Surah 4: An-Nisa’ (85)

Pemberian Syafaat

Surah 4: An-Nisa’ (85)


Ayat 85

مَّن يَشْفَعْ شَفَـٰعَةً حَسَنَةً يَكُن لَّهُۥ نَصِيبٌ مِّنْهَا ۖ وَمَن يَشْفَعْ شَفَـٰعَةً سَيِّئَةً يَكُن لَّهُۥ كِفْلٌ مِّنْهَا ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ مُّقِيتًا

Sesiapa yang memberikan syafaat yang baik nescaya ia akan memperoleh bahagian (pahala) daripadanya; dan sesiapa yang memberikan syafaat yang buruk, nescaya ia akan mendapat bahagian (dosa) daripadanya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Syafaat (pertolongan) terbahagi kepada dua bahagian, iaitu syafaat yang baik dan syafaat yang buruk. Syafaat yang baik adalah syafaat untuk melindungi hak seorang muslim atau menghindarkannya daripada suatu kemudaratan. Sesiapa yang memberikan syafaat yang baik kepada orang lain, misalnya membantunya agar dapat melakukan kebaikan, maka dia akan memperolehi bahagian pahalanya sesuai dengan bantuan yang diberikan tanpa dikurangi sedikit pun. 

Ada juga mengatakan syafaat yang baik adalah doa untuk kebaikan saudaranya yang muslim kerana ini juga bentuk menolong seseorang kerana Allah swt. Rasulullah saw bersabda: 

“Sesiapa secara diam-diam mendoakan saudara muslimnya, maka doanya akan dikabulkan oleh Allah. Malaikat pun berkata, “Kamu juga mendapatkan bahagian seperti yang diberikan kepada orang yang kamu doakan.’” 

(HR. Muslim dan Abu Daud) 

Sebaliknya, sesiapa yang membantu orang lain agar dapat melakukan keburukan, maka dia menanggung dosa sesuai bantuan yang diberikannya. Dalam ayat ini terdapat dorongan untuk tolong-menolong dalam kebaikan dan ketakwaan dan larangan tolong-menolong dalam melakukan dosa dan permusuhan. Begitu juga larangan mendoakan keburukan atau musibah kepada saudara muslim, hal ini tidak dibenarkan dan berdosa. 

Allah Maha Menyaksikan, Menjaga dan Memperhitungkan segala sesuatu. Oleh sebab itu, Dia akan membalas amalan masing-masing secara adil.