Kedengkian adalah Salah Satu Sebab Berlakunya Perselisihan
Surah 42: Asy-Syura (14)
Ayat 14
وَمَا تَفَرَّقُوٓا۟ إِلَّا مِنۢ بَعْدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلْعِلْمُ بَغْيًۢا بَيْنَهُمْ ۚ وَلَوْلَا كَلِمَةٌ سَبَقَتْ مِن رَّبِّكَ إِلَىٰٓ أَجَلٍ مُّسَمًّى لَّقُضِىَ بَيْنَهُمْ ۚ وَإِنَّ ٱلَّذِينَ أُورِثُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ مِنۢ بَعْدِهِمْ لَفِى شَكٍّ مِّنْهُ مُرِيبٍ
Dan mereka tidak berpecah belah melainkan sesudah datangnya pengetahuan (kebenaran yang disampaikan oleh para Nabi) kepada mereka kerana kedengkian antara mereka. Jika tidak kerana sesuatu ketetapan yang telah ada dahulunya daripada Rabbmu (untuk menangguhkan azab) sehingga sampai waktu yang ditentukan, pastilah mereka telah dibinasakan. Dan sesungguhnya orang-orang yang mewarisi kitab (Taurat dan Injil) sesudah mereka, benar-benar berada dalam keraguan yang mendalam tentang kitab itu.
Manusia tidak berselisih dalam masalah agama melainkan setelah mereka mengetahui kebenaran dan hakikat yang sebenar. Mereka lebih memilih perpecahan dan perselisihan daripada bersatu padu dalam berpegang kepada agama yang benar. Oleh itu, mereka tetap berada dalam kederhakaan, kesyirikan, sikap melampaui batas, kezaliman dan disibukkan oleh dunia semata-mata kerana terdapat kedengkian antara mereka.
Kemudian Allah Swt menyatakan dengan hikmah-Nya, Dia menangguhkan seksaan bagi orang-orang musyrik sehingga Hari Kiamat dan menunda pemberian keputusan di antara pihak-pihak yang berselisih sampai Hari Perhitungan Amal. Sekiranya Dia tidak menangguhkan seksaan tersebut nescaya Dia telah menyegerakan hukuman kepada mereka di dunia lagi.
Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang yang mewarisi kitab Taurat dan Injil benar-benar berada dalam keraguan terhadap kitab dan ajaran para Rasul.
Perselisihan kaum Yahudi dan Nasrani terhadap agama Allah Swt terjadi setelah datang kepada mereka kebenaran Al-Quran yang dibawa oleh Rasulullah saw. Sebahagian daripada mereka beriman kepadanya dan sebahagian lagi mengkufurinya. Hal ini berlaku kerana kedengkian, pengingkaran dan berasa berat dengan ajaran Islam.
Maksud ayat, “Orang-orang yang mewarisi kitab (Taurat dan Injil) setelah mereka” dalam ayat ini ialah generasi yang datang setelah generasi awal. Generasi awal adalah orang-orang yang terdahulu menerima kitab iaitu orang-orang Yahudi dan Nasrani yang mendustakan kebenaran. Generasi sesudah mereka tidak yakin dan ragu-ragu dalam bab keimanan apabila Al-Quran mula diturunkan. Mereka hanya mengikuti perlakuan orang-orang yang terdahulu dan nenek moyang mereka tanpa hujjah dan bukti. Mereka berada dalam keadaan kebingungan yang amat sangat dan penyimpangan yang jauh daripada syariat.