Kisah Para Rasul Ada yang Diceritakan dalam Al-Quran dan Ada Juga yang Tidak Diceritakan
Surah 40: Ghafir (78)
Ayat 78
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلًا مِّن قَبْلِكَ مِنْهُم مَّن قَصَصْنَا عَلَيْكَ وَمِنْهُم مَّن لَّمْ نَقْصُصْ عَلَيْكَ ۗ وَمَا كَانَ لِرَسُولٍ أَن يَأْتِىَ بِـَٔايَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ ٱللَّهِ ۚ فَإِذَا جَآءَ أَمْرُ ٱللَّهِ قُضِىَ بِٱلْحَقِّ وَخَسِرَ هُنَالِكَ ٱلْمُبْطِلُونَ
Dan sesungguhnya telah Kami utus beberapa orang Rasul sebelum kamu (Muhammad), di antara mereka ada yang Kami ceritakan kepadamu dan di antara mereka ada (pula) yang tidak Kami ceritakan kepadamu. Dan tidak ada bagi seorang Rasul membawa suatu mukjizat, melainkan dengan izin Allah, maka apabila telah datang perintah Allah, diputuskan (semua perkara) dengan adil, maka pada ketika itu rugilah orang-orang yang berpegang kepada yang batil.
Allah Swt mententeramkan hati Nabi Muhammad saw dengan menjelaskan kepada baginda bahawa Dia telah mengutuskan ramai Rasul dan Nabi kepada kaum masing-masing sebelum baginda. Sebahagian kisah para Rasul dan Nabi itu dengan kaum masing-masing ada yang diceritakan kepada baginda dan ada sebahagian yang lain tidak diceritakan. Jumlah para Rasul dan Nabi yang tidak diceritakan tersangatlah ramai dibandingkan dengan yang diceritakan, namun yang dinyatakan dalam Al-Quran adalah sebanyak dua puluh lima orang Rasul.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan (Kami telah mengutuskan) beberapa orang Rasul yang telah Kami ceritakan kepadamu dahulu sebelum ini, dan Rasul-Rasul yang tidak Kami ceritakan hal mereka kepadamu. Dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa secara langsung.”
An-Nisa’ 4:164
Ayat ini juga menjelaskan bahawa tidak mungkin bagi seseorang Rasul itu membawa mukjizat iaitu perkara-perkara yang lebih hebat daripada adat kebiasaan melainkan dengan izin Allah Swt.
Allah Swt memberikan mukjizat kepada para Rasul dalam menghadapi kaum mereka adalah bertujuan untuk dijadikan bukti kebenaran wahyu yang mereka bawa. Ini kerana para Rasul ini sentiasa ditentang dan disakiti oleh kaum mereka dan sebahagian daripada kaum yang mengingkari mereka itu mencabar mereka mendatangkan mukjizat.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Dan mereka bersumpah dengan nama Allah dengan segala kesungguhan, bahawa jika datang sesuatu mukjizat kepada mereka, pastilah mereka beriman kepada-Nya. Katakanlah, “Sesungguhnya mukjizat-mukjizat itu hanya ada di sisi Allah.” Dan tahukah kamu bahawa apabila ayat-ayat (mukjizat) datang mereka tidak juga akan beriman.”
Al-An’am 6:109
“Dia (Musa) menjawab, ‘Sesungguhnya engkau telah mengetahui, bahawa tiada yang menurunkan (mukjizat-mukjizat) itu kecuali Rabb (yang memelihara) langit dan bumi sebagai bukti-bukti yang nyata dan sesungguhnya aku benar-benar menyangka engkau akan binasa, wahai Firaun.’”
Al-Isra’ 17:102
“……….Dan tidak ada hak bagi seorang Rasul mendatangkan sesuatu bukti (mukjizat) melainkan dengan izin Allah……….”
Ar-Ra’d 13:38
Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan apabila telah tiba Hari Kiamat nanti, Dia akan memberikan keputusan yang adil antara para Rasul dan orang-orang yang musyrik. Para Rasul dan orang-orang beriman akan diputuskan dengan benar dan diberikan pertolongan. Manakala orang-orang yang berpegang kepada kebatilan akan mendapat kerugian.