Surah 4: An-Nisa’ (41 – 42)

Keadaan Orang Kafir pada Hari Kiamat

Surah 4: An-Nisa’ (41 – 42)


Ayat 41

فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِن كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَىٰ هَـٰٓؤُلَآءِ شَهِيدًا

Maka bagaimanakah (keadaan orang-orang kafir pada hari akhirat kelak), apabila Kami datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi terhadap perbuatan mereka), dan Kami juga datangkan engkau (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini?

Allah swt menyatakan tentang kedahsyatan Hari Kiamat serta kesukaran urusan pada hari itu. Setiap umat akan didatangkan seorang saksi daripada para nabi. Daripada Abdullah bin Mas’ud, dia berkata: Rasulullah saw bersabda kepadaku: 

“Bacakanlah untukku!” Aku bertanya: “Ya Rasulullah apakah aku bacakan kepadamu, padahal (Al-Quran) ini diturunkan kepadamu?” Baginda menjawab: “Ya, aku senang mendengarkannya daripada orang lain.” Maka aku membaca Surah An-Nisa’, hingga pada saat aku sampai pada ayat ini:  فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِنْ كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَىٰ هَٰؤُلَاءِ شَهِيدًا “Maka bagaimanakah (halnya orang kafir nanti), apabila Kami mendatangkan seseorang saksi (Rasul) daripada tiap-tiap umat dan Kami mendatangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka itu sebagai umatmu.” Baginda bersabda: “Cukuplah sekarang.” Ternyata air matanya berlinangan. 

(HR. Muslim) 

Ayat 42

يَوْمَئِذٍ يَوَدُّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَعَصَوُا۟ ٱلرَّسُولَ لَوْ تُسَوَّىٰ بِهِمُ ٱلْأَرْضُ وَلَا يَكْتُمُونَ ٱللَّهَ حَدِيثًا

Pada hari itu orang-orang yang kafir dan menderhaka kepada Rasulullah, suka jika mereka disama ratakan dengan tanah (ditelan bumi), dan (ketika itu) mereka tidak dapat menyembunyikan sepatah kata pun dari pengetahuan Allah.

Allah swt menyatakan bahawa pada Hari Kiamat nanti orang-orang kafir dan orang yang menderhakai Rasul, ingin sekali agar mereka disamaratakan dengan tanah iaitu bumi terbelah dan menelan mereka. Ini disebabkan apa yang mereka lihat tentang dahsyatnya Hari Kiamat, serta hal-hal yang mereka akan terima berupa kehinaan, terbukanya aib dan celaan. Firman Allah: 

“Pada hari manusia melihat apa yang telah diperbuat oleh kedua-dua tangannya.” 

An-Naba’ 78:40 

Pada akhir ayat ini, Allah swt menyatakan bahawa mereka semua akan mengakui segala amalan yang telah mereka lakukan ketika di dunia dahulu dan tiada satu pun yang akan tersembunyi daripada pengetahuanNya.