Surah 4: An-Nisa’ (59)

Perintah supaya Mentaati Allah Swt, Rasul-Nya dan Ulul Amri

Surah 4: An-Nisa’ (59)


Ayat 59

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِى ٱلْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَـٰزَعْتُمْ فِى شَىْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

Imam Ahmad meriwayatkan daripada ‘Ali ra, dia berkata:  

“Rasulullah saw mengutuskan satu pasukan kecil dan melantik seorang Ansar sebagai pemimpin pasukan dan memerintahkan mereka untuk mentaatinya. Suatu ketika pemimpin itu marah dan berkata: ‘Bukankah Rasulullah saw memerintahkan kamu mentaatiku?’ Mereka menjawab: ‘Betul.’ Pemimpin itu berkata lagi: ‘Kalau begitu, kumpulkanlah kayu bakar untukku.’ Mereka pun mengumpulkannya. Kemudian dia meminta api, lalu membakarnya sambil berkata: ‘Aku sangat berkeinginan agar kamu masuk ke dalamnya.’ Mereka nyaris masuk ke dalamnya. ‘Ali ra, berkata lagi: “Seorang pemuda di antara mereka berkata: ‘Sesungguhnya jika kamu lari, kamu lari kepada Rasulullah saw untuk menghindarkan diri daripada api ini. Jangan kamu terburu-buru sehingga kamu menemui Rasulullah saw. Apabila Baginda memerintahkan kamu untuk masuk ke dalam api itu maka masuklah.’ Maka mereka pun pergi menemui Rasulullah saw menceritakan hal ini. Maka Rasulullah saw bersabda: “Seandainya kamu masuk ke dalam api itu, pasti kamu tidak akan keluar daripadanya selama-lamanya. Sesungguhnya ketaatan itu hanyalah (berlaku) pada perkara yang makruf.’”  

Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim. 

Ada beberapa pendapat tentang maksud Ulul Amri, namun menurut Ibnu Al-Arabi, pendapat yang tepat adalah pendapat yang mengatakan bahawa maksud Ulil Amri adalah para pemimpin dan para ulama. Para pemimpin mempunyai kewajipan untuk memerintah dan menetapkan hukuman. Manakala ulama adalah orang yang layak untuk ditanya tentang permasalahan agama. Mereka wajib menjawab dan fatwanya wajib dilaksanakan. 

Pemerintah yang zalim wajib ditaati jika perkara yang diperintahkannya bukan dalam hal maksiat (iaitu dalam perkara yang makruf serta sanggup dikerjakan) sama ada dalam masalah usuluddin (dasar-dasar agama) ataupun furu’ (cabang-cabangnya). Ini berdasarkan sabda Rasulullah saw: 

“Ingatlah! Sesiapa yang dipimpin oleh seorang pemimpin, lalu dia melihat pemimpinnya melakukan perbuatan kemaksiatan kepada Allah, maka bencilah perbuatan maksiat yang dilakukannya, tetapi jangan terkeluar daripada ketaatan kepadanya (memberontak).” 

(HR. Muslim) 

Dalam ayat ini juga terdapat perintah daripada Allah Swt sekiranya terdapat perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara, pihak yang memutuskan hukum ini hendaklah merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Firman Allah: 

“………..Apa yang diberikan Rasul kepada kalian, maka terimalah dan apa yang dilarangnya bagi kalian, maka tinggalkanlah dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya.” 

Al-Hasyr 28:7 

Oleh itu, apa sahaja yang telah ditetapkan dalam Al-Quran dan As-Sunnah dan terdapat dalil tentang kebenaran di dalamnya maka itulah kebenaran. Sesiapa yang tidak merujuk kepada kitab Allah Ta’ala dan Sunnah Rasulullah saw dalam setiap perselisihan, maka dia tidak termasuk orang yang beriman kepada Allah Swt dan hari akhirat. Berhukum dengan Al-Quran dan As-Sunnah adalah sebaik-baik rujukan.