Surah 4: An-Nisa’ (49 – 50)

Laknat Allah Swt terhadap Ahli Kitab yang Menganggap Diri Mereka Suci

Surah 4: An-Nisa’ (49 – 50)


Ayat 49

أَلَمْ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ يُزَكُّونَ أَنفُسَهُم ۚ بَلِ ٱللَّهُ يُزَكِّى مَن يَشَآءُ وَلَا يُظْلَمُونَ فَتِيلًا

Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang membersihkan (memuji) diri sendiri? (Padahal perkara itu bukan hak manusia) bahkan Allah jualah yang berhak membersihkan (memuji) sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya); dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasan mereka) sedikitpun.

Al-Hasan dan Qatadah berkata, ayat ini turun berkenaan dengan orang-orang Yahudi dan Nasrani ketika mereka mengatakan bahawa mereka adalah anak-anak dan kekasih Allah Swt. Begitu juga tentang perkataan mereka dalam beberapa ayat yang lain contohnya mereka berkata seperti dalam firman-firman-Nya: 

“Sekali-kali tidak akan masuk Syurga kecuali orang-orang (yang beragama) Yahudi atau Nasrani……………….” 

Al-Baqarah 2:111 

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani mengatakan: ‘Kami ini adalah anak-anak Allah dan kekasih-kekasih-Nya………………'” 

Al-Ma’idah 5:18 

Allah Swt hanya menyucikan sesiapa yang dikehendaki-Nya dan menentukan siapa yang beruntung dan berhak untuk masuk Syurga. Mereka adalah orang-orang yang beriman (memeluk Islam) dan beramal soleh. Firman-Nya: 

“(Tidak demikian) bahkan sesiapa yang menyerahkan diri kepada Allah, sedangkan dia berbuat kebajikan, maka baginya pahala di sisi Rabbnya dan tidak ada kebimbangan terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” 

Al-Baqarah 2:112 

Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan bahawa tidak ada seorang pun yang dibiarkan daripada mendapat balasan pahalanya walaupun sedikit. 

Ayat 50

ٱنظُرْ كَيْفَ يَفْتَرُونَ عَلَى ٱللَّهِ ٱلْكَذِبَ ۖ وَكَفَىٰ بِهِۦٓ إِثْمًا مُّبِينًا

Lihatlah (wahai Muhammad) betapa beraninya mereka mengada-adakan perkara-perkara dusta terhadap Allah? Dan cukuplah perbuatan itu menjadi dosa yang terang nyata.

Kebohongan ahli kitab yang beranggapan bahawa diri mereka suci tidak memberi manfaat sedikitpun kepada mereka kerana Allah Maha Mengetahui hakikat dan rahsia segala perkara. Allah Swt memberi balasan dan menimpakan mereka seksaan disebabkan segala perbuatan dan kedustaan mereka.