Cara Menjawab Salam
Surah 4: An-Nisa’ (86)
Ayat 86
وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا۟ بِأَحْسَنَ مِنْهَآ أَوْ رُدُّوهَآ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ حَسِيبًا
Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.
Allah Swt menyatakan sekiranya seorang muslim mengucapkan salam penghormatan kepada seorang muslim yang lain, hendaklah dia menjawab dengan yang lebih baik atau dengan salam yang serupa. Menjawab salam dengan lebih baik adalah dianjurkan dan menjawab dengan yang serupa adalah diwajibkan.
Imam Ahmad meriwayatkan daripada ‘Imran bin Husain ra berkata bahawa ada seorang lelaki datang menemui Rasulullah saw sambil mengucapkan: “Assalamu ‘alaikum,” Maka Nabi menjawabnya kemudian duduk dan bersabda: “Sepuluh.” Kemudian datang orang lain mengucapkan: “Assalamu ‘alaikum warahmatullah ya Rasulullah.” Maka Baginda menjawab kemudian bersabda: “Dua puluh.” Kemudian datang orang lain mengucapkan: “Assalaamu ‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh.” Maka Baginda menjawabnya kemudian duduk dan bersabda: “Tiga puluh.”
Jika seorang Muslim telah memahami tujuan syari’at salam, maka paling tidak dia akan membalasnya dengan yang sama. Namun tidak dibenarkan memberi salam kepada orang kafir, tetapi sekiranya mereka mengucapkan salam, maka boleh dijawab berdasarkan hadis di dalam kitab As-Sahihain daripada Ibnu Umar ra bahawa Nabi saw bersabda:
“Jika orang yahudi mengucapkan salam kepada kamu, maka seorang daripada mereka sebenarnya mengucapkan “Assaamu ‘alaikum (kecelakaan ke atas kamu.” Maka jawablah “Wa ‘alaika (demikian juga ke atasmu).”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Allah Swt menghitung semua amalan hamba-Nya sama ada yang baik ataupun yang buruk, besar ataupun kecil dan akan memberikan balasan terhadapnya sesuai seperti yang dikehendaki-Nya berdasarkan keadilan-Nya dan hukum-Nya yang terpuji.