Celaan Allah Swt terhadap Penipuan Orang Munafik
Surah 4: An-Nisa’ (81)
Ayat 81
وَيَقُولُونَ طَاعَةٌ فَإِذَا بَرَزُوا۟ مِنْ عِندِكَ بَيَّتَ طَآئِفَةٌ مِّنْهُمْ غَيْرَ ٱلَّذِى تَقُولُ ۖ وَٱللَّهُ يَكْتُبُ مَا يُبَيِّتُونَ ۖ فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ وَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ ۚ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ وَكِيلًا
Dan mereka (golongan munafik) berkata: “(Kami) taat”, kemudian apabila mereka keluar dari majlismu, segolongan dari mereka memutuskan pada malam hari satu rancangan yang lain daripada (pengakuan taat) yang mereka katakan (kepadamu). Sedang Allah (perintahkan malaikat) menulis apa yang mereka rancangkan itu; maka berpalinglah (wahai Muhammad) daripada mereka, (janganlah dihiraukan apa yang mereka rancangkan), serta berserahlah kepada Allah; kerana cukuplah Allah menjadi Pembela (yang memeliharamu dari angkara mereka).
Allah Swt mencela orang-orang munafik kerana mereka kelihatan seperti bersetuju dan taat ketika berada di hadapan Rasulullah saw, namun perkataan mereka adalah bohong semata-mata. Apabila mereka berpisah, keluar dari tempat Baginda atau di belakang Baginda, mereka berkumpul secara rahsia pada malam hari dan mengatakan hal yang berbeza dengan apa yang telah mereka ucapkan di hadapan Baginda.
Sesungguhnya Allah Swt mengetahui apa yang tersembunyi dalam hati orang-orang munafik. Dia mengetahui pembicaraan yang mereka rahsiakan dan mencatat sesuai dengan perintah-Nya kepada para Malaikat penjaga yang mencatat segala ucapan dan perbuatan mereka.
Oleh itu, Allah Swt menyuruh Rasulullah saw membiarkan mereka, memaafkan, tidak menghukum dan tidak perlu takut kepada mereka serta tidak perlu menyusun rancangan untuk memerangi mereka.
Rasulullah saw juga diperintahkan agar bertakwa dan menyerahkan segala urusan kepada-Nya. Cukuplah Dia yang menangani mereka dan cukuplah Allah Swt sebagai Penolong kepada orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.