Surah 4: An-Nisa’ (52 – 55)

Celaan kepada Orang Yahudi kerana Meminta Pertolongan Orang Musyrik

Surah 4: An-Nisa’ (52 – 55)


Ayat 52

أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ لَعَنَهُمُ ٱللَّهُ ۖ وَمَن يَلْعَنِ ٱللَّهُ فَلَن تَجِدَ لَهُۥ نَصِيرًا

(Kaum Yahudi yang demikian sikapnya) mereka itulah orang-orang yang dilaknat oleh Allah; dan sesiapa yang dilaknat oleh Allah, maka engkau tidak sekali-kali akan mendapati sesiapa pun yang boleh menolongnya.

Ayat ini mengandungi celaan dan laknat Allah Swt kepada orang-orang Yahudi atas perbuatan mereka meminta pertolongan kepada kaum Musyrik untuk melawan orang-orang beriman. 

Dalam ayat sebelum ini dijelaskan bahawa orang-orang Yahudi telah mengatakan kepada orang-orang Musyrik Mekah bahawa orang-orang Musyrik itu lebih benar jalan mereka dibandingkan dengan jalan orang-orang beriman. Mereka sengaja mengatakan sedemikian agar orang-orang Musyrik cenderung untuk menolong mereka. Ini ternyata apabila berlaku perang Ahzab, orang-orang Yahudi ini telah berjaya menarik sokongan kaum Musyrikin untuk turut serta dalam peperangan tersebut sehingga Nabi saw dan para sahabat terpaksa menggali parit (khandak) di sekitar Madinah. Walau bagaimanapun, Allah Swt melindungi orang-orang beriman daripada kejahatan orang-orang Yahudi. Firman-Nya: 

“Dan Allah menghalau orang-orang yang Kafir itu yang keadaan mereka penuh kejengkelan, (lagi) mereka tidak memperoleh keuntungan apapun. Dan Allah menghindarkan orang-orang Mukmin dari peperangan. Dan adalah Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” 

Al Ahzab 33:25 

Ayat 53

أَمْ لَهُمْ نَصِيبٌ مِّنَ ٱلْمُلْكِ فَإِذًا لَّا يُؤْتُونَ ٱلنَّاسَ نَقِيرًا

Patutkah ada bagi mereka (kaum Yahudi itu) sesuatu bahagian dari kekuasaan memerintah? (Tidak, bahkan kalau ada) maka sudah tentu mereka tidak akan memberikan sedikitpun kebaikan kepada manusia.

Pertanyaan Allah Swt dalam ayat ini merupakan satu bentuk penafian. Dia menyatakan bahawa orang-orang Yahudi tidak memiliki apa-apa kekuasaan pun. Dia juga menyifatkan mereka sebagai orang-orang yang bakhil sebagaimana yang disebutkan dalam ayat ini iaitu seandainya mereka memiliki sedikit kekuasaan atau kerajaan pun, nescaya mereka tidak akan memberikan apa-apa pun kepada manusia, apatah lagi kepada Nabi Muhammad saw. Mereka tidak akan memberikan sesuatu seberat ‘naqir’ pun, iaitu satu titik pada biji, menurut pendapat Ibnu ‘Abbas ra dan kebanyakan ulama, disebabkan kebakhilan dan kekikiran mereka. 

Ayat 54

أَمْ يَحْسُدُونَ ٱلنَّاسَ عَلَىٰ مَآ ءَاتَىٰهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِۦ ۖ فَقَدْ ءَاتَيْنَآ ءَالَ إِبْرَٰهِيمَ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْحِكْمَةَ وَءَاتَيْنَـٰهُم مُّلْكًا عَظِيمًا

Atau patutkah mereka dengki kepada manusia (Nabi Muhammad dan umatnya) disebabkan nikmat (pangkat Nabi dan agama Islam) yang telah diberikan oleh Allah kepada mereka dari limpah kurnia-Nya? Kerana sesungguhnya Kami telahpun memberi kepada keluarga Ibrahim: Kitab (agama) dan hikmat (pangkat Nabi), dan kami telah memberi kepada mereka kerajaan yang besar.

Orang-orang Yahudi dengki kepada Nabi Muhammad saw kerana Baginda dianugerahkan kenabian yang agung sehingga mereka enggan membenarkan kenabiannya. Kedengkian mereka itu disebabkan Baginda daripada keturunan Arab dan bukan daripada keturunan Bani Israil. 

Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah menjadikan kenabian pada keturunan Bani Israil yang merupakan anak cucu Nabi Ibrahim as. Dia juga menurunkan kitab-kitab kepada mereka sehingga mereka menerapkan hukum-hukum di kalangan Bani Israil dengan sunnah-sunnah para nabi berupa hikmah. Dia juga menjadikan raja-raja di kalangan mereka. 

Ayat 55

فَمِنْهُم مَّنْ ءَامَنَ بِهِۦ وَمِنْهُم مَّن صَدَّ عَنْهُ ۚ وَكَفَىٰ بِجَهَنَّمَ سَعِيرًا

Maka di antara mereka (kaum Yahudi yang dengki itu) ada yang beriman kepada (apa yang telah di kurniakan oleh Allah kepada keluarga Nabi Ibrahim) itu, dan ada pula di antara mereka yang berpaling daripadanya (tidak beriman). Dan cukuplah dengan neraka jahanam yang sentiasa menyala-nyala itu (menjadi tempat seksa mereka).

Allah Swt menyatakan bahawa ada di antara mereka ini beriman dan ada yang mengingkari pemberian dan kenikmatan yang diberikan-Nya berupa kenabian di kalangan Bani Israil. Orang-orang yang ingkar ini berpaling daripada petunjuk dan berusaha menghalang manusia daripada mengikuti petunjuk yang dibawa oleh para nabi tersebut. Padahal para nabi itu adalah sebahagian daripada mereka dan daripada golongan mereka, iaitu daripada kalangan Bani Israil. Seterusnya Allah Swt menyatakan, dengan para nabi daripada kalangan mereka sendiri pun mereka tetap berselisih, inikan pula dengan Nabi Muhammad saw yang bukan daripada kalangan Bani Israil. 

Oleh itu, Allah Swt mengancam mereka dengan api Neraka sebagai hukuman atas kekufuran, pembangkangan dan penentangan mereka terhadap kitab-kitab-Nya dan para rasul-Nya.