Tidaklah Sama Kebaikan dengan Kejahatan
Surah 41: Fussilat (33 – 35)
Ayat 33
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَآ إِلَى ٱللَّهِ وَعَمِلَ صَـٰلِحًا وَقَالَ إِنَّنِى مِنَ ٱلْمُسْلِمِينَ
Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan kebajikan serta berkata, “Sesungguhnya aku termasuk di kalangan orang-orang muslim (yang berserah diri)?”
Allah Swt menyatakan bahawa tiada yang lebih baik daripada orang yang memiliki tiga ciri di bawah:
▪️ Mengajak manusia mengesakan Allah Swt.
Tidak ada yang lebih baik kata-kata seseorang itu daripada kata-katanya yang menyeru manusia kepada mentauhidkan Allah Swt dan mentaati-Nya.
▪️ Gemar mengerjakan amal soleh.
Ayat ini bersifat umum iaitu bermaksud hamba-hamba Allah Swt yang bukan sahaja beramal soleh tetapi juga menyeru manusia ke jalan-Nya. Rasulullah saw adalah manusia pilihan Allah Swt yang paling utama yang menyeru kepada-Nya dalam perkara ini.
Ini adalah satu tugas dan amalan yang sangat mulia kerana mengajak manusia kepada agama Islam.
▪️ Menjadikan Islam sebagai agama dan manhaj kehidupannya.
Ayat 34
وَلَا تَسْتَوِى ٱلْحَسَنَةُ وَلَا ٱلسَّيِّئَةُ ۚ ٱدْفَعْ بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ فَإِذَا ٱلَّذِى بَيْنَكَ وَبَيْنَهُۥ عَدَٰوَةٌ كَأَنَّهُۥ وَلِىٌّ حَمِيمٌ
Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik, apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.
Setelah Allah Swt menerangkan secara jelas hubungan manusia dengan-Nya, dalam ayat ini Dia menerangkan pula adab berdakwah dan memperkuatkan hubungan antara manusia.
Tidaklah sama ajaran tauhid dan ajaran syirik serta tidak sama perbuatan baik dan perbuatan jahat. Begitu juga tidak sama sifat lembut dan sifat kasar. Seorang pendakwah hendaklah mempunyai sifat yang lembut, berdakwah secara hikmah dan meninggalkan sifat-sifat yang kasar.
Akhlak yang mulia adalah apabila kejahatan dibalas dengan kebaikan dan terus bersabar dengan harapan suatu masa nanti orang yang didakwah itu akan menerima dakwah tersebut dan menjadi kawan yang rapat.
Ayat 35
وَمَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ٱلَّذِينَ صَبَرُوا۟ وَمَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ
Dan (sifat-sifat yang baik itu) tidak akan dianugerahkan, kecuali kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan kecuali kepada orang-orang yang mempunyai keuntungan yang besar.
Kemudian Allah Swt menjelaskan pengaruh perbuatan baik dan kesannya untuk jangka panjang. Alangkah indahnya akibat daripada perlakuan baik ini, orang yang memusuhi berubah menjadi teman rapat.
Namun sifat-sifat yang baik seperti membalas kejahatan dengan kebaikan dan berlemah lembut itu hanya dapat dilakukan oleh orang-orang yang sabar sahaja. Hati mereka tetap teguh menghadapi segala perkara yang tidak menyenangkan. Oleh itu, mereka bakal mendapat kebaikan di dunia dan pahala yang besar menunggu mereka di akhirat.
Daripada Ibnu ‘Abbas ra, Rasulullah saw bersabda:
“Allah memerintahkan orang-orang mukmin untuk bersabar ketika marah dan berlaku bijak ketika menghadapi perbuatan orang-orang yang jahil, serta memaafkan mereka. Apabila melakukan demikian, Allah akan menjaga orang-orang mukmin itu daripada syaitan, dan musuh-musuh mereka akan tunduk kepada mereka seolah-olah seperti teman yang setia.”
(HR. Al-Bukhari)