Sikap Orang Munafik yang Tidak Ikut Berjihad
Surah 4: An-Nisa’ (72 – 73)
Ayat 72
وَإِنَّ مِنكُمْ لَمَن لَّيُبَطِّئَنَّ فَإِنْ أَصَـٰبَتْكُم مُّصِيبَةٌ قَالَ قَدْ أَنْعَمَ ٱللَّهُ عَلَىَّ إِذْ لَمْ أَكُن مَّعَهُمْ شَهِيدًا
Dan sesungguhnya ada di antara kamu: orang-orang yang sengaja memberat-beratkan dirinya (juga orang lain, daripada turut mara ke medan perang). Kemudian kalau kamu ditimpa kemalangan (tercedera atau terbunuh) ia berkata: “Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmat kepadaku, kerana aku tidak turut berperang bersama-sama mereka”.
Mujahid dan sebahagian ulama lain mengatakan bahawa ayat ini turun berkenaan dengan orang-orang munafik. Muqatil bin Hayyan mengatakan maksud لَّيُبَطِّئَنَّ adalah sangat ingin tertinggal daripada jihad, iaitu orang-orang munafik itu sendiri berlambat-lambat atau menghalang orang lain daripada berjihad. Ini sebagaimana ‘Abdullah bin Ubay bin Salul berusaha meninggalkan jihad serta menghalang orang lain untuk keluar berjihad. Inilah pendapat Ibnu Juraij dan Ibnu Jarir.
Dalam ayat ini, Allah Swt menceritakan sikap orang-orang munafik yang tidak ikut berjihad. Apabila orang-orang yang pergi berjihad dan mati syahid serta dikalahkan oleh musuh ketika Allah Swt menghendaki hikmah di dalamnya, mereka berkata bahawa sesungguhnya Allah Swt telah menganugerahkan nikmat kepada mereka. Ini kerana mereka tidak ikut berperang. Mereka menyangka dengan tidak ikut ke medan perang itu merupakan nikmat daripada Allah Swt, padahal mereka tidak mengetahui tentang apa yang telah hilang daripada diri mereka berupa pahala atas kesabaran dan kesyahidan mereka jika terbunuh.
Ayat 73
وَلَئِنْ أَصَـٰبَكُمْ فَضْلٌ مِّنَ ٱللَّهِ لَيَقُولَنَّ كَأَن لَّمْ تَكُنۢ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُۥ مَوَدَّةٌ يَـٰلَيْتَنِى كُنتُ مَعَهُمْ فَأَفُوزَ فَوْزًا عَظِيمًا
Dan demi sesungguhnya kalau kamu beroleh limpah kurnia (kemenangan) dari Allah, sudah tentu ia mengatakan (dengan sesalnya), seolah-olah tidak ada hubungan kasih mesra antara kamu dengannya: “Alangkah baiknya kalau aku turut serta bersama-sama mereka, supaya aku juga beroleh kemenangan yang amat besar?”
Allah Swt menceritakan bahawa apabila orang-orang beriman memperoleh kemenangan dan harta rampasan perang, orang-orang munafik ini berkata sekiranya mereka turut serta dalam peperangan pasti mereka juga akan mendapat bahagian harta rampasan perang tersebut. Sikap orang-orang munafik ini menunjukkan mereka adalah orang-orang yang lemah iman, berfikiran sempit dan pengecut. Oleh itu, Allah Swt mencela mereka dengan ungkapan yang sangat halus yang menunjukkan bahawa mereka tidak ada ikatan sama sekali dengan kaum mukmin.
Padahal keimanan itu menghendaki pemiliknya agar bersama-sama dengan kaum mukmin yang lain memikul tanggungjawab berjuang pada jalan Allah Swt. Mereka mestilah berasa senang ketika saudaranya memperoleh kemenangan dan berasa sedih ketika saudaranya tidak memperolehnya. Namun ternyata yang terlintas dalam hati mereka adalah sebaliknya dan hanya semata-mata mementingkan keduniaan dan kesenangannya.