Teguran Allah Swt terhadap Orang Mukmin dalam Menghadapi Orang Munafik
Surah 4: An-Nisa’ (88 – 91)
Ayat 88
فَمَا لَكُمْ فِى ٱلْمُنَـٰفِقِينَ فِئَتَيْنِ وَٱللَّهُ أَرْكَسَهُم بِمَا كَسَبُوٓا۟ ۚ أَتُرِيدُونَ أَن تَهْدُوا۟ مَنْ أَضَلَّ ٱللَّهُ ۖ وَمَن يُضْلِلِ ٱللَّهُ فَلَن تَجِدَ لَهُۥ سَبِيلًا
Maka apakah yang menyebabkan kamu (berpecah) menjadi dua golongan terhadap kaum munafik itu, padahal Allah telah menjerumuskan mereka (ke dalam kekufuran) disebabkan apa yang telah mereka usahakan? Adakah kamu pula hendak memberi petunjuk kepada orang-orang yang telah disesatkan oleh Allah? Padahal sesiapa yang telah disesatkan oleh Allah, maka engkau tidak sekali-kali akan mendapat jalan untuk menyelamatkannya.
Para mufassir (ahli tafsir) berbeza pendapat tentang sebab turun ayat di atas. Ada yang mengatakan bahawa sebab turunnya adalah daripada hadis Zaid bin Thabit, riwayat Imam Ahmad bahawa Rasulullah saw dan para sahabat berangkat ke Gunung Uhud untuk berperang, kemudian sebahagian daripada mereka yang ikut bersama-sama Baginda tadi kembali ke Madinah. Maka para sahabat terbahagi menjadi dua kelompok dalam menyikapi orang-orang yang kembali ini. Satu kelompok mengatakan: “Kita bunuh mereka,” manakala satu kelompok lagi mengatakan: “Tidak perlu, mereka adalah kaum mukminin.” Lalu Allah Swt menurunkan ayat: “Maka mengapa kamu (terpecah) menjadi dua golongan dalam (menghadapi) orang-orang munafik.” Kemudian Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya Madinah adalah bersih dan suci. Ia akan membersihkan keburukan sebagaimana alat peniup api membersihkan kotoran pada besi.”
(HR. Bukhari dan Muslim)
Dua kelompok yang disebutkan dalam ayat ini ialah satu golongan orang-orang mukmin yang membela orang-orang munafik dan satu lagi ialah golongan orang-orang mukmin yang memusuhi mereka. Oleh sebab terdapat para sahabat samar-samar tentang sikap orang-orang munafik, maka sebahagian daripada mereka berasa berat memerangi orang-orang munafik dan memutuskan persahabatan dengan mereka kerana keislaman yang mereka nampakkan, sedangkan sahabat yang lain mengetahui keadaan mereka dengan melihat kepada qarinah (tanda) perbuatan mereka yang menunjukkan kemunafikan, sehingga sahabat yang lain tersebut menghukumi mereka kafir.
Oleh itu dalam ayat ini, Allah Swt menolak atau tidak bersetuju dengan perbezaan pendapat kaum mukmin dalam menyikapi kekafiran kaum munafik. Ini kerana telah dapat dilihat dengan jelas kekafiran mereka. Dia telah memalingkan orang-orang munafik ini daripada kebenaran dan menjatuhkan mereka ke dalam kesesatan kerana mereka telah melakukan maksiat, menentang Rasulullah saw, mengikuti kebatilan, memerangi muslimin, membenci dan berusaha menghancurkan mereka.
Allah Swt juga menempelak orang-orang mukmin yang ingin mengembalikan orang-orang munafik bagi mendapatkan petunjuk Islam, sedangkan mereka berusaha untuk menyesatkan diri sendiri. Mereka memilih jalan yang sesat dan meninggalkan jalan yang benar dan lurus.
Maka pada ayat di atas, Allah Swt memberitahu bahawa tidak sepatutnya orang-orang mukmin meragukan kekafiran mereka kerana sudah jelas sikap mereka yang berkali-kali melakukan kekafiran.
Ayat 89
وَدُّوا۟ لَوْ تَكْفُرُونَ كَمَا كَفَرُوا۟ فَتَكُونُونَ سَوَآءً ۖ فَلَا تَتَّخِذُوا۟ مِنْهُمْ أَوْلِيَآءَ حَتَّىٰ يُهَاجِرُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ فَإِن تَوَلَّوْا۟ فَخُذُوهُمْ وَٱقْتُلُوهُمْ حَيْثُ وَجَدتُّمُوهُمْ ۖ وَلَا تَتَّخِذُوا۟ مِنْهُمْ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا
Mereka suka kalau kamu pula menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir, maka (dengan yang demikian) menjadilah kamu sama seperti mereka. Oleh itu janganlah kamu mengambil (seorang pun) di antara mereka menjadi teman rapat kamu, sehingga mereka berhijrah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam). Kemudian kalau mereka sengaja berpaling ingkar, maka tawanlah mereka dan bunuhlah mereka di mana sahaja kamu menemuinya; dan jangan sekali-kali kamu mengambil (seorang pun) di antara mereka menjadi teman rapat atau penolong;
Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang munafik berharap dan berkeinginan agar orang-orang mukmin tersesat dan agama Islam dapat dihancurkan. Ini menunjukkan mereka sangat membenci dan memusuhi Islam.
Oleh itu, Allah Swt mengingatkan orang-orang Islam agar berwaspada terhadap tipu daya dan usaha mereka. Mereka tidak boleh dijadikan teman yang rapat supaya mereka tidak mengambil kesempatan untuk membantu perjuangan mereka kecuali sekiranya mereka sudah beriman, mahu berhijrah ke Madinah dan menolong agama-Nya dengan ikhlas. Ini menunjukkan keimanan mereka.
Seterusnya Allah Swt memerintahkan orang-orang beriman menangkap dan membunuh mereka di mana sahaja mereka berada jika mereka berpaling daripada keimanan dan tidak mahu berhijrah. Allah Swt juga melarang orang-orang beriman menjalin hubungan kasih sayang dengan mereka atau menjadikan mereka sebagai pemimpin dan meminta pertolongan kepada mereka selagi mereka bersikap demikian.
Ayat 90
إِلَّا ٱلَّذِينَ يَصِلُونَ إِلَىٰ قَوْمٍۭ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُم مِّيثَـٰقٌ أَوْ جَآءُوكُمْ حَصِرَتْ صُدُورُهُمْ أَن يُقَـٰتِلُوكُمْ أَوْ يُقَـٰتِلُوا۟ قَوْمَهُمْ ۚ وَلَوْ شَآءَ ٱللَّهُ لَسَلَّطَهُمْ عَلَيْكُمْ فَلَقَـٰتَلُوكُمْ ۚ فَإِنِ ٱعْتَزَلُوكُمْ فَلَمْ يُقَـٰتِلُوكُمْ وَأَلْقَوْا۟ إِلَيْكُمُ ٱلسَّلَمَ فَمَا جَعَلَ ٱللَّهُ لَكُمْ عَلَيْهِمْ سَبِيلًا
Kecuali orang-orang yang pergi (meminta perlindungan) kepada suatu kaum yang ada ikatan perjanjian setia antara kamu dengan mereka, atau orang-orang yang datang kepada kamu sedang hati mereka merasa berat hendak memerangi kamu atau memerangi kaumnya. Dan jika Allah menghendaki, nescaya Ia menjadikan mereka berkuasa melawan kamu, kemudian tentulah mereka memerangi kamu. Dalam pada itu, jika mereka membiarkan kamu (dengan tidak mengancam atau mengganggu), serta mereka tidak memerangi kamu dan mereka menawarkan perdamaian kepada kamu, maka Allah tidak menjadikan bagi kamu sesuatu jalan (yang membolehkan kamu memerangi atau menawan) mereka.
Allah Swt menerangkan dua golongan orang-orang munafik yang dikecualikan daripada ditawan dan dibunuh iaitu:
1. Orang-orang yang menjalin hubungan dengan satu kaum (pihak ketiga) yang berjanji damai dengan kaum muslimin. Mereka bergabung bersama kaum yang berjanji damai dengan kaum muslimin sama ada perjanjian itu adalah perjanjian genjatan senjata atau perjanjian akad ahli zimmah. Ini sesuai dengan yang terjadi pada Perjanjian Hudaibiyah. Sabda Rasulullah saw:
“Barangsiapa ingin masuk perjanjian damai orang-orang Quraisy, dia boleh ikut bersama mereka dan barangsiapa ingin masuk dalam perjanjian damai Muhammad dan sahabat-sahabatnya, dia boleh ikut bersama kami.”
(HR. Al-Bukhari)
Ahli Zimmah ialah golongan bukan Islam yang membuat perjanjian yang dinamakan akad zimmah dengan negara Islam supaya mereka diberi hak mendapatkan perlindungan nyawa, diri, harta benda, agama dan kehormatan diri serta dapat tinggal dalam negara Islam berterusan dengan aman dan dikenakan jizyah.
2. Orang-orang yang ragu-ragu dalam membuat keputusan iaitu orang-orang yang tidak sanggup memerangi Rasulullah saw dan para sahabat namun dalam masa yang sama mereka juga tidak sanggup memerangi kaum mereka, sehingga mereka tidak bersama-sama dengan orang-orang Islam dan tidak pula bersama-sama dengan kaum mereka. Mereka tidak mahu memerangi kaum muslimin kerana terikat dengan perjanjian damai dan mereka juga tidak mahu memerangi kaumnya kerana ingin menjaga ikatan kesukuan dan nasab sehingga mereka dimaafkan.
Kedua-dua golongan ini hendaklah diperlakukan sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah Swt. Firman-Nya:
“Dan perangilah pada jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.”
Al-Baqarah 2:190
Sekiranya Allah Swt menghendaki, tentu Dia memberi kekuasaan kepada orang-orang munafik terhadap kaum mukmin, lalu pasti mereka akan memerangi kaum mukmin bersama dengan musuh kaum mukmin iaitu kaum musyrik. Namun berkat rahmat dan kasih sayang-Nya kedua-dua golongan ini berdamai dan tidak mahu menyerang kaum mukmin.
Oleh itu, sekiranya mereka membiarkan dan tidak memerangi serta mengemukakan perjanjian perdamaian maka tidak boleh bagi orang-orang mukmin memerangi mereka.
Ayat 91
سَتَجِدُونَ ءَاخَرِينَ يُرِيدُونَ أَن يَأْمَنُوكُمْ وَيَأْمَنُوا۟ قَوْمَهُمْ كُلَّ مَا رُدُّوٓا۟ إِلَى ٱلْفِتْنَةِ أُرْكِسُوا۟ فِيهَا ۚ فَإِن لَّمْ يَعْتَزِلُوكُمْ وَيُلْقُوٓا۟ إِلَيْكُمُ ٱلسَّلَمَ وَيَكُفُّوٓا۟ أَيْدِيَهُمْ فَخُذُوهُمْ وَٱقْتُلُوهُمْ حَيْثُ ثَقِفْتُمُوهُمْ ۚ وَأُو۟لَـٰٓئِكُمْ جَعَلْنَا لَكُمْ عَلَيْهِمْ سُلْطَـٰنًا مُّبِينًا
Kamu juga akan dapati golongan-golongan yang lain (yang pura-pura Islam) supaya mereka beroleh aman dari pihak kamu, dan (sebaliknya mereka melahirkan kekufurannya) supaya mereka beroleh aman dari pihak kaumnya (yang masih kafir). Tiap-tiap kali mereka diajak kepada fitnah (pencerobohan), mereka segera terjerumus ke dalamnya. Oleh itu, jika mereka tidak membiarkan kamu (dan terus mengganggu atau berpihak kepada musuh), dan (tidak pula) menawarkan perdamaian kepada kamu dan juga (tidak) menahan tangan mereka (daripada memerangi kamu), maka hendaklah kamu bertindak menawan mereka dan membunuh mereka di mana sahaja kamu menemuinya; kerana merekalah orang-orang yang Kami jadikan bagi kamu alasan yang terang nyata untuk bertindak terhadapnya.
Allah Swt menyatakan cara bagaimana berinteraksi dengan golongan munafik yang ketiga iaitu apabila mereka bersama-sama dengan orang-orang Islam, mereka menyembah Allah Swt namun apabila mereka bersama-sama dengan kaum mereka, mereka kembali kepada kesyirikan iaitu menyembah berhala.
Mereka adalah kaum munafik yang menampakkan keislaman mereka di hadapan Rasulullah saw dan para sahabat supaya nyawa, harta dan keluarga terselamat namun mereka menyembunyikan kekafiran dalam hati mereka. Sikap mereka ini disebutkan dalam firman Allah Ta’ala:
“Dan bila mereka berjumpa dengan orang-orang yang beriman, mereka mengatakan: ‘Kami telah beriman.’ Dan bila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka mengatakan: ‘Sesungguhnya kami sependirian dengan kamu, kami hanyalah berolok-olok.'”
Al-Baqarah 2:14
Kedudukan orang-orang munafik seperti ini iaitu apabila mereka tidak berhenti memerangi kaum mukmin bahkan membantu kaum musyrik memerangi orang-orang Islam, maka Allah Swt memerintahkan supaya menjadikan mereka sebagai tawanan perang. Mereka boleh diserang di mana sahaja menemukan mereka sekiranya mempunyai bukti yang nyata sebagai golongan yang berhak diserang kerana mereka benar-benar memusuhi Islam. Ini kerana orang-orang Islam mempunyai alasan yang sangat jelas untuk memerangi dan membunuh mereka.
Ini menunjukkan bahawa Islam menekankan perdamaian, keamanan dan perjanjian.