Surah 40: Ghafir (10 – 12)

Penyesalan Orang Kafir setelah Memasuki Neraka

Surah 40: Ghafir (10 – 12)


Ayat 10

إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ يُنَادَوْنَ لَمَقْتُ ٱللَّهِ أَكْبَرُ مِن مَّقْتِكُمْ أَنفُسَكُمْ إِذْ تُدْعَوْنَ إِلَى ٱلْإِيمَـٰنِ فَتَكْفُرُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang kafir diserukan kepada mereka (pada Hari Kiamat), “Sesungguhnya kebencian Allah (kepadamu) lebih besar daripada kebencianmu kepada dirimu sendiri karena kamu diseru untuk beriman lalu kamu kafir.”

Allah Swt menyebutkan keadaan orang-orang kafir pada hari kiamat ketika mereka berada di neraka. Pada hari itu orang-orang kafir berasa sangat menyesal dan mereka membenci diri mereka sendiri semasa dipamerkan perbuatan mereka ketika di dunia dahulu yang menyebabkan mereka diseret ke neraka.

Lalu malaikat mengatakan kepada mereka bahawa sesungguhnya kebencian Allah Swt kepada mereka di dunia dahulu lebih besar daripada kebencian mereka terhadap diri mereka sendiri ketika mereka diazab di akhirat. Ini kerana apabila mereka diseru untuk beriman melalui para Rasul, mereka mengingkari dan mengabaikannya.

Ayat 11

قَالُوا۟ رَبَّنَآ أَمَتَّنَا ٱثْنَتَيْنِ وَأَحْيَيْتَنَا ٱثْنَتَيْنِ فَٱعْتَرَفْنَا بِذُنُوبِنَا فَهَلْ إِلَىٰ خُرُوجٍ مِّن سَبِيلٍ

Mereka menjawab, “Wahai Rabb kami, Engkau telah mematikan kami dua kali dan telah menghidupkan kami dua kali (pula), lalu kami mengakui dosa-dosa kami. Maka adakah sesuatu jalan (bagi kami) untuk keluar (dari neraka)?”

Kemudian orang-orang kafir menjawab dan mengatakan bahawa Allah Swt telah mematikan mereka dua kali, iaitu ketika mereka masih dalam kandungan ibu mereka dalam bentuk air mani sebelum ditiupkannya roh, dan juga ketika ajal mereka telah sampai tempohnya di dunia dahulu. Allah Swt juga telah menghidupkan mereka dua kali, di dunia ketika mereka lahir dan ketika mereka dibangkitkan dari kubur.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Bagaimana kamu kafir kepada Allah, padahal kamu (tadinya) mati, lalu Dia menghidupkan kamu, kemudian Dia mematikan kamu lalu Dia menghidupkan kamu kembali. Kemudian kepada-Nya-lah kamu dikembalikan.”

Al-Baqarah 2:28

Seterusnya mereka mengakui bahawa mereka dahulu menyangkal adanya Hari Kebangkitan, lalu berkeadaan kufur dan melakukan pelbagai dosa-dosa ketika di dunia dahulu. Kemudian mereka memohon agar mereka dikeluarkan daripada neraka tersebut dan dikembalikan ke dunia agar mereka dapat mengerjakan amal ibadah kepada Allah Swt. Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan seandainya engkau (Muhammad) melihat ketika mereka dihadapkan ke neraka, mereka berkata, ‘Seandainya kami dikembalikan (ke dunia) tentu kami tidak akan mendustakan ayat-ayat Rabb kami serta menjadi orang-orang yang beriman.’ Tetapi (sebenarnya) telah nyata bagi mereka kejahatan yang mereka dahulu selalu sembunyikan. Sekiranya mereka dikembalikan ke dunia, tentulah mereka kembali kepada apa yang mereka telah dilarang mengerjakannya. Dan sesungguhnya mereka itu adalah pendusta belaka.”

Al-An’am 6:27-28

Ayat 12

ذَٰلِكُم بِأَنَّهُۥٓ إِذَا دُعِىَ ٱللَّهُ وَحْدَهُۥ كَفَرْتُمْ ۖ وَإِن يُشْرَكْ بِهِۦ تُؤْمِنُوا۟ ۚ فَٱلْحُكْمُ لِلَّهِ ٱلْعَلِىِّ ٱلْكَبِيرِ

Yang demikian itu adalah kerana (waktu di dunia) kamu mengingkari apabila diseru untuk menyembah Allah sahaja. Dan kamu percaya jika Allah disekutukan. Maka keputusan (sekarang ini) hanya milik Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar.

Lalu mereka dijawab dengan penolakan iaitu tidak ada lagi jalan buat orang-orang kafir itu untuk keluar dari neraka. Alangkah ruginya mereka kerana permintaan mereka ditolak dan pengakuan tersebut sama sekali tidak berguna buat mereka.

Mereka akan tetap dalam azab kerana mereka terus mengingkari apabila diseru untuk menyembah Allah Swt semasa di dunia, malah jika Dia disekutukan dengan sembahan yang lain dan selain-Nya, mereka percaya dan mengikutinya.

Sesungguhnya segala keputusan hanyalah milik Allah Swt. Dia tidak akan memutuskan sesuatu itu melainkan dengan kebenaran dan sesuai dengan hikmah. Dia-lah Maha Tinggi dalam Zat dan sifat-Nya, tiada yang sebanding dengan-Nya. Maha Besar Allah, tidak layak bagi-Nya tandingan, pasangan, anak-anak dan sekutu.