Surah 4: An-Nisa’ (80)

Perintah supaya Mentaati Rasulullah saw

Surah 4: An-Nisa’ (80)


Ayat 80

مَّن يُطِعِ ٱلرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ ٱللَّهَ ۖ وَمَن تَوَلَّىٰ فَمَآ أَرْسَلْنَـٰكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًا

Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah; dan sesiapa yang berpaling ingkar, maka (janganlah engkau berdukacita wahai Muhammad), kerana Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka dari melakukan kesalahan).

Allah Swt menyatakan bahawa sesiapa yang mentaati Rasulullah saw, maka dia telah mentaati Allah Ta’ala. Sebaliknya sesiapa yang menentang Baginda maka dia telah menentang-Nya. Ini kerana Baginda tidak berbicara mengikut hawa nafsunya tetapi apa yang diucapkannya adalah wahyu daripada-Nya. Rasulullah saw bersabda: 

“Barangsiapa yang taat kepadaku bererti dia telah taat kepada Allah dan barangsiapa yang derhaka kepadaku bererti dia telah derhaka kepada Allah. Barangsiapa yang taat kepada amirku (pemimpin yang muslim) maka dia telah taat kepadaku dan barangsiapa yang bermaksiat kepada amirku, maka dia telah bermaksiat kepadaku.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

Allah Swt menyatakan bahawa Rasulullah saw diutuskan hanyalah berkewajipan menyampaikan kepada manusia apa yang diperintahkan-Nya dan apa yang dilarang-Nya. Oleh itu, sesiapa yang mengikuti Baginda pasti akan bahagia dan selamat. Sedangkan sesiapa yang berpaling daripada mengikuti Baginda, maka dia akan celaka dan rugi, serta apa-apa kecelakaan yang menimpa mereka bukanlah urusan Baginda.