Surah 4: An-Nisa’ (77 – 79)

Celaan Allah Swt terhadap Orang Munafik yang Takut Berperang

Surah 4: An-Nisa’ (77 – 79)


Ayat 77

أَلَمْ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ قِيلَ لَهُمْ كُفُّوٓا۟ أَيْدِيَكُمْ وَأَقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَ فَلَمَّا كُتِبَ عَلَيْهِمُ ٱلْقِتَالُ إِذَا فَرِيقٌ مِّنْهُمْ يَخْشَوْنَ ٱلنَّاسَ كَخَشْيَةِ ٱللَّهِ أَوْ أَشَدَّ خَشْيَةً ۚ وَقَالُوا۟ رَبَّنَا لِمَ كَتَبْتَ عَلَيْنَا ٱلْقِتَالَ لَوْلَآ أَخَّرْتَنَآ إِلَىٰٓ أَجَلٍ قَرِيبٍ ۗ قُلْ مَتَـٰعُ ٱلدُّنْيَا قَلِيلٌ وَٱلْـَٔاخِرَةُ خَيْرٌ لِّمَنِ ٱتَّقَىٰ وَلَا تُظْلَمُونَ فَتِيلًا

Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad), akan orang-orang yang (pernah) dikatakan kepada mereka: “Tahanlah tangan kamu (daripada bertindak melancarkan perang yang belum diizinkan), dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat”. (Mereka meminta juga hendak berperang), kemudian apabila mereka diperintahkan berperang, tiba-tiba sepuak di antara mereka merasa gerun kepada manusia sama seperti mereka merasa gerun kepada (azab) Allah atau lebih gerun lagi. Lalu mereka (merayu kepada Allah dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, mengapa Engkau wajibkan kami berperang (pada saat ini)? Mengapa Engkau tidak biarkan kami hingga ke tempoh yang singkat (iaitu akhir hayat kami)?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertakwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya), dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikit pun”.

Pada permulaan Islam, orang-orang mukmin di kota Makkah, diperintahkan mendirikan solat dan menunaikan zakat. Mereka juga diperintahkan untuk melindungi orang-orang fakir, memaafkan dan sabar terhadap kaum musyrikin sehingga waktu yang ditentukan. 

Sebenarnya pada masa itu mereka sangat menginginkan agar diperintahkan berperang melawan musuh-musuh mereka. Namun keadaan ketika itu tidak memungkinkan mereka berperang dengan beberapa sebab. Antaranya ialah jumlah mereka jauh masih sedikit berbanding dengan jumlah musuh dan mereka masih berada di tempat mereka sendiri iaitu di kota Mekah yang mulia. 

Oleh itu, kaum muslimin tidak diperintahkan untuk berjihad sebelum mereka berpindah ke Madinah, iaitu setelah mereka mempunyai negara, pertahanan dan pengikut yang ramai. 

Walaupun begitu, ketika mereka telah berhijrah ke Madinah dan diperintahkan untuk berperang, ada sebahagian daripada mereka sangat takut dan benci menghadapi peperangan. Mereka itu adalah orang-orang munafik dan lemah imannya. Ketakutan mereka terhadap perang boleh disamakan dengan ketakutan mereka kepada turunnya azab Allah Swt, malah lebih daripada itu. Lalu Allah Swt menceritakan kisah tersebut dalam ayat ini. 

Mereka mengatakan mengapa tidak ditunda kewajipan berperang kepada waktu yang lain kerana akan terjadi pertumpahan darah, anak-anak yang menjadi yatim dan isteri-isteri yang menjadi janda. 

Maksud ayat, “kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, dan hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertakwa” ialah bertakwa dalam melakukan ketaatan kepada Allah Swt di dunia hanyalah sementara. Ini kerana di akhirat kelak kehidupan orang-orang yang bertakwa akan lebih baik daripada kehidupan mereka di dunia ini. 

Ayat ini juga mengandungi hiburan bagi orang-orang yang mengalami kesedihan dan merupakan dorongan bagi mereka yang menginginkan kemuliaan akhirat dan anjuran untuk berjihad pada jalan Allah Ta’ala. 

Ayat 78

أَيْنَمَا تَكُونُوا۟ يُدْرِككُّمُ ٱلْمَوْتُ وَلَوْ كُنتُمْ فِى بُرُوجٍ مُّشَيَّدَةٍ ۗ وَإِن تُصِبْهُمْ حَسَنَةٌ يَقُولُوا۟ هَـٰذِهِۦ مِنْ عِندِ ٱللَّهِ ۖ وَإِن تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ يَقُولُوا۟ هَـٰذِهِۦ مِنْ عِندِكَ ۚ قُلْ كُلٌّ مِّنْ عِندِ ٱللَّهِ ۖ فَمَالِ هَـٰٓؤُلَآءِ ٱلْقَوْمِ لَا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ حَدِيثًا

Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: “Ini adalah dari sisi Allah”, dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata: “Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah”. Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?

Allah Swt menyatakan bahawa kematian adalah sesuatu yang pasti dan tidak boleh dihindari serta tidak ada sesiapa pun yang terselamat daripada kematian walaupun dia berada dalam benteng yang kukuh. Firman-firman-Nya: 

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada Hari Kiamat sahajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh dia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” 

Ali ‘Imran 3:185 

“Semua yang ada di bumi itu akan binasa.” 

Ar-Rahman 55:26 

“Kami tidak menjadikan hidup abadi bagi seorang manusia pun sebelum kamu (Muhammad), maka jikalau kamu mati, apakah mereka akan kekal?” 

Al-Anbiya’ 21:34 

Oleh itu dalam ayat ini, Allah Swt menyatakan kepada hamba-hamba-Nya bahawa tidaklah patut mereka takut mati apabila pergi berjihad. Ini kerana setiap orang pasti menuju kematian dan tidak ada sesuatu pun yang menyelamatkan daripadanya, sama ada dia berjihad ataupun tidak. 

Dalam ayat ini juga, Allah Swt menyatakan sikap dan perkataan orang-orang munafik. Jika mereka mendapat kebaikan seperti tanah mereka subur, buah-buahan dan tanam-tanaman yang banyak, mendapat anak-anak dan yang seumpamanya, mereka mengatakan semuanya itu adalah dari sisi Allah Ta’ala. 

Jika mereka ditimpa keburukan mereka akan mengatakan hal itu adalah disebabkan mereka mengikuti agama Nabi Muhammad saw. Mereka hanya Islam secara zahir sahaja, padahal mereka membenci Islam. Mereka mengatakan semua keburukan itu adalah berpunca dari sisi Baginda kerana mereka mengikutinya. Ini sebagaimana kata-kata kaum Firaun kepada Nabi Musa as dan kata-kata kaum Thamud kepada Nabi Saleh as. Firman-firman-Nya: 

“Kemudian apabila datang kepada mereka kemakmuran, mereka berkata: “Itu adalah kerana (usaha) kami.” Dan jika mereka ditimpa kesusahan, mereka lemparkan sebab kesialan itu kepada Musa dan orang-orang yang bersamanya. Ketahuilah, sesungguhnya kesialan mereka itu adalah ketetapan daripada Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.” 

Al-A’raf 7:131 

“Mereka menjawab: ‘Kami mendapat nasib yang malang, disebabkan kamu dan orang-orang yang bersamamu.’ Saleh berkata: ‘Nasibmu ada pada sisi Allah, (bukan kami yang menjadi sebab), tetapi kamu kaum yang diuji.'” 

An-Naml 27:47 

Oleh itu, Allah memerintahkan Baginda menerangkan kepada mereka bahawa apa sahaja yang berlaku adalah qadha’ dan qadar-Nya. Dia lah yang menetapkan segala kebaikan atau keburukan itu untuk sesiapa sahaja sama ada mukmin ataupun kafir. 

Ayat 79

مَّآ أَصَابَكَ مِنْ حَسَنَةٍ فَمِنَ ٱللَّهِ ۖ وَمَآ أَصَابَكَ مِن سَيِّئَةٍ فَمِن نَّفْسِكَ ۚ وَأَرْسَلْنَـٰكَ لِلنَّاسِ رَسُولًا ۚ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ شَهِيدًا

Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri. Dan Kami telah mengutus engkau (wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul (yang membawa rahmat). Dan cukuplah Allah menjadi saksi (yang membuktikan kebenaran hakikat ini).

Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw memberitahu orang-orang munafik malah untuk seluruh manusia bahawa apa sahaja kebaikan dan kenikmatan yang diperoleh manusia adalah daripada Allah Swt semata-mata sebagai kurniaan-Nya, kasih sayang dan pertolongan-Nya. 

Manakala apa sahaja musibah, keburukan dan kesengsaraan yang menimpa mereka adalah akibat tindakan buruk mereka yang mengikuti hawa nafsu serta akibat daripada dosa-dosa atau kesalahan yang dilakukan oleh kedua-dua tangan mereka sendiri. Ini kerana mereka tidak mahu berpedoman dengan hidayah Allah Ta’ala. Firman-Nya: 

“Dan apa sahaja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (daripada kesalahan-kesalahanmu).” 

Asy-Syura 42:30 

Allah Swt mengutuskan Rasulullah saw kepada umat manusia adalah untuk menyampaikan risalah-Nya dan Baginda telah menjalankan tugas itu dengan baik. Dia Maha Mengetahui apa yang Baginda sampaikan dan penentangan serta kekafiran yang Baginda hadapi daripada umatnya. Oleh itu, cukuplah Allah Swt menjadi saksi terhadap apa yang telah terjadi antara Baginda dengan umatnya.