Surah 42: Asy-Syura (10 – 12)

Allah Swt adalah Pencipta, Pelindung dan Pembuat Keputusan

Surah 42: Asy-Syura (10 – 12)


Ayat 10

وَمَا ٱخْتَلَفْتُمْ فِيهِ مِن شَىْءٍ فَحُكْمُهُۥٓ إِلَى ٱللَّهِ ۚ ذَٰلِكُمُ ٱللَّهُ رَبِّى عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ

Dan apa juga perkara yang kamu perselisihkan padanya (berkenaan agama), maka keputusannya (terserah) kepada Allah. (Yang memiliki sifat-sifat demikian) itulah Allah Rabbku. Kepada-Nya-lah aku bertawakkal dan kepada-Nya aku kembali.

Setelah arahan untuk tidak mempedulikan orang-orang kafir ini, Allah Swt melarang orang-orang beriman berselisih dengan mereka dalam urusan agama.

Apabila ada perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara yang berkaitan dengan agama Allah Swt, hendaklah dikembalikan kepada-Nya. Keputusan-Nya boleh dirujuk melalui kitab-Nya (Al-Quran) dan juga sunnah Rasul-Nya. Keputusan-Nya adalah terbaik kerana Dia-lah yang menetapkan mana yang hak dan mana yang batil serta apa sahaja peraturan-Nya adalah untuk kebaikan makhluk-Nya.

Lalu Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw mengatakan kepada orang-orang kafir bahawa Dia-lah yang menetapkan sesuatu keputusan, maka hanya kepada-Nya-lah baginda bertawakkal, menjadikan hanya Allah sebagai tempat baginda bergantung harap dalam segala urusan dan bertaubat.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“……….Kemudian jika kamu berbeza pendapat tentang sesuatu perkara, maka kembalikanlah kepada Allah (Al-Quran) dan rasul (sunnahnya) jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian itu adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih baik akibatnya.”

An-Nisa’ 4:59

Ayat 11

فَاطِرُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۚ جَعَلَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَٰجًا وَمِنَ ٱلْأَنْعَـٰمِ أَزْوَٰجًا ۖ يَذْرَؤُكُمْ فِيهِ ۚ لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌ ۖ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ

(Allah) Pencipta langit dan bumi. Dia menjadikan pasangan-pasangan bagi kamu daripada jenis kamu sendiri dan daripada jenis binatang ternakan (juga) pasangan-pasangan. Dijadikan-Nya kamu berkembang biak dengan jalan itu. Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia, dan Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Ayat 12

لَهُۥ مَقَالِيدُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۖ يَبْسُطُ ٱلرِّزْقَ لِمَن يَشَآءُ وَيَقْدِرُ ۚ إِنَّهُۥ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌ

Kepunyaan-Nya-lah perbendaharaan langit dan bumi, Dia melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan menyempitkan(nya). Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.

Dalam ayat-ayat ini Allah Swt menyatakan kekuasaan-Nya iaitu:

▪️   Dia-lah yang mencipta langit dan bumi dengan segala keindahannya tanpa ada contoh sebelumnya dan termasuklah segala ciptaan-Nya yang ada pada kedua-duanya.

▪️   Dia mencipta manusia dan menganugerahkan mereka pasangan-pasangan lelaki dan perempuan daripada jenis mereka sendiri supaya mereka berasa tenteram dengannya dan dengan pasangan masing-masing itu mereka berkembang biak, dari satu generasi ke satu generasi yang seterusnya. Hal ini juga terjadi kepada binatang dan ciptaan-Nya yang lain. Ini sebagaimana firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Maha Suci (Allah) yang telah menciptakan semuanya berpasang-pasangan, baik daripada apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan daripada diri mereka sendiri mahupun daripada apa yang tidak mereka ketahui.”

Yasin 36:36

“Dan Dia-lah yang menjadikan bumi terbentang luas dan menjadikan padanya gunung-ganang (berdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir) dan daripada tiap-tiap jenis buah-buahan, Dia jadikan padanya pasangan, dua-dua……….”

Ar-Ra’d 13:3

▪️   Tiada suatu pun yang menyamai Allah Swt sama ada dari segi Zat-Nya, sifat-sifat-Nya, hikmah, kekuasaan dan ilmu-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat segala sesuatu baik yang kecil mahupun yang besar, yang tersembunyi ataupun yang nyata.

▪️   Allah-lah pemilik apa yang ada di langit dan di bumi. Dia-lah yang memegang kunci perbendaharaan dan Dia-lah sahaja yang dapat menentukan kepada siapa dikurniakan rezeki. Apa juga kurniaan dan rahmat-Nya tiada siapa yang dapat menahannya dan apa juga yang ditahan-Nya tiada siapa yang dapat memberikannya.

Oleh itu hamba-hamba-Nya tidak boleh beranggapan bahawa ada selain-Nya yang dapat memberi rezeki atau menahan rezeki. Sesungguhnya Dia-lah yang meluaskan rezeki dan menyempitkan rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki.

Allah Swt Maha Mengetahui sesiapa di antara hamba-hamba-Nya yang memerlukan rezeki dan Dia akan mengurniakan rezeki tersebut. Namun sekiranya dalam pengetahuan-Nya dengan diluaskan rezeki kepada hamba-Nya itu mendatangkan mudharat kepadanya, maka dibatasi-Nya-lah rezeki tersebut. Tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi daripada pengetahuan-Nya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan sekiranya Allah melapangkan rezeki kepada hamba-hamba-Nya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi, tetapi Dia menurunkan (rezeki-Nya) menurut ukuran yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Teliti terhadap (keadaan) hamba-hamba-Nya, lagi Maha Melihat.”

Asy-Syura 42:27