Surah 41: Fussilat (30 – 32)

Berita Gembira bagi Orang yang Beriman, Bertauhid dan Istiqamah

Surah 41: Fussilat (30 – 32)


Ayat 30

إِنَّ ٱلَّذِينَ قَالُوا۟ رَبُّنَا ٱللَّهُ ثُمَّ ٱسْتَقَـٰمُوا۟ تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا۟ وَلَا تَحْزَنُوا۟ وَأَبْشِرُوا۟ بِٱلْجَنَّةِ ٱلَّتِى كُنتُمْ تُوعَدُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang berkata, “Rabb kami adalah Allah,” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat-malaikat akan turun kepada mereka (dengan berkata), “Janganlah kamu berasa takut dan janganlah kamu bersedih hati, bergembiralah kamu dengan syurga yang telah dijanjikan kepadamu.”

Dalam ayat-ayat yang lepas, Allah Swt telah menyebutkan tentang teman-teman orang-orang kafir yang menjerumuskan mereka ke dalam neraka, maka dalam ayat ini Dia menjelaskan sifat orang-orang yang beriman itu ialah orang-orang yang berikrar bahawa Rabb mereka adalah Allah. Ini bermaksud mereka mengaku bertuhankan Allah Swt dan mengesakan-Nya, tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu selain-Nya.

Apabila mereka telah berikrar, mereka dengan serta merta istiqamah iaitu tetap teguh dalam keimanan, ibadat dan iktikad.

Daripada Sufyan bin ‘Abdillah Ath-Thaqafi, beliau berkata, “Wahai Rasulullah, beritahulah kepadaku tentang sesuatu perkara yang aku boleh berpegang teguh dengannya.” Rasulullah saw bersabda:

“Katakanlah, ‘Rabbku ialah Allah.’ Kemudian teguhkanlah pendirianmu (istiqamah).”

(HR. Ahmad)

Saat hampir kepada kematian, malaikat mengucapkan kepada orang-orang beriman agar tidak berasa takut untuk menghadapi alam kehidupan seterusnya di akhirat dan tidak bersedih atas perkara dunia yang akan mereka tinggalkan seperti anak, isteri, keluarga, harta benda atau agama. Ini kerana Allah Swt akan menggantikan semuanya itu dengan yang lebih baik lagi.

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Al-Bara’ ra, beliau mengatakan bahawa para malaikat mengucapkan kepada roh seseorang mukmin, “Keluarlah wahai roh yang baik di dalam jasad yang baik. Kamu telah memakmurkan jasad itu. Keluarlah menuju rauh (ketenteraman) dan raihan (rezeki yang baik dan syurga yang penuh dengan kenikmatan), serta Rabb yang tidak murka.”

Ayat 31

نَحْنُ أَوْلِيَآؤُكُمْ فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَفِى ٱلْـَٔاخِرَةِ ۖ وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَشْتَهِىٓ أَنفُسُكُمْ وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَدَّعُونَ

Kami-lah Pelindung-Pelindungmu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat, di dalamnya (syurga) kamu mendapat apa sahaja yang kamu inginkan dan yang kamu minta.

Ayat 32

نُزُلًا مِّنْ غَفُورٍ رَّحِيمٍ

Sebagai penghormatan (bagimu) daripada (Allah) Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Para malaikat juga mengatakan kepada orang-orang beriman pada saat mereka hampir kepada kematian, bahawa mereka adalah wali-wali kepada orang beriman yang menjadi teman mereka semasa di dunia. Mereka meluruskan, membimbing dan menjaga orang-orang beriman dengan perintah daripada Allah Swt. Mereka akan terus bersama di akhirat nanti, akan menenangkan daripada rasa takut dalam kubur, pada Hari Kebangkitan dan mengiringi mereka ke syurga yang penuh dengan kenikmatan, yang merupakan pemberian daripada Rabb Yang Maha Mengampuni segala dosa, lagi Maha Penyayang.