Surah 4: An-Nisa’ (95 – 96)

Keutamaan Orang yang Berjihad pada Jalan Allah

Surah 4: An-Nisa’ (95 – 96)


Ayat 95

لَّا يَسْتَوِى ٱلْقَـٰعِدُونَ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ غَيْرُ أُو۟لِى ٱلضَّرَرِ وَٱلْمُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمْوَٰلِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ ۚ فَضَّلَ ٱللَّهُ ٱلْمُجَـٰهِدِينَ بِأَمْوَٰلِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ عَلَى ٱلْقَـٰعِدِينَ دَرَجَةً ۚ وَكُلًّا وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلْحُسْنَىٰ ۚ وَفَضَّلَ ٱللَّهُ ٱلْمُجَـٰهِدِينَ عَلَى ٱلْقَـٰعِدِينَ أَجْرًا عَظِيمًا

Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman – selain daripada orang-orang yang ada keuzuran – dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar;

Allah swt menjelaskan keutamaan orang-orang yang keluar berjihad berbanding dengan orang-orang yang tidak ikut berjihad. Walau bagaimanapun, mereka yang tidak keluar berjihad masih memperoleh pahala selagi mereka taat kepadaNya. Dua golongan ini iaitu yang keluar berjihad dan tidak keluar berjihad, dijanjikan oleh Allah swt dengan balasan yang baik. 

Namun balasan bagi orang-orang mukmin yang ikut serta ke medan perang iaitu berjihad pada jalanNya dengan orang-orang mukmin yang tidak ikut serta ke medan perang tidaklah sama. Ini kerana orang-orang yang keluar berperang sanggup mengorbankan jiwa dan harta mereka demi mendapat keredhaan Allah swt. Mereka melawan pihak kafir untuk menegakkan dan membela agamaNya. 

Selain itu dalam ayat ini, Allah swt menjelaskan tentang pengecualian kepada orang-orang yang mempunyai uzur syar’ie seperti sakit, buta, cacat ataupun tidak mampu menyediakan peralatan perang berdasarkan beberapa hadis di bawah: 

“Daripada Sahl bin Sa’ad As-Sa’idi, dia melihat Marwan bin Al-Hakam berada di masjid, lalu dia menghampiri dan duduk di sampingnya. Maka Marwan bin Al-Hakam memberitahunya bahawa Zaid bin Thabit memberitahunya, Rasulullah saw membacakan ayat ini, “Tidaklah sama antara orang mukmin yang duduk (yang tidak turut berperang) yang tidak mempunyai keuzuran (halangan) dengan orang yang berjihad pada jalan Allah,” kepadanya, kemudian dia melanjutkan lagi katanya, “Lalu datanglah Ibnu Ummi Maktum sambil membacakan ayat tersebut kepadaku. Dia (Ibnu Ummi Maktum) berkata, “Wahai Rasulullah! Demi Allah, sekiranya aku mampu berjihad tentu aku akan berjihad (sedangkan dia seorang yang buta), maka Allah Ta’ala menurunkan ayat ini kepada RasulNya, dan ketika itu pahanya di atas pahaku, aku berasa berat sehingga aku khuatir pahaku akan patah.” Setelah itu Baginda berasa lega. Allah swt menurunkan ayat: “Yang tidak mempunyai keuzuran.” 

(HR. Al-Bukhari) 

“Sesungguhnya di Madinah terdapat beberapa kaum, tidaklah kamu menempuh perjalanan dan melintasi suatu lembah, kecuali mereka turut bersama dengan kamu.” Para sahabat bertanya, ‘Padahal mereka berada di Madinah wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab, ‘Ya, mereka ada di Madinah, tetapi mereka terhalang oleh keuzuran.’” 

(HR. Al-Bukhari) 

Hadis ini merupakan dalil bagi orang-orang yang tidak dapat berjuang pada jalan Allah swt namun mereka akan mendapat pahala seperti orang-orang yang berjihad, asalkan yang menghalang mereka untuk berjihad hanyalah semata-mata kerana keuzuran mereka. 

Pada akhir ayat ini, Allah swt menyatakan bahawa Dia melebihkan pahala iaitu memberi ganjaran yang besar kepada orang-orang yang berjihad di medan perang daripada yang tidak ikut berperang tanpa keuzuran atau alasan yang jelas. 

Menurut Ibnu Kathir, ayat ini merupakan dalil bahawa keluar berjihad bukanlah termasuk fardhu ain tetapi ia adalah fardhu kifayah. Ada juga yang berpendapat bahawa kemungkinan ketika itu tentera Islam sudah mencukupi. Walaupun tidak diwajibkan, ada yang sanggup berjihad kerana ingin mendapatkan pahala dan ganjaran yang lebih berbanding pahala orang-orang yang tidak pergi berjihad. 

Ayat 96

دَرَجَـٰتٍ مِّنْهُ وَمَغْفِرَةً وَرَحْمَةً ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

Iaitu beberapa darjat kelebihan daripadaNya, dan keampunan serta rahmat belas kasihan. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah swt menjelaskan tentang apa yang akan Dia berikan kepada orang-orang yang keluar berjihad iaitu darjat-darjat atau kelebihan-kelebihan yang tidak terhitung nilainya. Ketika di dunia, mereka mendapat kemenangan, kehormatan dan ghanimah (harta rampasan perang). 

Manakala di akhirat, mereka memperoleh keampunan atas dosa-dosa dan kesalahan-kesalahan yang pernah mereka lakukan serta penghormatan daripada Allah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang iaitu berupa syurga yang tinggi. Daripada Abu Sa’id Al-Khudri ra, Rasulullah saw bersabda: 

“Sesungguhnya di dalam syurga terdapat seratus darjat yang Allah sediakan kepada orang-orang yang berjihad di medan perang untuk membela agamaNya. Jarak untuk setiap dua darjat adalah sama dengan jarak antara langit dan bumi.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)