Anggota Badan Manusia akan Menjadi Saksi pada Hari Kiamat
Surah 41: Fussilat (19 – 24)
Ayat 19
وَيَوْمَ يُحْشَرُ أَعْدَآءُ ٱللَّهِ إِلَى ٱلنَّارِ فَهُمْ يُوزَعُونَ
Dan (ingatlah) hari dikumpulkan musuh-musuh Allah ke neraka, mereka berbaris dengan teratur.
Ayat 20
حَتَّىٰٓ إِذَا مَا جَآءُوهَا شَهِدَ عَلَيْهِمْ سَمْعُهُمْ وَأَبْصَـٰرُهُمْ وَجُلُودُهُم بِمَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ
Sehingga bila mereka sampai ke neraka, pendengaran, penglihatan dan kulit mereka menjadi saksi terhadap apa yang telah mereka lakukan.
Kemudian Allah Swt menceritakan keadaan orang-orang kafir pada Hari Kiamat kelak. Setelah sampai ke neraka, mereka ditanya tentang perbuatan-perbuatan yang mereka lakukan ketika di dunia dahulu.
Ketika itu, Allah Swt mengizinkan anggota badan mereka seperti telinga, mata dan kulit mereka menjadi saksi terhadap apa yang mereka lakukan ketika di dunia dahulu.
Setiap amal perbuatan yang telah mereka lakukan sama ada yang awal mahupun yang akhir, tidak ada satu pun tersembunyi kerana yang bersaksi dan bercakap di dalam neraka itu adalah anggota tubuh dan kulit mereka sendiri.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Pada hari ini Kami tutup mulut mereka, sementara tangan mereka akan berkata kepada Kami dan kaki mereka akan memberi kesaksian terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan.”
Yasin 36:65
Ayat 21
وَقَالُوا۟ لِجُلُودِهِمْ لِمَ شَهِدتُّمْ عَلَيْنَا ۖ قَالُوٓا۟ أَنطَقَنَا ٱللَّهُ ٱلَّذِىٓ أَنطَقَ كُلَّ شَىْءٍ وَهُوَ خَلَقَكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ
Dan mereka berkata kepada kulit mereka, “Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?” (Kulit) mereka menjawab, “Allah yang menjadikan segala sesuatu dapat berkata-kata, (juga) telah menjadikan kami dapat berkata-kata dan Dia-lah yang menciptakan kamu pada kali pertama dan hanya kepada-Nya-lah kamu dikembalikan.”
Allah Swt menyatakan orang-orang kafir itu mencela anggota badan mereka apabila anggota badan mereka sendiri menjadi saksi atas segala perlakuan mereka ketika di dunia dahulu.
Lalu anggota badan mereka menjawab bahawa yang menjadikan mereka dapat berbicara adalah Allah Swt dan Dia Maha Berkuasa menjadikan semua makhluk-Nya berbicara. Sebagaimana di dunia dahulu Dia menjadikan mulut dapat berbicara, Dia juga dapat menjadikan anggota badan itu berbicara di akhirat.
Daripada Anas bin Malik ra, beliau mengatakan bahawa pada suatu hari Rasulullah saw tertawa dan tersenyum, lalu bersabda:
“Tidakkah kalian mahu bertanya kepadaku mengapa aku tertawa?” Lalu para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, mengapa engkau tertawa?” Baginda menjawab, “Aku berasa takjub dengan bantahan seorang hamba terhadap Rabb-Nya pada Hari Kiamat. Hamba itu bertanya, ‘Wahai Rabbku, bukankah Engkau telah berjanji kepadaku untuk tidak berbuat zalim terhadapku?’ Allah berfirman, ‘Benar.’ Lalu dia berkata, ‘Sesungguhnya aku tidak menerima seorang saksi kecuali diriku sendiri.’ Lalu Allah berfirman, ‘Bukankah telah cukup Aku sebagai saksi juga para malaikat mulia yang mencatat?’ Anas berkata, ‘Baginda mengulang-ulang perkataan ini terus menerus dan kemudian bersabda, ‘Lalu Allah mengunci mulut hamba itu dan berkata-katalah anggota-anggota badannya. Maka dia berkata, ‘Terkutuklah dan celakalah kalian (wahai anggota tubuh), padahal demi kalian aku membantah.’”
(HR. Muslim dan Nasa’i)
Sebagaimana Allah Swt dapat mengadakan makhluk pada kali pertama, sudah pasti Dia dapat mengadakannya pula pada kali kedua dengan membangkitkan semuanya dari kubur. Manusia nanti akan kembali kepada Allah untuk menerima balasan.
Ayat 22
وَمَا كُنتُمْ تَسْتَتِرُونَ أَن يَشْهَدَ عَلَيْكُمْ سَمْعُكُمْ وَلَآ أَبْصَـٰرُكُمْ وَلَا جُلُودُكُمْ وَلَـٰكِن ظَنَنتُمْ أَنَّ ٱللَّهَ لَا يَعْلَمُ كَثِيرًا مِّمَّا تَعْمَلُونَ
Dan kamu sekali-kali tidak dapat bersembunyi daripada persaksian pendengaran, penglihatan dan kulitmu terhadapmu bahkan kamu menyangka Allah tidak mengetahui banyak yang kamu lakukan.
Ayat 23
وَذَٰلِكُمْ ظَنُّكُمُ ٱلَّذِى ظَنَنتُم بِرَبِّكُمْ أَرْدَىٰكُمْ فَأَصْبَحْتُم مِّنَ ٱلْخَـٰسِرِينَ
Dan yang demikian itulah sangkaanmu yang telah kamu sangkakan terhadap Rabbmu, (sangkaan itu) telah membinasakan kamu, sehingga jadilah kamu di kalangan orang-orang yang rugi.
Orang-orang kafir menyangka bahawa Allah Swt tidak mengetahui kebanyakan daripada apa yang mereka lakukan. Sangkaan itulah yang menyebabkan mereka berada dalam kerugian di akhirat kelak kerana mereka menganggap tidak ada kebangkitan selepas kematian dan tidak ada balasan terhadap perbuatan jahat mereka.
Abdullah ibnu Mas’ud ra mengatakan bahawa pada suatu hari dia bersembunyi di balik tirai Kaabah, lalu datanglah tiga orang lelaki Quraisy dan dua orang iparnya daripada kabilah Thaqif, atau seorang Thaqif bersama dua orang ipar daripada kaum Quraisy. Mereka berperut buncit, tetapi mereka sangat kurang memiliki pemahaman. Lalu mereka mengadakan suatu perbincangan. Salah seorang daripada mereka mengatakan, “Bagaimanakah pendapat kalian, apakah Allah mendengar perkataan kita sekarang ini?” Yang lain menjawab, “Sesungguhnya apabila kita kuatkan suara kita, Dia mendengarnya. Tetapi apabila kita memperlahankan, Dia tidak mendengarnya.” Yang lainnya lagi mengatakan, “Bila Dia mendengar sesuatu daripada pembicaraan kita, bermakna Dia mendengar semuanya.” Abdullah ibnu Mas’ud ra lalu menceritakan peristiwa itu kepada Rasulullah saw. Maka Allah Ta’ala menurunkan firman-Nya iaitu ayat 22 dan 23 ini.
(HR. Ahmad)
Ayat 24
فَإِن يَصْبِرُوا۟ فَٱلنَّارُ مَثْوًى لَّهُمْ ۖ وَإِن يَسْتَعْتِبُوا۟ فَمَا هُم مِّنَ ٱلْمُعْتَبِينَ
Jika mereka bersabar (atas azab neraka) maka nerakalah tempat tinggal mereka dan jika mereka mengemukakan alasan-alasan, maka mereka itu tidak termasuk orang-orang yang diterima alasan.
Kemudian Allah Swt menyatakan meskipun orang-orang kafir itu bersabar atau menahan rasa pedih terhadap azab neraka, mereka tetap akan tinggal di neraka dan itulah tempat tinggal mereka buat selama-lamanya.
Walaupun mereka memohon belas kasihan dengan meminta maaf atas segala dosa, namun tiada lagi kemaafan dan belas kasihan buat mereka. Ini kerana mereka telahpun meninggalkan dunia yang menjadi tempat bagi mereka beramal sedangkan akhirat adalah tempat menerima balasan amal yang dilakukan ketika di dunia dahulu.
Ibnu Jarir mengatakan maksud ayat, “Dan jika mereka mengemukakan alasan-alasan, maka mereka itu tidak termasuk orang-orang yang diterima alasan,” dalam ayat ini ialah mereka memohon untuk dikembalikan ke dunia tetapi permohonan mereka tidak dikabulkan sebagaimana firman Allah Swt:
“Mereka berkata, ‘Wahai Rabb kami, kami telah dikuasai oleh kejahatan kami, dan kami adalah orang-orang yang sesat. Wahai Rabb kami, kembalikanlah kami ke dunia, jika kami masih juga tetap dalam kekafiran, sesungguhnya, kami adalah orang-orang yang zalim.’ Dia (Allah) berfirman, ‘Tinggallah kamu dengan hina di dalamnya, dan janganlah kamu berbicara dengan Aku.’
Al-Mu’minun 23:106-108