Surah 4: An-Nisa’ (2)

Perintah Menjaga Harta Anak Yatim

Surah 4: An-Nisa’ (2)


Ayat 2

وَءَاتُوا۟ ٱلْيَتَـٰمَىٰٓ أَمْوَٰلَهُمْ ۖ وَلَا تَتَبَدَّلُوا۟ ٱلْخَبِيثَ بِٱلطَّيِّبِ ۖ وَلَا تَأْكُلُوٓا۟ أَمْوَٰلَهُمْ إِلَىٰٓ أَمْوَٰلِكُمْ ۚ إِنَّهُۥ كَانَ حُوبًا كَبِيرًا

Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang telah baligh) itu harta mereka, dan janganlah kamu tukar-gantikan yang baik dengan yang buruk; dan janganlah kamu makan harta mereka (dengan menghimpunkannya) dengan harta kamu; kerana sesungguhnya (yang demikian) itu adalah dosa yang besar.

Ayat ini merupakan wasiat pertama yang berkaitan dengan hak orang lain, terutama anak-anak yatim yang kematian bapa mereka ketika mereka masih kecil, lemah dan tidak ada orang yang menanggung mereka. Oleh itu, Allah Ta’ala Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang memerintahkan hamba-hamba-Nya berbuat ihsan kepada mereka, tidak mendekati harta mereka kecuali dengan cara yang baik serta mengembalikan harta mereka secara sempurna apabila mereka telah baligh dan cerdas iaitu tahu membezakan antara yang betul dengan yang salah. 

Wali atau pemegang amanah anak-anak yatim dilarang menukar harta anak yatim yang baik-baik dengan harta milik wali yang buruk atau wali mengambil harta anak yatim yang berharga lalu menukarnya dengan hartanya yang murah. 

Wali juga dilarang mencampuradukkan harta milik anak yatim dengan harta milik peribadi mereka dengan maksud agar dapat memakan harta mereka. Perkara ini merupakan helah untuk menghalalkan yang haram.