Surah 4: An-Nisa’ (83)

Larangan Terburu-buru Menyebarkan Suatu Berita sebelum Mengetahui Kebenarannya

Surah 4: An-Nisa’ (83)


Ayat 83

وَإِذَا جَآءَهُمْ أَمْرٌ مِّنَ ٱلْأَمْنِ أَوِ ٱلْخَوْفِ أَذَاعُوا۟ بِهِۦ ۖ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى ٱلرَّسُولِ وَإِلَىٰٓ أُو۟لِى ٱلْأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ ٱلَّذِينَ يَسْتَنۢبِطُونَهُۥ مِنْهُمْ ۗ وَلَوْلَا فَضْلُ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُۥ لَٱتَّبَعْتُمُ ٱلشَّيْطَـٰنَ إِلَّا قَلِيلًا

Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada – “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu).

Terdapat hadis daripada ‘Umar bin Al-Khattab ra yang disepakati kesahihannya (oleh Al-Bukhari dan Muslim). Ketika sampai berita kepadanya bahawa Rasulullah saw telah menceraikan isteri-isterinya, dia pun datang ke rumah Baginda, seterusnya masuk ke dalam masjid. Di sana ramai juga orang yang mengatakan demikian. Dia tidak sabar hingga meminta izin kepada Baginda lalu bertanya kepada Baginda: “Benarkah engkau menceraikan isteri-isterimu?” Baginda menjawab: “Tidak.” (Dalam hadis itu disebutkan), Aku (‘Umar) pun berkata: “Allahu Akbar.”  

Adapun dalam Sahih Muslim disebutkan, “Aku (‘Umar) bertanya: “Apakah engkau telah menceraikan mereka?” Baginda menjawab: “Tidak.” Lalu aku pun berdiri di depan pintu masjid dan berteriak sekeras-kerasnya: “Rasulullah saw tidak menceraikan isteri-isterinya.” Lalu turunlah ayat ini. 

Dalam ayat ini terdapat larangan terburu-buru dalam mengambil langkah menyebarkan sesuatu berita sebelum meneliti dan mempertimbangkannya terlebih dahulu. Rasulullah saw bersabda: 

“Cukuplah seseorang itu dikatakan pendusta jika dia menceritakan setiap perkara yang dia dengar.” 

(HR. Muslim) 

“Sesiapa yang menceritakan sebuah berita, padahal dia tahu bahawa berita itu dusta, maka dia termasuk salah seorang daripada pendusta.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

Sesuatu berita yang tidak pasti apabila sampai kepada orang-orang munafik atau orang-orang yang lemah imannya dan tidak mempunyai pengalaman dalam masalah berkaitan dengan kepentingan umum, mereka cepat-cepat menyebarkannya kepada orang lain. Sikap ini dapat membahayakan kemaslahatan umum. 

Oleh itu, Allah swt memerintahkan agar menyerahkan masalah yang berhubungan dengan kepentingan umum kepada pemimpin kaum muslimin iaitu Rasulullah saw atau Ulul Amri iaitu orang yang bertugas menetapkan dan membatalkan keputusan atau kepada majlis Syura. Mereka adalah orang yang lebih mengetahui masalah tersebut dan lebih pandai dalam menyaring berita-berita yang benar. 

Dalam menyampaikan berita, mereka juga akan mengawasi, mempertimbangkan apa yang perlu mereka lakukan dan mengendalikannya. Mereka juga mempunyai pengalaman dan pengetahuan tentang strategi peperangan. Ini semua adalah untuk menjaga keamanan dan kemaslahatan orang ramai dan negara. 

Akhir ayat ini, Allah swt menyatakan anugerahNya kepada orang-orang beriman. Sekiranya bukan kerana rahmat dan kasih sayangNya, mereka tidak akan mendapat petunjuk untuk taat kepadaNya dan RasulNya serta merujuk kepada sumber yang boleh dipercayai iaitu daripada ulul amri, tentulah mereka akan mengikuti bisikan syaitan. FirmanNya: 

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan yang mungkar. Sekiranya tidaklah kerana kurniaan Allah dan rahmatNya kepada kamu sekalian, nescaya tidak seorangpun daripada kamu bersih (daripada perbuatan-perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” 

An-Nur 24:21