Surah 4: An-Nisa’ (97 – 100)

Larangan Menetap bersama Orang Musyrikin bagi Orang yang Mampu Berhijrah

Surah 4: An-Nisa’ (97 – 100)


Ayat 97

إِنَّ ٱلَّذِينَ تَوَفَّىٰهُمُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ ظَالِمِىٓ أَنفُسِهِمْ قَالُوا۟ فِيمَ كُنتُمْ ۖ قَالُوا۟ كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِى ٱلْأَرْضِ ۚ قَالُوٓا۟ أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ ٱللَّهِ وَٰسِعَةً فَتُهَاجِرُوا۟ فِيهَا ۚ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ مَأْوَىٰهُمْ جَهَنَّمُ ۖ وَسَآءَتْ مَصِيرًا

Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi”. Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.

Allah Swt menceritakan keadaan yang berlaku ketika malaikat maut hendak mencabut nyawa orang-orang yang tidak mahu berhijrah sedangkan mereka mampu melakukannya tetapi memilih untuk terus berada dalam negeri bersama-sama orang-orang musyrik. 

Mereka ini adalah satu golongan penduduk Mekah yang telah memeluk agama Islam. Mereka ini berkemampuan tetapi mereka enggan ikut berhijrah ke Madinah padahal hijrah itu diwajibkan ke atas mereka. 

Ketika malaikat maut mengecam, mencela dan bertanya kenapa mereka tidak ikut berhijrah, mereka memberikan alasan dengan mengatakan mereka adalah kaum yang lemah dan tertindas serta tidak dapat melaksanakan kewajipan hukum-hukum Islam. Namun alasan ini tidak dapat diterima oleh malaikat kerana bumi Allah Swt ini sangat luas. Mereka boleh berhijrah ke mana sahaja asalkan dapat mengamalkan ajaran Islam. 

Orang-orang yang tunduk kepada keinginan nafsu mereka, lalu tidak melaksanakan hijrah padahal hijrah ini adalah satu kewajipan bagi kaum mukmin pada awal permulaan Islam, Allah Swt menjanjikan kepada mereka Neraka Jahannam sebagai tempat kembali dan mereka akan mendapat seksaan yang pedih. Wal’iyazubillahi min zalik. 

Ayat ini juga merupakan dalil kewajipan berhijrah bagi orang-orang yang tidak mampu melaksanakan ajaran Islam secara sepenuhnya di negara yang mereka diami. Namun jika orang-orang Islam mampu melaksanakan ajaran Islam walaupun di negara kafir, maka berhijrah tidaklah wajib bagi mereka. Dalam hal ini, ulama berpendapat berhijrah hanya disunnahkan kepada mereka, manakala tinggal di negara kafir hukumnya makruh. 

Ayat 98

إِلَّا ٱلْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلْوِلْدَٰنِ لَا يَسْتَطِيعُونَ حِيلَةً وَلَا يَهْتَدُونَ سَبِيلًا

Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah).

Allah Swt kemudian memberi pengecualian kepada orang-orang yang benar-benar tidak mampu melaksanakan hijrah daripada ancaman Neraka Jahannam. Ini kerana mereka mengalami beberapa kekurangan daripada sudut fizikal iaitu lemah untuk berjalan kerana terlalu tua, cacat atau sakit. Selain itu, orang-orang yang tidak mempunyai bekalan yang mencukupi untuk melakukan penghijrahan kerana kemiskinan atau tidak mengetahui jalan mana yang hendak ditempuh dalam melakukan penghijrahan diberikan pengecualian. 

Ini menunjukkan bahawa sesiapa yang tidak mampu melaksanakan kewajipan berhijrah, maka dia diberikan keuzuran oleh Allah Swt sebagaimana Dia mengecualikan orang-orang yang tidak ikut berjihad. Dia tidaklah membebani seseorang kecuali sesuai dengan kemampuannya. Namun begitu, seseorang itu tidaklah diberi keuzuran kecuali setelah dia berusaha mengerahkan segala kemampuannya dan telah tertutup pelbagai cara baginya. 

Ayat 99

فَأُو۟لَـٰٓئِكَ عَسَى ٱللَّهُ أَن يَعْفُوَ عَنْهُمْ ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ عَفُوًّا غَفُورًا

Maka mereka (yang demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.

Orang-orang yang telah dikecualikan daripada berhijrah kerana keuzuran mereka itu, mudah-mudahan Allah Ta’ala memaafkan mereka. Ini bererti Allah Ta’ala bersedia memaafkan mereka dan juga ayat ini mengisyaratkan bahawa berhijrah itu adalah suatu perkara besar yang tidak patut diabaikan. Bahkan setiap orang yang tertindas perlu berusaha sedaya upaya melakukannya bila ada peluang.  

Allah Ta’ala bersifat Pemaaf terhadap orang-orang yang benar-benar dalam keuzuran. Dia juga Maha Pengampun sehingga Dia menutup dosa-dosa seseorang dan tidak mendedahkannya di khalayak ramai. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun. Dia menghapuskan banyak dosa dan Dia juga menutup aib-aib manusia pada Hari Akhirat kelak. 

Ayat 100

وَمَن يُهَاجِرْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ يَجِدْ فِى ٱلْأَرْضِ مُرَٰغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً ۚ وَمَن يَخْرُجْ مِنۢ بَيْتِهِۦ مُهَاجِرًا إِلَى ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ثُمَّ يُدْرِكْهُ ٱلْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُۥ عَلَى ٱللَّهِ ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya dia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian dia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Ayat ini merupakan dorongan untuk berangkat hijrah dan memisahkan diri daripada orang-orang musyrik. Dan bahawasanya ke mana sahaja seseorang mukmin pergi, dia akan mendapat tempat untuk berlindung. 

Ayat ini juga merupakan janji Allah Swt kepada mereka yang melaksanakan penghijrahan. Janji itu adalah merupakan kemudahan rezeki, bebas daripada cengkaman kaum kafir dan akan memperoleh kemenangan terhadap musuh. Semua perkara yang dijanjikan ini menunjukkan betapa pentingnya penghijrahan. 

Sesiapa yang mati di jalan hijrahnya, maka dia akan diberi balasan seperti balasan orang yang berhijrah secara sempurna dengan tidak dikurangi sedikit pun iaitu syurga. Sabda Rasulullah saw: 

“Sesungguhnya amalan seseorang tergantung pada niatnya. Sesungguhnya setiap orang akan mendapatkan sesuatu sesuai dengan apa yang dia niatkan. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu menuju Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin dia miliki atau perempuan yang ingin dia nikahi, maka hijrahnya itu menuju apa yang dia niatkan.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)