Larangan Iri Hati terhadap Apa yang Dimiliki oleh Orang Lain
Surah 4: An-Nisa’ (32)
Ayat 32
وَلَا تَتَمَنَّوْا۟ مَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بِهِۦ بَعْضَكُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ ۚ لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا ٱكْتَسَبُوا۟ ۖ وَلِلنِّسَآءِ نَصِيبٌ مِّمَّا ٱكْتَسَبْنَ ۚ وَسْـَٔلُوا۟ ٱللَّهَ مِن فَضْلِهِۦٓ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمًا
Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Imam Ahmad meriwayatkan daripada Ummu Salamah ra, dia berkata: “Wahai Rasulullah! Kaum lelaki dapat ikut serta berperang, sedangkan kami tidak diikutsertakan berperang dan hanya mendapat setengah bahagian warisan.” Maka Allah menurunkan ayat, “Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu melebihi sebahagian yang lain.”
Allah Swt melarang iri hati terhadap apa yang telah ditetapkan-Nya kerana sikap tersebut tidak dapat mengubah apa-apa. Sebaliknya Dia mendorong hamba-hamba-Nya agar memohon kepada-Nya apa sahaja daripada kurniaan-Nya dan Dia akan memberikannya. Sesungguhnya Allah Maha Pemurah lagi Maha Pemberi.
Allah Swt menjelaskan bahawa sama ada lelaki mahupun perempuan, mereka akan mendapat balasan berupa pahala terhadap amalan masing-masing. Jika amalan baik maka balasan pahala adalah kebaikan dan begitu juga sebaliknya.
Selain itu, Allah Swt juga menjelaskan tentang hak warisan iaitu masing-masing akan mendapat hak seperti yang telah ditetapkan-Nya.
Allah Maha Mengetahui sesiapa di kalangan hamba-hamba-Nya yang berhak memperoleh dunia maka Dia akan memberikan kepadanya. Dia juga Maha Mengetahui sesiapa di kalangan hamba-hamba-Nya yang berhak fakir maka Dia tidak akan menjadikannya kaya. Begitu juga Dia Maha Mengetahui sesiapa yang berhak memperoleh akhirat, maka Dia akan memantapkan keimanan dan memberikan taufik kepadanya dalam melakukan amal soleh. Manakala terhadap orang-orang yang berhak mendapat kehinaan maka Dia pun akan menghinakan mereka sehingga mereka tidak dapat melakukan kebaikan.