Kewajipan Menunaikan Amanah dan Menegakkan Keadilan
Surah 4: An-Nisa’ (58)
Ayat 58
إِنَّ ٱللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا۟ ٱلْأَمَـٰنَـٰتِ إِلَىٰٓ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحْكُمُوا۟ بِٱلْعَدْلِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعًۢا بَصِيرًا
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.
Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Ibnu Juraij, dia berkata, ayat ini diturunkan berkenaan dengan ‘Uthman bin Talhah pada saat Rasulullah saw mengambil kunci Ka’bah daripadanya, lalu Baginda masuk ke dalam Ka’bah pada Fathu Makkah. Ketika Baginda keluar, Baginda membaca ayat ini “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya,” lalu Baginda memanggil ‘Uthman dan menyerahkan semula kunci itu kepadanya.
Walaupun ayat di atas turun berkenaan dengan sebab tertentu, namun secara umumnya adalah berkaitan dengan wajibnya menjaga amanah yang menjadi tanggungjawab setiap Muslim.
Amanah yang dimaksudkan dalam ayat di atas adalah semua jenis amanah, sama ada yang berkaitan dengan diri sendiri ataupun yang berkaitan dengan hak orang lain ataupun yang berkaitan dengan hak Allah Swt. Firman-Nya:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepadamu, sedangkan kamu mengetahui.”
Al-Anfal 8:27
Rasulullah saw bersabda:
“Setiap kalian adalah pemelihara, dan setiap diri kalian adalah bertanggungjawab kepada apa yang dipelihara.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Ayat, “dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.” adalah perintah Allah Swt agar apabila menetapkan sesuatu hukum ke atas manusia mestilah dengan mengikuti syariat-Nya melalui lisan Rasulullah saw seperti dalam masalah ahkam (hukum) ataupun hudud (batasan-batasan yang telah ditetapkan oleh Allah Swt dalam jenayah syariah).
Muhammad bin Ka’ab, Zaid bin Aslam Syahr bin Hausyab berkata:
“Sesungguhnya ayat ini diturunkan untuk umara’, iaitu para pemutus hukum di antara manusia,” iaitu yang sewenang-wenangnya menjatuhkan hukum terhadap manusia.
(HR. At-Tabari)
Ayat, “Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu.” bermaksud perintah Allah Swt agar manusia menunaikan amanah, menetapkan hukum di antara manusia dengan adil dan hal-hal yang lain adalah merupakan perintah-perintah dan syariat-Nya yang sempurna, agung dan lengkap.
Sesungguhnya Allah Maha Mendengar seluruh perkataan hamba-hamba-Nya dan Maha Melihat seluruh perbuatan mereka.