Surah 42: Asy-Syura (13)

Para Rasul Mengajak Umat untuk Mentauhidkan Allah Swt

Surah 42: Asy-Syura (13)


Ayat 13

شَرَعَ لَكُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا وَصَّىٰ بِهِۦ نُوحًا وَٱلَّذِىٓ أَوْحَيْنَآ إِلَيْكَ وَمَا وَصَّيْنَا بِهِۦٓ إِبْرَٰهِيمَ وَمُوسَىٰ وَعِيسَىٰٓ ۖ أَنْ أَقِيمُوا۟ ٱلدِّينَ وَلَا تَتَفَرَّقُوا۟ فِيهِ ۚ كَبُرَ عَلَى ٱلْمُشْرِكِينَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَيْهِ ۚ ٱللَّهُ يَجْتَبِىٓ إِلَيْهِ مَن يَشَآءُ وَيَهْدِىٓ إِلَيْهِ مَن يُنِيبُ

Dia telah mensyariatkan kepadamu (Muhammad) tentang agama apa yang telah diwasiatkan-Nya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan ‘Isa iaitu tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah belah tentangnya. Amat berat bagi orang-orang musyrik agama yang kamu serukan kepada mereka. Allah memilih orang yang dikehendaki-Nya kepada agama itu dan memberi petunjuk kepada orang yang kembali (kepada-Nya).

Allah Swt menyebutkan Rasul pertama sesudah Nabi Adam as iaitu Nabi Nuh as dan rasul yang terakhir, iaitu Nabi Muhammad saw.

Kemudian Allah Swt menyebutkan pula Rasul-rasul di antara mereka berdua yang bergelar Ulul ‘Azmi. Mereka adalah Nabi Ibrahim as, Nabi Musa as dan Nabi ‘Isa putera Maryam as. Ini bermaksud ayat di atas menyebutkan semua rasul Ulul ‘Azmi yang seramai lima orang sebagaimana dalam firman-Nya:

“Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil perjanjian daripada nabi-nabi dan daripada kamu (sendiri), daripada Nuh, Ibrahim, Musa dan ‘Isa putera Maryam, Kami telah mengambil daripada mereka perjanjian yang teguh.”

Al-Ahzab 33:7

Agama yang diwasiatkan oleh Allah Swt kepada para Rasul ialah beribadah kepada-Nya Yang Maha Esa dan tidak ada sekutu bagi-Nya, mentaati-Nya, membenarkan para Rasul-Nya, kitab-kitab-Nya, Hari Kiamat dan lain-lain yang berkaitan dengan pokok aqidah, ibadah dan akhlak. Ini bermaksud Islam adalah agama terdahulu yang dibawa oleh semua para Rasul sebelum baginda diutuskan.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil perjanjian daripada nabi-nabi dan daripada kamu (sendiri), daripada Nuh, Ibrahim, Musa dan ‘Isa putera Maryam, Kami telah mengambil daripada mereka perjanjian yang teguh.”

Al-Ahzab 33:7

“Dan Kami tidak mengutus seorang Rasul pun sebelum kamu (Muhammad), melainkan Kami wahyukan kepadanya, ‘Bahawasanya tidak ada Ilah (yang berhak disembah) melainkan Aku, maka sembahlah olehmu sekalian akan Aku.’”

Al-Anbiya’ 21:25

Adapun hukum-hukum syariat-Nya berubah-ubah pada setiap Rasul yang sesuai dengan keadaan dan kemaslahatan umat pada masa tersebut.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“………….Untuk tiap-tiap umat di antara kamu, Kami berikan peraturan dan jalan yang terang………..”

Al-Ma’idah 5:48

Rasulullah saw bersabda:

“Kami para Nabi adalah saudara sebapa dan berlainan ibu, namun agama kami satu.”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Kemudian Allah Swt menyatakan agama Islam yang berlandaskan kepada perintah agar setiap manusia mengesakan Allah Ta’ala tidak mungkin boleh bersatu dengan kesyirikan. Namun sebaliknya berlaku pada agama yang mensyirikkan-Nya. Oleh itu, berat bagi orang-orang musyrik untuk menyebut kalimah tauhid iaitu bersaksi bahawa tiada Ilah selain Allah Swt.

Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan bahawa Dia memilih untuk agama-Nya orang yang mahu kembali ke jalan-Nya dan Dia akan membimbing mereka kepada agama-Nya bagi orang yang pada diri mereka terdapat kebaikan.