Kisah Nabi Musa as – Pengutusan Nabi Musa as kepada Firaun, Haman dan Qarun
Surah 40: Ghafir (23 – 27)
Ayat 23
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مُوسَىٰ بِـَٔايَـٰتِنَا وَسُلْطَـٰنٍۢ مُّبِينٍ
Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Musa dengan membawa ayat-ayat Kami dan bukti (hujjah) yang nyata.
Ayat ini merupakan ayat tasliyah (ayat hiburan) bagi menenangkan hati Rasulullah saw yang mendapat tentangan daripada kaumnya. Dia menyatakan hal yang sama telah berlaku kepada Nabi Musa as yang didustakan oleh kaumnya ketika membawa risalah yang sama.
Allah Swt menyatakan bahawa sesungguhnya Dia telah mengutuskan Nabi Musa as kepada kaumnya dengan membawa mukjizat-mukjizat, ayat-ayat yang nyata lagi jelas dan bukti-bukti yang kuat.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Dan sesungguhnya Kami benar-benar telah menguji kaum Firaun dan telah datang kepada mereka seorang Rasul yang mulia.”
Ad-Dukhan 44:17
“Dan pada Musa (terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah) ketika Kami mengutusnya kepada Firaun dengan membawa mukjizat yang nyata.”
Az-Zariyat 51:38
“Dan Qarun, Firaun dan Haman. Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka Musa dengan (membawa) keterangan-keterangan yang nyata. Tetapi mereka sombong di (muka) bumi, dan mereka orang-orang yang tidak luput (daripada azab Allah).”
Al-‘Ankabut 29:39
Ayat 24
إِلَىٰ فِرْعَوْنَ وَهَـٰمَـٰنَ وَقَـٰرُونَ فَقَالُوا۟ سَـٰحِرٌ كَذَّابٌ
Kepada Firaun, Haman dan Qarun, lalu mereka berkata, “(Dia) adalah seorang ahli sihir yang pendusta.”
Namun pembesar-pembesar yang melampaui batas seperti Firaun, Haman iaitu Perdana Menteri Firaun dan orang yang paling kaya pada zaman itu iaitu Qarun tidak mahu beriman dengan risalah yang dibawa oleh Nabi Musa as. Mereka dengan sombongnya menuduh dengan tuduhan yang tidak layak buat baginda iaitu baginda seorang penyair, penipu, gila dan pendusta.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Demikianlah setiap kali seorang Rasul yang datang kepada orang-orang yang sebelum mereka, mereka (kaumnya) mengatakan, “Dia itu penyihir atau seorang gila.” Apakah mereka saling berpesan tentang apa yang dikatakan itu. Sebenarnya mereka adalah kaum yang melampaui batas.”
Az-Zariyat 51:52-53
Ayat 25
فَلَمَّا جَآءَهُم بِٱلْحَقِّ مِنْ عِندِنَا قَالُوا۟ ٱقْتُلُوٓا۟ أَبْنَآءَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مَعَهُۥ وَٱسْتَحْيُوا۟ نِسَآءَهُمْ ۚ وَمَا كَيْدُ ٱلْكَـٰفِرِينَ إِلَّا فِى ضَلَـٰلٍ
Maka tatkala dia (Musa) datang kepada mereka membawa kebenaran dari sisi Kami mereka berkata, “Bunuhlah anak-anak lelaki orang-orang yang beriman bersama dengan dia dan biarkanlah hidup perempuan-perempuan mereka.” Dan tipu daya orang-orang kafir itu tidak lain hanyalah sia-sia (belaka).
Seterusnya, Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang yang kufur itu bukan sahaja menentang dan mengingkari risalah yang dibawa oleh Nabi Musa as, malah mereka mengarahkan agar membunuh anak-anak lelaki orang-orang yang beriman bersama baginda. Manakala anak-anak perempuan mereka dibiarkan tetap hidup untuk menjadi pelayan dan hamba sahaya.
Perintah membunuh anak-anak lelaki Ini adalah perintah yang kedua. Perintah pertama adalah ketika Nabi Musa as belum dilahirkan iaitu untuk menghalang kemunculan baginda dan menghina kaum Bani Israil di samping mengurangkan jumlah kaum tersebut. Sedangkan perintah yang kedua ini adalah bertujuan menghina kaum Bani Israil selain agar hilang kepercayaan Bani Israil terhadap Nabi Musa as.
Ini merupakan rancangan jahat mereka dan satu penghinaan buat kaum Bani Israil dengan penyeksaan sedemikian. Namun Allah Swt menggagalkan rancangan jahat mereka.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Sesungguhnya Firaun sewenang-wenangnya melakukan kezaliman di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah-belah, dia menindas segolongan daripada mereka (Bani Israil), dia menyembelih anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya dia (Firaun) termasuk orang-orang yang membuat kerosakan.”
Al-Qasas 28:4
Ayat 26
وَقَالَ فِرْعَوْنُ ذَرُونِىٓ أَقْتُلْ مُوسَىٰ وَلْيَدْعُ رَبَّهُۥٓ ۖ إِنِّىٓ أَخَافُ أَن يُبَدِّلَ دِينَكُمْ أَوْ أَن يُظْهِرَ فِى ٱلْأَرْضِ ٱلْفَسَادَ
Dan berkata Firaun (kepada pembesar-pembesarnya), “Biarkanlah aku membunuh Musa dan menyuruh dia memohon kepada Rabbnya, kerana sesungguhnya aku bimbang dia akan menukar agamamu atau menimbulkan kerosakan di muka bumi.”
Allah Swt menyatakan bagaimana Firaun begitu nekad ingin membunuh Nabi Musa as.
Firaun menyatakan kepada kaumnya bahawa biar dia sendiri yang membunuh Nabi Musa as dan biarkan baginda memanggil Rabbnya yang didakwakan oleh baginda mengutusnya kepada mereka agar Dia mampu melindungi baginda daripada pembunuhan tersebut.
Ucapan ini jelas menunjukkan betapa Firaun meremehkan Nabi Musa as dan begitu lancang ucapannya terhadap Allah Swt. Ini kerana Firaun memandang dirinya mulia dengan segala kekuasaan dan kekuatan yang ada padanya.
Kemudian Firaun menyatakan dia merancang untuk membunuh Nabi Musa as adalah kerana dia bimbang baginda akan menggantikan agama yang telah mereka anuti sekian lama dengan agama yang dibawa oleh baginda atau baginda akan membuat kerosakan di bumi Mesir itu.
Ayat 27
وَقَالَ مُوسَىٰٓ إِنِّى عُذْتُ بِرَبِّى وَرَبِّكُم مِّن كُلِّ مُتَكَبِّرٍ لَّا يُؤْمِنُ بِيَوْمِ ٱلْحِسَابِ
Lalu Musa berkata, “Sesungguhnya aku berlindung kepada Rabbku dan Rabbmu daripada setiap orang yang menyombongkan diri yang tidak beriman kepada Hari Perhitungan.”
Ketika telah sampai berita perancangan pembunuhan itu kepada Nabi Musa as, baginda berdoa meminta pertolongan kepada Allah Swt daripada kejahatan Firaun dan kaumnya yang sombong lagi angkuh untuk tunduk kepada-Nya, Rabb Yang Maha Benar.
Daripada Abu Musa ra bahawa Rasulullah saw apabila berasa takut terhadap kejahatan suatu kaum mengucapkan doa berikut:
”اللَّهُمَّ، إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ شُرُورِهِمْ، وَنَدْرَأُ بِكَ فِي نُحُورِهِمْ.“
“Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada Engkau daripada segala kejahatan mereka dan kami menjadikan Engkau berada pada leher mereka (untuk menolak kejahatan mereka).”
(HR. An-Nasa’i)