Perbandingan di antara Azab Penghuni Neraka dan Nikmat Penghuni Syurga
Surah 4: An-Nisa’ (56 – 57)
Ayat 56
إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا سَوْفَ نُصْلِيهِمْ نَارًا كُلَّمَا نَضِجَتْ جُلُودُهُم بَدَّلْنَـٰهُمْ جُلُودًا غَيْرَهَا لِيَذُوقُوا۟ ٱلْعَذَابَ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًا
Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Allah Swt memberitahu hukuman yang akan diterima oleh orang-orang yang kufur terhadap ayat-ayatNya dan menghalang para rasul-Nya. Dia akan memasukkan mereka ke dalam api Neraka yang akan membakar seluruh anggota badan mereka.
Seterusnya Dia memberitahu tentang kekalnya hukuman dan kehinaan yang akan mereka rasai. Setiap kali kulit-kulit mereka hangus, Dia akan gantikan dengan kulit yang baru agar mereka sentiasa merasakan azab.
Ayat 57
وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ سَنُدْخِلُهُمْ جَنَّـٰتٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًا ۖ لَّهُمْ فِيهَآ أَزْوَٰجٌ مُّطَهَّرَةٌ ۖ وَنُدْخِلُهُمْ ظِلًّا ظَلِيلًا
Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Mereka beroleh dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang suci bersih, serta Kami masukkan mereka ke tempat yang teduh yang sentiasa dinaungi.
Inilah berita tentang tempat kembalinya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan-amalan soleh. Mereka akan dimasukkan ke dalam Syurga yang mengalir sungai-sungai ke seluruh penjurunya. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, tidak pindah dan tidak akan dipindahkan serta mereka tidak ingin berpindah meninggalkannya.
Mereka memiliki isteri-isteri yang suci daripada haid, nifas, kotoran, akhlak-akhlak tercela dan sifat-sifat hina. Ini sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu ‘Abbas ra. Manakala Qatadah mengatakan mereka suci daripada kotoran, dosa, haid dan beban tanggungjawab.
Allah Swt memasukkan mereka ke tempat yang teduh lagi selesa iaitu di bawah naungan yang luas, lebat, rendang, indah dan baik.