itu dengan bersungguh-sungguh, dalam keadaan beriman, maka usahanya itu akan dibalas dengan baik. Kepada setiap (golongan), baik (golongan) ini (yang menginginkan dunia) mahupun (golongan) itu (yang menginginkan akhirat), Kami berikan pertolongan daripada kemurahan Rabbmu. Dan kemurahan Rabbmu tidak dapat dihalang. Perhatikan bagaimana Kami melebihkan sebahagian (yang lain). Dan kehidupan akhirat lebih tinggi darjatnya dan lebih besar keutamaannya.”
Al-Isra’ 17:18-21
Daripada Ubay bin Ka’ab ra, dia berkata Rasulullah saw bersabda:
“Berilah berita gembira kepada umat ini dengan kemuliaan, ketinggian, kemenangan dan kekuasaan di muka bumi. Sesiapa di antara mereka yang beramal dengan amal akhirat bertujuan untuk meraih dunia, nescaya dia tidak akan mendapatkan sedikit pun bahagian di akhirat.”
(HR. Ahmad)
Ayat 21
أَمْ لَهُمْ شُرَكَـٰٓؤُا۟ شَرَعُوا۟ لَهُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَنۢ بِهِ ٱللَّهُ ۚ وَلَوْلَا كَلِمَةُ ٱلْفَصْلِ لَقُضِىَ بَيْنَهُمْ ۗ وَإِنَّ ٱلظَّـٰلِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang menetapkan peraturan agama yang tidak diizinkan Allah? Dan sekiranya tidak ada ketetapan (menangguhkan azab daripada Allah) tentulah mereka telah dibinasakan. Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan mendapat azab yang amat pedih.
Seterusnya dalam ayat ini, Allah Swt menjelaskan orang-orang yang hanya ingin mendapat keuntungan dunia ialah orang-orang yang tidak mengikuti agama yang lurus yang disyariatkan oleh Allah Swt sebaliknya berbuat syirik. Mereka mengikuti syariat-syariat syaitan daripada golongan jin dan manusia seperti mengharamkan apa yang mereka haramkan ke atas diri mereka sendiri berupa bahirah, saibah, wasilah dan ham serta menghalalkan makan bangkai dan darah, perjudian dan lain-lain kesesatan lagi.
Firman Allah Swt dalam surah yang lain:
“Allah sekali-kali tidak pernah mensyariatkan adanya bahirah, saibah, wasilah dan ham. Akan tetapi orang-orang kafir melakukan pendustaan terhadap Allah, dan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal.”
Al-Ma’idah 5:103
Ayat 22
تَرَى ٱلظَّـٰلِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا كَسَبُوا۟ وَهُوَ وَاقِعٌۢ بِهِمْ ۗ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ فِى رَوْضَاتِ ٱلْجَنَّاتِ ۖ لَهُم مَّا يَشَآءُونَ عِندَ رَبِّهِمْ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ ٱلْفَضْلُ ٱلْكَبِيرُ
Kamu lihat orang-orang yang zalim sangat ketakutan disebabkan kejahatan-kejahatan yang telah mereka kerjakan, sedang seksaan menimpa mereka. Dan orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal soleh (berada) di dalam taman-taman syurga, mereka memperoleh apa yang mereka kehendaki di sisi Rabb mereka. Yang demikian itu adalah kurniaan yang besar.
Allah Swt menjelaskan tentang balasan bagi orang-orang yang zalim dan mukmin. Pada saat orang-orang musyrik dinampakkan azab pada Hari Kiamat, mereka benar-benar berada dalam ketakutan dan kebimbangan. Ini merupakan kerugian yang amat besar bagi orang-orang kafir.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Sesungguhnya Kami telah ingatkan kamu (orang kafir) azab yang hampir, pada hari manusia melihat apa yang telah dilakukan oleh kedua-dua belah tangannya, lalu orang kafir berkata, ‘Alangkah baiknya jika aku dahulu menjadi tanah.’”
An-Naba’ 78:40
Manakala orang-orang yang beriman kepada Allah Swt dan mempercayai Hari Kiamat serta mengerjakan amal soleh, mereka berada di dalam taman-taman syurga dengan segala kenikmatannya. Mereka mendapat apa yang mereka kehendaki di sisi-Nya sebagai balasan atas ketaatan mereka. Demikian itu adalah kurniaan yang besar yang di anugerahkan Allah Swt kepada mereka.