Surah 4: An-Nisa’ (82)

Perintah supaya Mentadabbur Al-Quran

Surah 4: An-Nisa’ (82)


Ayat 82

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ ٱلْقُرْءَانَ ۚ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِندِ غَيْرِ ٱللَّهِ لَوَجَدُوا۟ فِيهِ ٱخْتِلَـٰفًا كَثِيرًا

Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.

Allah Swt memerintahkan hamba-hamba-Nya mentadabbur Al-Quran dan memahami maknanya yang jelas. Dia juga menegaskan bahawa dalam Al-Quran tidak ada yang saling bertentangan dalam ayat-ayat-Nya kerana ia diturunkan oleh Rabb Yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji. 

Allah Swt menyatakan sekiranya Al-Quran adalah ciptaan manusia seperti tuduhan orang-orang musyrik dan orang-orang munafik, maka pasti mereka akan menemukan banyak pertentangan atau percanggahan di dalamnya baik dari segi makna mahupun susunan ayat-ayatnya. 

Ini sebagaimana Allah Swt menyebutkan tentang orang-orang yang mendalam ilmu mereka, ketika mereka berkata: “Kami beriman kepadanya, semuanya dari sisi Rabb kami.” (QS. Ali-‘Imran: 7) iaitu mereka mengatakan ayat-ayat muhkam dan ayat mutasyabihnya adalah benar. Oleh itu mereka mengembalikan ayat-ayat yang mutasyabih kepada yang muhkam, sehingga mereka memperoleh hidayah. 

Muhkam ertinya ayat-ayat yang maknanya jelas tidak tersembunyi. Sedangkan mutasyabih adalah ayat-ayat yang maknanya tidak jelas dan hanya orang-orang yang tajam keilmuannya yang dapat memahaminya dengan pemahaman yang benar. 

Sedangkan orang-orang yang di dalam hati mereka terdapat penyimpangan, mereka mengembalikan yang muhkam kepada yang mutasyabih, sehingga mereka sesat. Oleh itu, Allah Swt memuji orang-orang yang mendalam ilmu mereka dan mencela orang-orang yang menyimpang. 

Hadis daripada ‘Abdullah bin ‘Amr, dia berkata: “Suatu hari, aku datang kepada Rasulullah saw. Ketika kami duduk-duduk, tiba-tiba ada orang yang sedang berdebat tentang satu ayat, sehingga suaranya sangat keras. Baginda bersabda: 

“Sesungguhnya umat-umat sebelum kamu itu binasa disebabkan perselisihan mereka tentang Al-Kitab.” 

(HR. Al-Bukhari, Muslim dan an-Nasa’i) 

Al-Quran adalah kalam Allah Swt. Susunan perkataan dan ayat-ayatnya sangat indah dan menakjubkan. Keindahan dan kefasihan bahasa Al-Quran telah mengalahkan para sasterawan dan pakar bahasa. 

Al-Quran menceritakan kisah-kisah terdahulu yang telah berlaku dan kisah yang akan berlaku pada masa hadapan. Asas-asas akidah dan syariah sama ada secara umum mahupun khusus, masalah politik dan pemerintahan juga terdapat di dalamnya. Al-Quran juga menerangkan teori-teori dan konsep-konsep falsafah yang baru ditemui oleh manusia setelah mereka melalui perjalanan sejarah yang panjang. Selain itu terkandung di dalamnya maklumat tentang alam ghaib dan juga keadaan Hari Kiamat dengan gambaran yang nyata seakan-akan berada di hadapan mata. Sesiapa yang mengkajinya menjadikannya takut dan kemudiannya berasa tenang. Firman Allah: 

“Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik (iaitu) Al-Quran yang serupa (mutu ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gementar kerananya kulit orang-orang yang takut kepada Rabb mereka, kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka sewaktu mengingati Allah. Itulah petunjuk Allah, dengan kitab itu Dia menunjuki sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang disesatkan Allah, nescaya tidak ada baginya seorang pemimpin pun (yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya).” 

Az-Zumar 39:23 

Seandainya umat Islam mengetahui akan keagungan kalam Allah Ta’ala ini, tentu mereka tidak akan meninggalkan Al-Quran. Seandainya mereka mentadabbur Al-Quran, menjiwai dan memahaminya dengan sebenar-benarnya, nescaya mereka akan memperoleh petunjuk bagi mendapatkan kehidupan yang sempurna. Sesungguhnya Al-Quran adalah petunjuk, cahaya, jalan yang lurus, kunci kebahagiaan, pedoman hidup yang dapat membina sahsiah umat serta jalan untuk memperoleh kebahagiaan di akhirat. Firman-firman Allah Swt: 

“Sesungguhnya Al-Quran ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi berita gembira kepada orang-orang beriman yang mengerjakan amal soleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar.” 

Al-Isra’ 17:9 

“Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh berkah supaya mereka menghayati ayat-ayat-Nya dan supaya orang-orang yang berakal sihat mendapat pelajaran.” 

Sad 38:29