Manusia Diberikan Balasan Sesuai dengan Amalan Masing-masing
Surah 41: Fussilat (46)
Ayat 46
مَّنْ عَمِلَ صَـٰلِحًا فَلِنَفْسِهِۦ ۖ وَمَنْ أَسَآءَ فَعَلَيْهَا ۗ وَمَا رَبُّكَ بِظَلَّـٰمٍ لِّلْعَبِيدِ
Sesiapa yang mengerjakan kebajikan maka (pahalanya) untuk dirinya sendiri dan sesiapa berbuat kejahatan maka (dosanya) menjadi tanggungan dirinya sendiri. Dan Rabbmu sama sekali tidak menzalimi hamba-hamba-Nya.
Allah Swt menyatakan sesiapa yang beramal dengan ketaatan kepada Allah Swt, pahala amalannya untuk dirinya sendiri dan dia terselamat daripada neraka.
Sesiapa yang derhaka kepada Allah Swt kerana berbuat maksiat, dialah yang menanggung dosanya kerana dia mencari kemurkaan Allah Swt . Oleh itu dia layak mendapat hukuman.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Maka sesiapa yang mengerjakan kebaikan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan sesiapa mengerjakan kejahatan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.”
Al-Zalzalah 99:7-8
“Sesungguhnya Allah tidak menzalimi manusia sedikit pun, akan tetapi manusia itulah yang menzalimi diri mereka sendiri.”
Yunus 10:44