Larangan Bersikap Bakhil
Surah 4: An-Nisa’ (37)
Ayat 37
ٱلَّذِينَ يَبْخَلُونَ وَيَأْمُرُونَ ٱلنَّاسَ بِٱلْبُخْلِ وَيَكْتُمُونَ مَآ ءَاتَىٰهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِۦ ۗ وَأَعْتَدْنَا لِلْكَـٰفِرِينَ عَذَابًا مُّهِينًا
Iaitu orang-orang yang bakhil dan menyuruh manusia supaya bakhil serta menyembunyikan apa-apa jua yang Allah berikan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya. Dan (sebenarnya) Kami telah sediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina;
Allah Swt mencela perbuatan orang yang bakhil terhadap harta yang dikurniakan oleh-Nya. Dia memerintahkan agar harta itu dinafkahkan kepada orang yang memerlukan seperti kepada orang tua, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, tetangga dekat, teman sejawat, Ibnu Sabil dan hamba sahaya.
Orang-orang yang bakhil ini bukan sahaja tidak menyerahkan hak-Nya dalam harta mereka, malah mereka juga berusaha menyuruh orang lain berbuat bakhil. Rasulullah saw bersabda:
“Dan penyakit apa lagi yang lebih berbahaya daripada sifat bakhil.”
(HR. AL-Bukhari)
“Jauhilah sifat bakhil kerana bakhil itu telah membinasakan orang-orang sebelum kamu. Bakhil memerintahkan mereka agar memutuskan silaturrahim lalu mereka memutuskannya. Bakhil juga mendorong mereka berbuat aniaya maka mereka pun berbuat aniaya.”
(HR. Abu Dawud)
Bakhil bererti mengingkari nikmat Allah Swt dan tidak menampakkannya seperti tidak menzahirkannya pada pakaian, makanan dan juga tidak mendermakan sebahagian daripada hartanya.