Surah 4: An-Nisa’ (3 – 4)

Hukum Berpoligami dan Perintah Memberikan Mahar

Surah 4: An-Nisa’ (3 – 4)


Ayat 3

وَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تُقْسِطُوا۟ فِى ٱلْيَتَـٰمَىٰ فَٱنكِحُوا۟ مَا طَابَ لَكُم مِّنَ ٱلنِّسَآءِ مَثْنَىٰ وَثُلَـٰثَ وَرُبَـٰعَ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا۟ فَوَٰحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُكُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰٓ أَلَّا تَعُولُوا۟

Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.

Maksud ayat, “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat.” ialah apabila ada wanita yatim di bawah pemeliharaan salah seorang daripada mereka dan dia berasa bimbang tidak dapat memberikan mahar seperti yang diberikan kepada wanita lain, maka carilah wanita yang lain kerana mereka cukup ramai, dan Allah Swt tidak akan memberikan kesempitan kepada mereka. 

Al-Bukhari meriwayatkan daripada ‘Aisyah ra, “Sesungguhnya seorang laki-laki yang memiliki tanggungan wanita yatim, lalu dinikahinya, sedangkan wanita itu memiliki sebuah pohon kurma yang berbuah. Lelaki itu menahannya sedangkan wanita itu tidak mendapatkan sesuatu pun daripada lelaki itu, maka turunlah ayat ini.”

Al-Bukhari juga meriwayatkan: “Telah menceritakan kepada kami ‘Abdul Aziz bin ‘Abdullah, telah menceritakan kepada kami Ibrahim bin Sa’ad dari Shalih bin Kaisan daripada Ibnu Syihab, ia berkata: ‘Urwah bin Az-Zubair menceritakan kepadaku bahawa dia bertanya kepada ‘Aisyah ra tentang firman Allah, “Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap perempuan yatim bila kamu mengahwini,” beliau menjawab: “Wahai anak saudaraku, anak yatim perempuan yang dimaksudkan adalah wanita yatim yang berada pada pemeliharaan walinya yang bergabung dalam hartanya.” Sedangkan dia menyukai harta dan kecantikannya. Lalu, walinya ingin mengahwininya tanpa berbuat adil dalam maharnya iaitu dengan tidak memberikan mahar yang sama dengan mahar yang diberikan oleh orang lain kepada wanita itu (jika orang lain mengahwininya), maka ini adalah terlarang. Mereka hendaklah berbuat adil kepada wanita-wanita tersebut dan memberikan mahar yang terbaik untuk mereka. Mereka diperintahkan untuk menikahi wanita-wanita yang mereka sukai selain wanita yatim tersebut. 

Maksud “Dua, tiga atau empat,” ialah jika orang-orang yang memelihara anak-anak yatim enggan menikahi mereka kerana tidak menyukai mereka, mereka boleh menikahi wanita-wanita lain yang mereka sukai selain anak-anak yatim tersebut, sama ada dua, tiga ataupun empat. 

Dalam ayat ini juga, Allah Swt mengingatkan umat Islam, sekiranya mereka bimbang tidak dapat berlaku adil di antara isteri-isteri tersebut maka memadai dengan mengahwini seorang sahaja atau hamba sahaya perempuan yang dia miliki. 

Berlaku adil adalah perlakuan yang adil dalam memenuhi keperluan isteri seperti dalam hal pakaian, tempat tinggal, giliran dan lain-lain yang bersifat lahiriah juga tidak cenderung kepada salah seorang daripada mereka dan tidak berbuat aniaya kepada yang lain. 

Ayat 4

وَءَاتُوا۟ ٱلنِّسَآءَ صَدُقَـٰتِهِنَّ نِحْلَةً ۚ فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَىْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيٓـًٔا مَّرِيٓـًٔا

Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.

Allah Swt mewajibkan seorang lelaki memberikan mas kahwin kepada wanita-wanita yang dinikahinya. Sekiranya isteri secara sukarela menghadiahkan maharnya kepada suaminya maka suaminya boleh mengambilnya. Ini kerana tidak halal bagi seorang suami untuk mengambilnya kecuali dengan izin isterinya.