Larangan Menikahi Wanita yang Haram Dinikahi
Surah 4: An-Nisa’ (22 – 24)
Ayat 22
وَلَا تَنكِحُوا۟ مَا نَكَحَ ءَابَآؤُكُم مِّنَ ٱلنِّسَآءِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۚ إِنَّهُۥ كَانَ فَـٰحِشَةً وَمَقْتًا وَسَآءَ سَبِيلًا
Dan janganlah kamu berkahwin (dengan perempuan-perempuan) yang telah diperisterikan oleh bapa kamu kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji, dan dibenci (oleh Allah), serta menjadi seburuk-buruk jalan (yang dilalui dalam perkahwinan).
Allah Swt melarang lelaki menikahi wanita-wanita yang telah dinikahi oleh bapa-bapa mereka seperti yang telah berlaku pada masa jahiliyah. Ini merupakan perbuatan buruk yang sangat dibenci oleh-Nya.
Ayat 23
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَـٰتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَٰتُكُمْ وَعَمَّـٰتُكُمْ وَخَـٰلَـٰتُكُمْ وَبَنَاتُ ٱلْأَخِ وَبَنَاتُ ٱلْأُخْتِ وَأُمَّهَـٰتُكُمُ ٱلَّـٰتِىٓ أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَٰتُكُم مِّنَ ٱلرَّضَـٰعَةِ وَأُمَّهَـٰتُ نِسَآئِكُمْ وَرَبَـٰٓئِبُكُمُ ٱلَّـٰتِى فِى حُجُورِكُم مِّن نِّسَآئِكُمُ ٱلَّـٰتِى دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا۟ دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَـٰٓئِلُ أَبْنَآئِكُمُ ٱلَّذِينَ مِنْ أَصْلَـٰبِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا۟ بَيْنَ ٱلْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا
Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemeliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Ayat ini menerangkan wanita-wanita yang haram dinikahi (mahram) dan terdiri daripada tiga kategori:
1
Keturunan
➊ Ibu, nenek dan seterusnya ke atas daripada jalur ayah dan ibu
➋ Anak-anak perempuan, cucu perempuan, cicit perempuan dan jalur ke bawah
➌ Adik-beradik perempuan
➍ Ibu saudara sebelah bapa
➎ Ibu saudara sebelah ibu
➏ Anak-anak perempuan daripada adik beradik yang lelaki
➐ Anak-anak perempuan daripada adik beradik yang perempuan
2
Susuan
➊ Wanita yang menyusuinya (ibu susuan)
➋ Ibu kepada wanita yang menyusuinya (kerana dia neneknya)
➌ Ibu kepada suami wanita yang menyusuinya (neneknya juga)
➍ Adik beradik perempuan suami wanita yang menyusui (ibu saudaranya)
➎ Adik beradik perempuan wanita yang menyusui (ibu saudaranya)
➏ Adik-beradik sesusuan, sama ada seibu sebapa, sebapa ataupun seibu
➐ Cucu perempuan daripada anak lelaki wanita yang menyusuinya dan cucu perempuan daripada anak perempuan wanita yang menyusui dan seterusnya
3
Perkahwinan
➊ Isteri bapa, nenek dan seterusnya ke atas
➋ Isteri anak, isteri cucu dan seterusnya ke bawah, sama ada mereka sebagai ahli waris ataupun terhalang (mahjub)
➌ Ibu isteri, nenek dan seterusnya ke atas
➍ Anak tiri (iaitu anak perempuan daripada isteri yang lahir daripada hasil perkongsian hidup dengan suami lain), cucu tiri dan seterusnya ke bawah dengan syarat telah menyetubuhi ibunya. Jika dia belum menyetubuhi ibu anak tiri perempuan tersebut lalu dia menceraikannya, maka anak tiri perempuan tersebut boleh dia nikahi
Semua kerabat ibu susuan juga menjadi kerabat anak yang disusui, wanita yang menyusuinya menjadi ibunya, anak perempuan ibu yang menyusuinya menjadi adik beradik susuan, suami ibu yang menyusuinya menjadi ayahnya. Sabda Rasulullah saw:
“Sepersusuan menjadikan mahram sebagaimana nasab (keturunan).”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Mengumpulkan (menikahi) dua bersaudara adalah diharamkan. Demikian juga haram menghimpunkan dalam pernikahan wanita tersebut bersama ibu saudaranya daripada pihak bapa ataupun ibu. Sabda Rasulullah saw:
“Janganlah seseorang perempuan berkahwin di atas perkahwinan ibu saudaranya dan janganlah ibu saudara sebelah bapa berkahwin ke atas perkahwinan anak perempuan kepada saudaranya, janganlah seorang perempuan berkahwin di atas perkahwinan emak saudaranya sebelah ibunya, janganlah emak saudara sebelah ibunya berkahwin di atas perkahwinan anak perempuan saudaranya. Janganlah kakak berkahwin di atas perkahwinan adiknya dan janganlah adik berkahwin di atas perkahwinan kakaknya.”
(HR. At-Tirmidzi)
Dalam hadis yang lain:
“Bahawa jika kamu melakukan yang demikian itu (memadukan dua bersaudara atau ibu saudara dengan anak saudara) kamu telah memutuskan tali kasih sayang sesama kamu.”
(HR. Ibnu Hibban)
Namun dibolehkan salah seorang daripada wanita bersaudara iaitu sama ada menikahi adik atau kakaknya sebagaimana Uthman ra menikahi dua puteri Rasulullah saw, selepas puteri Nabi saw yang pertama meninggal dunia lalu dia menikahi puteri Baginda yang kedua. Hikmah dilarang demikian adalah agar tidak memutuskan tali silaturrahim antara kedua wanita yang bersaudara tersebut sekiranya terjadi pertengkaran.
Ayat 24
وَٱلْمُحْصَنَـٰتُ مِنَ ٱلنِّسَآءِ إِلَّا مَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُكُمْ ۖ كِتَـٰبَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ ۚ وَأُحِلَّ لَكُم مَّا وَرَآءَ ذَٰلِكُمْ أَن تَبْتَغُوا۟ بِأَمْوَٰلِكُم مُّحْصِنِينَ غَيْرَ مُسَـٰفِحِينَ ۚ فَمَا ٱسْتَمْتَعْتُم بِهِۦ مِنْهُنَّ فَـَٔاتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ فَرِيضَةً ۚ وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا تَرَٰضَيْتُم بِهِۦ مِنۢ بَعْدِ ٱلْفَرِيضَةِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا
Dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan isteri orang, kecuali hamba sahaya yang kamu miliki. (Haramnya segala yang tersebut itu) ialah suatu ketetapan hukum Allah (yang diwajibkan) atas kamu. Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu, untuk kamu mencari (isteri) dengan harta kamu secara bernikah, bukan secara berzina. Kemudian mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya (setelah ia menjadi isteri kamu), maka berikanlah kepada mereka maskahwinnya (dengan sempurna), sebagai suatu ketetapan (yang diwajibkan oleh Allah). Dan tiadalah kamu berdosa mengenai sesuatu persetujuan yang telah dicapai bersama oleh kamu (suami isteri), sesudah ditetapkan maskahwin itu (tentang cara dan kadar pembayarannya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Ayat sebelum ini menjelaskan tentang haram wanita-wanita dinikahi atas sebab-sebab keturunan, penyusuan dan pernikahan. Dalam ayat ini pula, Allah Swt menyatakan haram menikahi wanita-wanita yang bersuami kecuali wanita-wanita tawanan perang yang diperoleh selepas peperangan (jihad) yang disyariatkan antara umat Islam dengan musuh-musuh yang kafir. Wanita-wanita tawanan perang ini halal bagi mereka setelah istibra’ iaitu selepas melahirkan anak atau setelah haid.
Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Sa’id Al-Khudri ra, dia berkata: “Kami mendapatkan tawanan-tawanan wanita Authas yang telah memiliki suami. Kami tidak suka mencampuri mereka kerana mereka telah bersuami. Ketika kami menanyakan hal ini kepada Rasulullah saw maka turunlah ayat ini.”
Oleh itu, hamba-hamba perempuan tawanan perang tetapi suami mereka tidak ikut tertawan bersama-sama mereka, halal untuk dicampuri dengan syarat selesai ‘iddah mereka, iaitu selepas melahirkan jika hamil atau mengalami sekali haid.
Allah Swt telah mengharamkan lelaki menikahi wanita-wanita yang telah bersuami dan menghalalkan menikahi wanita-wanita selain mereka adalah bertujuan agar dapat menjaga kehormatan dan harta-harta mereka daripada perbuatan haram.
Dalam ayat ini juga, Allah Swt menyatakan bahawa menjadi kewajipan bagi pihak suami untuk memberi mahar (maskahwin) kepada isteri-isteri yang dikahwininya dan menikmatinya dengan ikatan perkahwinan. Malah tiada dosa sekiranya telah mendapat sekepakatan daripada dua-dua belah pihak sama ada untuk menambah atau mengurangi kadar mahar sesudah kewajipan membayar mahar tersebut ditentukan.
Menurut Mujahid ayat ini adalah berkaitan dengan nikah mut’ah. Dalil yang dijadikan pegangan adalah hadis yang tercantum dalam As-Sahihain bahawa Amirul Mukminin ‘Ali bin Abi Thalib ra berkata: “Rasulullah saw melarang nikah mut’ah dan daging keldai peliharaan pada perang Khaibar.”
Dalam Shahih Muslim daripada Ar-Rabi’ bin Sabrah bin Ma’bad Al-Juhani, bahawa ayahnya ikut berperang bersama Rasulullah saw pada Fathu Makkah, maka Baginda bersabda:
“Wahai manusia! Dahulu aku pernah mengizinkan kalian untuk nikah mut’ah dengan wanita. Dan sesungguhnya (sekarang) Allah telah mengharamkannya hingga hari Kiamat. Sesiapa yang telah memiliki perjanjian hal tersebut dengan mereka (wanita-wanita), maka lepaskanlah mereka, dan janganlah kalian mengambil kembali mahar yang telah kalian berikan.”
Maksud mut’ah secara bahasa ialah mendapatkan manfaat dan kelazatan apabila menikahi seorang wanita bagi tempoh tertentu (kontrak) dengan nilai tertentu. Jika kontraknya telah selesai maka terjadi perpisahan tanpa ada talak. Dinamakan mut’ah kerana wanita mendapat kesenangan dengan harta yang diberi oleh lelaki.
Manakala lelaki pula mendapat manfaat dengan syahwatnya yang tertunai, tanpa bermaksud untuk memiliki anak atau mencapai tujuan pernikahan yang lainnya.
Allah Ta’ala Maha Luas ilmu-Nya dan Maha Sempurna Hikmah (Kebijaksanaan)-Nya. Antara ilmu-Nya dan hikmah-Nya adalah menetapkan syariat-syariat bagi manusia dan menetapkan batasan-batasan yang memisahkan antara yang halal dan yang haram.