Akibat bagi Orang yang Suka Menentang Allah Swt dan Rasul-Nya
Surah 40: Ghafir (69 – 76)
Ayat 69
أَلَمْ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ يُجَـٰدِلُونَ فِىٓ ءَايَـٰتِ ٱللَّهِ أَنَّىٰ يُصْرَفُونَ
Apakah kamu tidak melihat kepada orang-orang yang membantah ayat-ayat Allah? Bagaimanakah mereka telah dipalingkan?
Ayat 70
ٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِٱلْكِتَـٰبِ وَبِمَآ أَرْسَلْنَا بِهِۦ رُسُلَنَا ۖ فَسَوْفَ يَعْلَمُونَ
(Iaitu) orang-orang yang mendustakan kitab (Al-Quran) dan wahyu yang dibawa oleh Rasul-Rasul Kami yang telah Kami utus. Kelak mereka akan mengetahui,
Ayat 71
إِذِ ٱلْأَغْلَـٰلُ فِىٓ أَعْنَـٰقِهِمْ وَٱلسَّلَـٰسِلُ يُسْحَبُونَ
Ketika belenggu dan rantai dipasang di leher mereka, sambil mereka diseret,
Ayat 72
فِى ٱلْحَمِيمِ ثُمَّ فِى ٱلنَّارِ يُسْجَرُونَ
Ke dalam air yang sangat panas, kemudian mereka dibakar dalam api.
Allah Swt menyatakan ancaman yang keras kepada orang-orang yang mendustakan Al-Quran dan risalah yang dibawa oleh para Rasul iaitu tangan mereka dibelenggu di leher lalu diseret ke dalam air yang mendidih yang tersangat panas. Kemudian mereka dibakar dalam api neraka.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Celakalah pada hari itu, bagi mereka yang mendustakan (kebenaran).”
Al-Mursalat 77:15
“Inilah Neraka Jahannam yang didustakan oleh orang-orang yang berdosa. Mereka berulang-ulang (diseksa) di sana di antara air yang mendidih.”
Ar-Rahman 55:43-44
“Dan golongan kiri, alangkah sengsaranya golongan kiri itu. Mereka dalam seksaan angin yang sangat panas dan air yang mendidih. Dan naungan asap yang hitam. Tidak sejuk dan tidak menyenangkan.”
Al-Waqi’ah 56:41-44
“Kemudian sesungguhnya kamu, wahai orang-orang yang sesat lagi mendustakan! Pasti akan memakan Pohon Zaqqum. Maka akan penuh perutmu dengannya. Setelah itu kamu akan meminum air yang sangat panas. Maka kamu minum seperti unta (yang sangat haus) minum. Itulah hidangan untuk mereka pada Hari Pembalasan.”
Al-Waqi’ah 56:51-56
Ayat 73
ثُمَّ قِيلَ لَهُمْ أَيْنَ مَا كُنتُمْ تُشْرِكُونَ
Kemudian dikatakan kepada mereka, “Di-manakah berhala-berhala yang selalu kamu persekutukan,
Ayat 74
مِن دُونِ ٱللَّهِ ۖ قَالُوا۟ ضَلُّوا۟ عَنَّا بَل لَّمْ نَكُن نَّدْعُوا۟ مِن قَبْلُ شَيْـًٔا ۚ كَذَٰلِكَ يُضِلُّ ٱللَّهُ ٱلْكَـٰفِرِينَ
(yang kamu sembah) selain Allah?” Mereka menjawab, “Mereka telah hilang lenyap daripada kami, bahkan kami dahulu tidak pernah menyembah sesuatu.” Demikianlah Allah membiarkan sesat orang-orang kafir.
Kemudian malaikat penjaga neraka bertanya kepada orang-orang yang mendustakan Al-Quran dan para Rasul dengan nada celaan tentang sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah Swt ketika di dunia dahulu. Mengapa mereka tidak memohon pertolongan daripada sembahan-sembahan tersebut.
Orang-orang kafir itu menjawab bahawa sembahan-sembahan mereka itu telah hilang lenyap daripada pandangan mereka dengan meninggalkan mereka dalam kesengsaraan. Kemudian mereka menafikan bahawa semasa di dunia dahulu mereka pernah menyembah kepada sesuatu selain Allah Swt yang tidak mendatangkan manfaat ataupun yang dapat menolak mudharat. Ini bermaksud mereka keliru dengan perbuatan mereka ketika berada di dunia dahulu. Demikianlah cara Allah Swt membiarkan sesat orang-orang kafir daripada kebenaran sebagai hasil pilihan bebas mereka. Ini sebagaimana firman-Nya dalam ayat yang lain:
“Kemudian tiada jawapan bohong mereka, kecuali mengatakan, ‘Demi Allah, wahai Rabb kami, kami tidak menyekutukan Allah.’”
Al-An’am 6:23
Ayat 75
ذَٰلِكُم بِمَا كُنتُمْ تَفْرَحُونَ فِى ٱلْأَرْضِ بِغَيْرِ ٱلْحَقِّ وَبِمَا كُنتُمْ تَمْرَحُونَ
Yang demikian itu disebabkan kamu bersuka ria di bumi (tanpa) mengendahkan kebenaran dan kerana kamu selalu bersuka ria (dalam kemaksiatan).
Seterusnya, Allah Swt menyatakan bahawa azab yang diterima oleh orang-orang kafir itu adalah kerana ketika di dunia dahulu mereka berbangga dengan nikmat yang dilimpahkan kepada mereka berupa harta, pengikut yang ramai dan kesihatan yang baik. Segala nikmat tersebut mereka gunakan secara berlebih-lebihan tanpa mengendahkan kebenaran malah mereka memilih kesyirikan, bersikap sombong dan bersukaria dalam kemaksiatan, malah berbangga dengan maksiat yang mereka lakukan.
Ayat 76
ٱدْخُلُوٓا۟ أَبْوَٰبَ جَهَنَّمَ خَـٰلِدِينَ فِيهَا ۖ فَبِئْسَ مَثْوَى ٱلْمُتَكَبِّرِينَ
(Dikatakan kepada mereka), “Masuklah kamu ke pintu-pintu Neraka Jahannam dan kamu kekal di dalamnya. Maka itulah seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong.”
Oleh itu ketika di akhirat kelak, orang-orang kafir ini dipaksa memasuki neraka melalui pintu-pintunya. Sesungguhnya itulah seburuk-buruk tempat kembali dan mereka kekal di dalamnya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Kemudian pasti tempat kembali mereka ke Neraka Jahim.”
As-Saffat 37:68