Surah 4: An-Nisa’ (87)

Allah Bersumpah akan Menghimpunkan Manusia pada Hari Kiamat

Surah 4: An-Nisa’ (87)


Ayat 87

ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۚ لَيَجْمَعَنَّكُمْ إِلَىٰ يَوْمِ ٱلْقِيَـٰمَةِ لَا رَيْبَ فِيهِ ۗ وَمَنْ أَصْدَقُ مِنَ ٱللَّهِ حَدِيثًا

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Sesungguhnya Ia akan menghimpunkan kamu pada hari kiamat, (hari) yang tidak ada syak padanya. Dan siapakah pula yang lebih benar perkataannya daripada Allah?

Ayat, “Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia.” adalah penjelasan Allah swt kepada seluruh makhlukNya tentang tauhid UluhiyyahNya atau keesaanNya dalam hak peribadahan hanya semata-mata kepadaNya. Ini kerana dengan sifat RububiyyahNya, hanya Dia sahaja yang mencipta, mengatur dan memberikan nikmat sama ada yang nampak ataupun yang tersembunyi kepada semua makhlukNya. Oleh itu hanya Dia yang berhak untuk makhluk memperhambakan diri. 

Allah swt bersumpah akan menghimpunkan seluruh manusia bermula daripada penciptaan pertama hingga terakhir di satu tempat iaitu pada Hari Kiamat. Dia lah yang akan memberikan balasan terhadap perbuatan yang dikerjakan oleh hamba-hambaNya. 

Hari Kiamat benar-benar akan terjadi dan tidak ada keraguan tentangnya kerana terdapat dalil ‘aqli dan dalil naqli padanya. Dalil ‘aqli adalah apa yang kita saksikan, seperti disuburkan bumi setelah keringnya dan diciptakan makhluk yang sebelumnya tidak ada. Oleh itu sudah pasti membangkitkan makhluk setelah mati lebih mudah bagi Allah swt daripada menciptakan daripada yang sebelumnya tidak ada. 

Demikian juga berdasarkan hikmahNya (kebijaksanaanNya), Dia yang menetapkan bahawa Dia tidaklah menciptakan makhlukNya dengan sia-sia. Mereka hidup dan akan mati yang kemudiannya akan menerima balasan. Manakala dalil naqli adalah pemberitaan daripada yang paling benar ucapanNya, iaitu Al-Quran, bahkan Allah swt bersumpah terhadap kebenarannya. 

Oleh itu, pertanyaan Allah swt, “Dan siapakah pula yang lebih benar perkataannya daripada Allah?” adalah bermaksud tidak ada satu pun yang lebih benar daripadaNya dalam perkataan, pemberitaan, janji dan ancamanNya. Maka tidak ada Ilah yang lebih berhak diibadahi dengan benar selain Allah swt dan tiada Rabb selainNya.