Surah 4: An-Nisa’ (94)

Perintah supaya Berhati-hati Membunuh Seseorang dalam Peperangan

Surah 4: An-Nisa’ (94)


Ayat 94

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا ضَرَبْتُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ فَتَبَيَّنُوا۟ وَلَا تَقُولُوا۟ لِمَنْ أَلْقَىٰٓ إِلَيْكُمُ ٱلسَّلَـٰمَ لَسْتَ مُؤْمِنًا تَبْتَغُونَ عَرَضَ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا فَعِندَ ٱللَّهِ مَغَانِمُ كَثِيرَةٌ ۚ كَذَٰلِكَ كُنتُم مِّن قَبْلُ فَمَنَّ ٱللَّهُ عَلَيْكُمْ فَتَبَيَّنُوٓا۟ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا

Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi (berperang) pada jalan Allah (untuk membela Islam), maka hendaklah kamu menyelidik (apa jua perkara dengan sebaik-baiknya), dan janganlah kamu (terburu-buru) mengatakan kepada orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai (dengan memberi salam): “Engkau bukan orang yang beriman” (lalu kamu membunuhnya) dengan tujuan hendak (mendapat harta bendanya yang merupakan) harta benda kehidupan dunia (yang tidak kekal). (Janganlah kamu gelap mata kepada daki dunia itu) kerana di sisi Allah ada disediakan limpah kurnia yang banyak. Demikianlah juga keadaan kamu dahulu (dapat diketahui oleh orang lain akan keIslaman kamu dengan memberi salam), lalu Allah mengurniakan nikmatNya kepada kamu. Oleh itu selidikilah (apa-apa jua lebih dahulu, dan janganlah bertindak dengan terburu-buru). Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati dengan mendalam akan segala yang kamu lakukan.

Terdapat beberapa riwayat tentang turunnya ayat ini, antaranya ialah Imam Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra tentang ayat ini dan dia berkata: “Dahulu ada seorang lelaki sedang membawa kambing-kambingnya lalu berselisih dengan kaum muslimin, orang itu mengucapkan, “Assalaamu‘alaikum.” Namun kaum muslimin membunuhnya dan mengambil kambing-kambingnya, maka Allah swt menurunkan ayat, “dan janganlah kamu mengatakan kepada orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai (dengan memberi salam): “Engkau bukan orang yang beriman” (lalu kamu membunuhnya) dengan tujuan hendak harta benda kehidupan dunia.”  Maksud mencari harta benda kehidupan di dunia ialah kambing-kambing tersebut. 

Orang yang beriman yang keluar berjihad pada jalan Allah swt dengan tujuan memerangi musuhNya diperintahkan agar meneliti terlebih dahulu terhadap orang yang menyampaikan salam, bagi menentukan sama ada orang tersebut mengucapkan salam hanyalah untuk menjaga diri agar tidak dibunuh, atau dia memang seorang mukmin yang menyembunyikan keimanannya kerana berada di tengah-tengah orang-orang kafir. 

Sekiranya terdapat kesamaran dalam hal ini kemungkinan dia adalah seorang mukmin, maka kaum mukmin diperintahkan untuk tidak mengambil keputusan membunuhnya. Ini adalah kerana salam adalah salah satu syiar Islam dan mereka tidak boleh mengambil sikap sambil lewa terhadapnya dan menuduhnya berpura-pura semata-mata untuk mendapatkan harta dunia. 

Allah Maha Mengetahui seluruh amal perbuatan dan sekecil-kecil urusan hamba-hambaNya. Dia akan memberikan balasan terhadap amal dan niat mereka.