Surah 4: An-Nisa’ (51)

Sifat Orang Yahudi yang Beriman kepada Jibt dan Taghut

Surah 4: An-Nisa’ (51)


Ayat 51

أَلَمْ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ نَصِيبًا مِّنَ ٱلْكِتَـٰبِ يُؤْمِنُونَ بِٱلْجِبْتِ وَٱلطَّـٰغُوتِ وَيَقُولُونَ لِلَّذِينَ كَفَرُوا۟ هَـٰٓؤُلَآءِ أَهْدَىٰ مِنَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ سَبِيلًا

Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab (Taurat)? Mereka percaya kepada benda-benda yang disembah yang lain dari Allah, dan kepada Taghut, dan mereka pula berkata kepada orang-orang kafir (kaum musyrik di Makkah) bahawa mereka (kaum musyrik itu) lebih betul jalan agamanya daripada orang-orang yang beriman (kepada Nabi Muhammad s.a.w).

Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada ‘Ikrimah, dia berkata, “Huyay bin Akhtab dan Ka’ab bin Al-Asyraf datang menemui penduduk Mekah. Penduduk Mekah berkata kepada kedua-duanya, “Kamu berdua adalah ahli kitab, dan juga memiliki pengetahuan. Siapakah yang lebih baik antara kami dan Muhammad?” Maka kedua-duanya bertanya, “Apakah yang terjadi antara kalian dengan Muhammad?” Mereka berkata, “Kami selalu menyambung silaturrahim, menyembelih haiwan (untuk menjamu tetamu), mencampur air dengan susu, membebaskan tawanan perang dan memberi minuman kepada orang-orang yang datang berhaji, sementara Muhammad adalah budak hingusan, pemutus tali silaturrahim di antara kami dan para pengikutnya adalah daripada Bani Ghifar yang suka merompak orang-orang yang datang berhaji. Manakah yang lebih baik, kami atau dia?” Kedua-duanya menjawab, “Kalian lebih baik dan lebih benar.” Lalu Allah menurunkan ayat, “Tidakkah engkau perhatikan kepada orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab?” hingga akhir ayat. 

Beberapa pendapat tentang Jibt dan Taghut: 

  • Muhammad bin Ishak meriwayatkan daripada ‘Umar bin Al-Khattab bahawa dia berkata, “”Jibt” adalah sihir dan “Taghut” adalah Syaitan.”
  • Al-‘Allamah Abu Nashr bin Isma’il bin Hammad Al-Jauhari dalam kitabnya “Ash-Shihah” berkata: “Jibt adalah kalimah yang ditujukan untuk berhala, tukang ramal (dukun), tukang sihir dan seumpamanya.” 
  • Ibnu Abi Hatim mengatakan daripada Abdullah bahawa apabila dia ditanya tentang Taghut-taghut, maka dia mengatakan mereka adalah para dukun yang Syaitan menyertai mereka. 
  • Mujahid mengatakan Taghut adalah Syaitan dalam bentuk manusia yang dijadikan sebagai pemutus hukum dan pemegang urusan. 
  • Imam Malik mengatakan Taghut adalah setiap sesuatu yang diibadahi selain Allah swt. 

Dalam ayat ini, Allah swt menyatakan antara perilaku buruk orang-orang Yahudi ialah mereka tidak beriman kepada Allah Ta’ala dan RasulNya, sebaliknya menggantikannya dengan beriman kepada Jibt dan Taghut. Mereka malah percaya dengan peribadatan kepada selain Allah swt dengan menyembah berhala atau menetapkan sesuatu amalan yang bertentangan dengan syariat Allah swt. 

Bagaimana mungkin agama yang ditegak di atas peribadatan kepada patung dan berhala, boleh disamakan atau lebih baik daripada agama yang ditegak di atas peribadatan kepada Allah swt. Tentu tidak akan sama dan agama yang tertegak di atas peribadatan kepada Allah swt dan memerintahkan berbuat ihsan tentu adalah jauh lebih baik, lebih benar dan lebih lurus jalannya.