Kepimpinan Lelaki tehadap Wanita, Sifat Wanita Solehah dan Wanita Nusyuz
Surah 4: An-Nisa’ (34)
Ayat 34
ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَآ أَنفَقُوا۟ مِنْ أَمْوَٰلِهِمْ ۚ فَٱلصَّـٰلِحَـٰتُ قَـٰنِتَـٰتٌ حَـٰفِظَـٰتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ ٱللَّهُ ۚ وَٱلَّـٰتِى تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَٱهْجُرُوهُنَّ فِى ٱلْمَضَاجِعِ وَٱضْرِبُوهُنَّ ۖ فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلَا تَبْغُوا۟ عَلَيْهِنَّ سَبِيلًا ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيرًا
Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolongan-Nya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.
Diriwayatkan bahawa isteri Saad bin Ar-Rabi’ ra telah membuatkannya marah sehingga dia menampar isterinya, lalu keluarga isterinya mengadukan hal ini kepada Rasulullah saw untuk meminta hukuman Qisas, lalu turunlah ayat ini.
Dalam ayat ini, Allah Swt menyatakan bahawa lelaki adalah pemimpin kepada kaum wanita. Ini bermaksud lelaki diberikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Antara tanggungjawab mereka ialah menyediakan tempat tinggal, memberi nafkah kepada isteri serta mendidik mereka dalam hal menjaga hak-hak Allah Swt.
Keutamaan lelaki melebihi wanita adalah berdasarkan apa yang telah dikhususkan kepada mereka iaitu berkaitan dengan wali, mahar, penyediaan nafkah, beberapa ibadah seperti jihad, solat Jumaat dan sebagainya. Demikian juga dilebihkan lelaki atas wanita kerana akal, kesabaran dan kekuatan yang ada pada mereka tidak dimiliki oleh kaum wanita. Kenabian dan kerasulan juga dikhususkan untuk lelaki. Begitu juga raja atau ketua negara (presiden), berdasarkan sabda Rasulullah saw:
“Tidak akan pernah beruntung suatu kaum yang mengangkat wanita (sebagai pemimpin) dalam urusan mereka.”
(HR. Al-Bukhari)
Wanita solehah ialah wanita yang taat kepada Allah Swt dan Rasul-Nya, melaksanakan kewajipan sebagai seorang isteri dengan mentaati suaminya, menjaga kehormatannya, menjaga hak suaminya semasa ketiadaan suami di sisinya serta memelihara rahsia dan harta suaminya. Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Abu Hurairah ra, dia mengatakan Rasulullah saw bersabda:
“Sebaik-baik wanita ialah wanita yang apabila engkau melihatnya maka dia menyenangkan hatimu, apabila engkau memerintahkannya maka dia mentaatimu dan jika engkau tiada di sisinya dia menjagamu dengan menjaga dirinya dan hartamu.” Kemudian Rasulullah saw membaca ayat, “Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, hingga akhir ayat.”
(HR. At-Tabari)
Maksud nusyuz ialah tidak menjalankan kewajipan suami isteri. Jika berlaku pada pihak isteri iaitu isteri menderhakai suaminya, suami perlu menasihati dan mengingatkannya tentang seksaan Allah Swt akibat menderhakainya. Ini kerana Allah Swt telah mewajibkan isteri mentaati suami serta mengharamkan maksiat kepadanya disebabkan keutamaan dan kelebihan yang dimiliki suami atas isteri. Rasulullah saw bersabda:
“Seandainya aku boleh memerintahkan seseorang untuk sujud kepada orang lain, nescaya aku perintahkan isteri sujud kepada suaminya disebabkan besarnya hak suami ke atas dirinya.”
(HR. At-Tirmidzi)
“Apabila seorang suami mengajak isterinya ke tempat tidurnya, lalu dia menolak, maka para malaikat melaknatnya sampai pagi.”
(HR. Al-Bukhari)
Suami juga boleh memisahkan isteri yang nusyuz di tempat tidur iaitu tidak menyetubuhinya. Boleh juga memukul dengan ringan sekiranya cara pengasingan tempat tidur antara suami isteri tidak dapat menjadikan isterinya berhenti daripada perbuatan nusyuz.
Sekiranya isteri mentaati suaminya dalam semua kehendak (suami) yang dibenarkan oleh syariat Allah swt, maka suami tidak boleh mencari-cari alasan untuk menyusahkannya. Ini bererti tidak halal bagi suami memisahkan mereka dari tempat tidur atau memukulnya.
Suami adalah pemimpin dan ketua rumahtangga tetapi kelebihan yang diberikan oleh Allah Swt ini bukanlah bermaksud suami boleh berbuat sesuka hati kepada isterinya. Ayat ini merupakan peringatan dan ancaman kepada suami jika mereka menzalimi isteri tanpa sebab. Ketahuilah Allah Maha Tinggi dan Maha Besar dibandingkan dengan para suami dan Dia akan menjaga para isteri serta menghukum para suami yang zalim. Oleh itu, para suami diingatkan supaya takut kepada Allah Swt dan meninggalkan sifat kesombongan serta keangkuhan sekiranya ada.