Surah 40: Ghafir (15 – 20)

Wahyu Allah Swt untuk Memperingatkan Hamba-hamba-Nya tentang Hari Kiamat

Surah 40: Ghafir (15 – 20)


Ayat 15

رَفِيعُ ٱلدَّرَجَـٰتِ ذُو ٱلْعَرْشِ يُلْقِى ٱلرُّوحَ مِنْ أَمْرِهِۦ عَلَىٰ مَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦ لِيُنذِرَ يَوْمَ ٱلتَّلَاقِ

Dia-lah Yang Maha Tinggi darjat-Nya, Yang mempunyai ‘Arasy, yang mengutus Jibril dengan (membawa) perintah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya, supaya dia memperingatkan (manusia) tentang hari pertemuan (Hari Kiamat).

Allah Swt menyebutkan bahawa sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Tinggi, sekali-kali tidaklah sama dengan makhluk-makhlukNya. Kedudukan-Nya juga tinggi dan Dia adalah Pemilik ‘Arasy yang agung.

Antara bentuk rahmat Allah Swt kepada hamba-hamba-Nya adalah Dia mengutuskan para Rasul kepada mereka untuk memberi berita gembira dan juga peringatan tentang Hari Kebangkitan iaitu hari tempat berkumpul seluruh makhluk-Nya di Mahsyar.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dia menurunkan para malaikat membawa wahyu dengan perintah-Nya kepada sesiapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya, (dengan beriman) iaitu, ‘Peringatkanlah (hamba-hamba-Ku), bahawa tiada Ilah selain Aku, maka hendaklah kamu bertakwa kepada-Ku.’”

An-Nahl 16:2

Ayat 16

يَوْمَ هُم بَـٰرِزُونَ ۖ لَا يَخْفَىٰ عَلَى ٱللَّهِ مِنْهُمْ شَىْءٌ ۚ لِّمَنِ ٱلْمُلْكُ ٱلْيَوْمَ ۖ لِلَّهِ ٱلْوَٰحِدِ ٱلْقَهَّارِ

(Iaitu) hari (ketika) mereka keluar (dari kubur), tiada suatu pun daripada keadaan mereka yang tersembunyi bagi Allah. (Lalu Allah berfirman), “Milik siapakah kerajaan pada hari ini?‘ Milik Allah yang Maha Esa lagi Maha Mengalahkan.

Pada Hari Kiamat nanti, seluruh makhluk akan menghadap Allah Swt, tiada seorang pun daripada mereka yang samar bagi Allah Swt, tiada sedikit pun amal yang mereka lakukan di dunia yang tidak diketahui oleh-Nya.

Ketika itu dinampakkan Penguasa dan Raja yang mutlak iaitu Allah Swt Yang Maha Esa dan Maha Perkasa. Ketika Dia bertanya milik siapakah kerajaan dan siapakah yang hak bertindak pada hari itu, tiada siapa pun yang menjawab. Lalu Dia sendiri yang menjawab dengan mengatakan bahawa sesungguhnya milik Dia-lah Yang Maha Esa dengan nama-nama dan sifat-sifat-Nya serta perbuatan-perbuatan-Nya, lagi Maha Kuat yang mengalahkan seluruh makhluk dengan kekuasaan dan keperkasaan-Nya.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan (ingatlah) pada hari (ketika) Kami menerbangkan gunung-ganang dan engkau akan melihat bumi ini rata dan Kami kumpulkan mereka (seluruh manusia), dan Kami tidak tinggalkan seorang pun daripada mereka.”

Al-Kahfi 18:47

“Dia-lah Yang Awal dan Yang Akhir Yang Zahir dan Yang Batin, dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.”

Al-Hadid 57:3

Dalam hadis yang panjang tentang sangkakala, dinyatakan bahawa setelah Allah ‘Azza wa Jalla mematikan roh semua makhluk-Nya sehingga tidak ada lagi yang tersisa melainkan Dia sahaja Yang Maha Esa, Yang tidak ada sekutu bagi-Nya, saat itu Dia berfirman, “Milik siapakah kerajaan hari ini?” sebanyak tiga kali. Kemudian Dia sendiri menjawab dengan firman-Nya, “Milik Allah Yang Maha Esa, lagi Maha Mengalahkan.”

Ayat 17

ٱلْيَوْمَ تُجْزَىٰ كُلُّ نَفْسٍۭ بِمَا كَسَبَتْ ۚ لَا ظُلْمَ ٱلْيَوْمَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ سَرِيعُ ٱلْحِسَابِ

Pada hari ini setiap jiwa diberikan balasan sesuai dengan apa yang telah diusahakannya. Tidak ada yang dirugikan pada hari ini. Sesungguhnya Allah sangat cepat perhitungan-Nya.

Allah Swt memberikan gambaran keadaan manusia pada Hari Kiamat kelak iaitu mereka akan diberikan balasan sesuai dengan perbuatan baik dan buruk yang telah dilakukan semasa berada di dunia dahulu.

Sesungguhnya Allah Swt tidak berbuat zalim kepada hamba-hamba-Nya walaupun sedikit malah akan menggandakan balasan terhadap amalan kebaikan mereka. inilah keadilan-Nya dalam memberikan keputusan di antara makhluk-Nya.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Maka sesiapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan sesiapa mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.”

Al-Zalzalah 99:7-8

Daripada Abu Dzarr ra, daripada Rasulullah saw sebagaimana yang baginda sampaikan daripada Rabbnya Swt (berupa hadis Qudsi), bahawa Dia berfirman:

“Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhya Aku telah mengharamkan kezaliman atas diri-Ku dan Aku telah mengharamkannya (kezaliman itu) di antara kalian, maka janganlah kalian saling menzalimi.” (Sampai firman-Nya), “Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya semua perbuatan kamu akan diperhitungkan untuk kamu kemudian diberi balasannya. Maka sesiapa yang mendapat kebaikan maka hendaklah dia memuji Allah Tabaraka wa Ta’ala dan sesiapa yang mendapat selain itu janganlah dia mencela kecuali dirinya sendiri.”

(HR. Muslim)

Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan sesungguhnya Dia menghisab amalan semua makhluk dengan sangat cepat.

Ayat 18

وَأَنذِرْهُمْ يَوْمَ ٱلْـَٔازِفَةِ إِذِ ٱلْقُلُوبُ لَدَى ٱلْحَنَاجِرِ كَـٰظِمِينَ ۚ مَا لِلظَّـٰلِمِينَ مِنْ حَمِيمٍ وَلَا شَفِيعٍ يُطَاعُ

Dan berilah mereka peringatan dengan hari yang dekat (Hari Kiamat iaitu) ketika hati (menyesak) sampai ke kerongkongan menahan kesedihan. Orang-orang yang zalim tidak mempunyai teman setia seorang pun dan tidak (juga) mempunyai seorang pemberi syafaat yang diterima syafaatnya.

Kemudian Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw agar memberi peringatan dan ancaman kepada manusia tentang kedahsyatan Hari Kiamat yang hampir tiba, sekalipun mereka menganggapnya masih jauh.

Pada hari itu orang-orang kafir mengalami ketakutan yang teramat sehingga hati dan perasaan mereka menyesak sampai ke kerongkong disebabkan begitu dahsyatnya Hari Kiamat.

Ketika itu mereka juga tiada penolong sama ada daripada kawan, kerabat dan sembahan-sembahan yang dapat membantu mereka di hadapan Rabb mereka.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Telah hampir masa datangnya saat yang dekat itu (Hari Kiamat). Tidak ada yang dapat mengungkapkan (terjadinya hari itu) selain Allah.”

An-Najm 53:57-58

“Teman-teman karib pada hari itu saling bermusuhan antara satu sama lain kecuali orang-orang yang bertakwa.”

Az-Zukhruf 43:67

Ayat 19

يَعْلَمُ خَآئِنَةَ ٱلْأَعْيُنِ وَمَا تُخْفِى ٱلصُّدُورُ

Dia mengetahui (pandangan) mata yang khianat dan apa yang disembunyikan oleh hati.

Allah Swt menjelaskan tentang pengetahuan-Nya yang sangat sempurna, terperinci dan meliputi segala sesuatu walaupun sehalus-halusnya. Dia mengetahui pandangan mata yang khianat. Maksud pandangan mata yang khianat adalah pandangan kepada hal-hal yang terlarang, seperti memandang perempuan yang bukan mahram dan lain-lain.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dia mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi dan Dia mengetahui segala yang kamu rahsiakan dan yang kamu zahirkan. Dan Allah Maha Mengetahui segala (isi hati) yang terkandung dalam dada.”

At-Taghabun 64:4

Ayat 20

وَٱللَّهُ يَقْضِى بِٱلْحَقِّ ۖ وَٱلَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِهِۦ لَا يَقْضُونَ بِشَىْءٍ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ

Dan Allah menghukum dengan kebenaran. Dan sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah tidak dapat menghukum dengan suatu apa pun. Sesungguhnya Allah Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Allah Swt menetapkan hukuman di antara manusia dengan adil sesuai dengan apa yang berhak mereka peroleh. Sedangkan berhala dan apa juga yang disembah oleh orang-orang kafir selain-Nya tidak dapat menghukum sesuatu apa pun kerana sembahan itu memang tidak mampu untuk melakukan hal sedemikian.

Sesungguhnya Allah Maha Mendengar perkataan-perkataaan makhluk-Nya, Dia Maha Melihat perbuatan-perbuatan dan amal-amal mereka, lalu Dia membalas mereka atas perbuatan mereka sendiri.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Kebenaran itu adalah daripada Rabbmu, maka jangan sekali-kali engkau (Muhammad) termasuk dalam kalangan orang-orang yang ragu-ragu.”

Al-Baqarah 2:147

“……….sesiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim.”

Al-Ma’idah 5:45