Surah 4: An-Nisa’ (176)

Penjelasan tentang Kalalah

Surah 4: An-Nisa’ (176)


Ayat 176

يَسْتَفْتُونَكَ قُلِ ٱللَّهُ يُفْتِيكُمْ فِى ٱلْكَلَـٰلَةِ ۚ إِنِ ٱمْرُؤٌا۟ هَلَكَ لَيْسَ لَهُۥ وَلَدٌ وَلَهُۥٓ أُخْتٌ فَلَهَا نِصْفُ مَا تَرَكَ ۚ وَهُوَ يَرِثُهَآ إِن لَّمْ يَكُن لَّهَا وَلَدٌ ۚ فَإِن كَانَتَا ٱثْنَتَيْنِ فَلَهُمَا ٱلثُّلُثَانِ مِمَّا تَرَكَ ۚ وَإِن كَانُوٓا۟ إِخْوَةً رِّجَالًا وَنِسَآءً فَلِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ ٱلْأُنثَيَيْنِ ۗ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمْ أَن تَضِلُّوا۟ ۗ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌ

Mereka (orang-orang Islam umatmu) meminta fatwa kepadamu (Wahai Muhammad mengenai masalah Kalalah). Katakanlah: “Allah memberi fatwa kepada kamu di dalam perkara Kalalah itu, iaitu jika seseorang mati yang tidak mempunyai anak dan ia mempunyai seorang saudara perempuan, maka bagi saudara perempuan itu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh si mati; dan ia pula (saudara lelaki itu) mewarisi (semua harta) saudara perempuannya, jika saudara perempuannya tidak mempunyai anak. Kalau pula saudara perempuannya itu dua orang, maka keduanya mendapat dua pertiga dari harta yang di tinggalkan oleh si mati. Dan sekiranya mereka (saudara-saudaranya itu) ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang lelaki menyamai bahagian dua orang perempuan”. Allah menerangkan (hukum ini) kepada kamu supaya kamu tidak sesat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Imam Ahmad, Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmizi, An-Nasa’i, Abu Daud dan Ibnu Majah meriwayatkan daripada Jabir, dia berkata, Rasulullah saw datang menjengukku ketika aku sakit dan tidak sedarkan diri. Lalu Baginda mengambil wuduk, kemudian Baginda menyiramku dengan air, lalu aku pun kembali sedarkan diri, lalu aku berkata, “Sesungguhnya aku tidak diwarisi melainkan kalalah, maka bagaimanakah pembahagian warisnya?” Lalu turunlah ayat tentang waris, iaitu ayat 176 surah An-Nisa’.” 

Ayat ini adalah tentang kalalah. Ayat kalalah ini adalah ayat yang terakhir diturunkan tentang hukum pewarisan. Kalalah maksudnya orang yang tiada waris yang dapat menerima harta pusaka peninggalannya kerana dia tidak mempunyai ibu bapa dan anak baik lelaki atau perempuan. 

Ulama sepakat mengatakan ayat ini adalah berkaitan dengan waris adik-beradik seibu sebapa atau adik-beradik sebapa. Ayat yang berkaitan dengan adik-beradik seibu terdapat pada bahagian awal surah ini iaitu dalam firman Allah Ta’ala: 

“……….. Jika seseorang mati, baik lelaki mahupun perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak, tetapi mempunyai seorang saudara laki-laki (seibu sahaja) atau seorang saudara perempuan (seibu sahaja), maka bagi masing-masing daripada kedua-dua jenis saudara itu seperenam harta…………….” 

An-Nisa’ 4:12 

Oleh itu ayat ini menerangkan tentang hak waris adik-beradik lelaki dan adik-beradik perempuan belah pihak yang meninggal dunia yang kalalah (yang tidak memiliki orang tua dan anak).

Dalam ayat ini disebutkan anak sahaja tetapi sebenarnya ia mewakili semua waris. Ini bermaksud tidak ada langsung ashabul furud (yang layak menerima harta faraid), iaitu tiada emak, tiada ayah dan yang ada hanyalah adik-beradik sahaja. 

Antara pembahagian pusaka tersebut ialah: 

  • Sekiranya si mati hanya mempunyai seorang adik atau kakak perempuan, maka adik atau kakak tersebut akan mewarisi separuh daripada harta yang ditinggalkan. Manakala yang separuh lagi diberikan kepada golongan yang di kategorikan sebagai asbat (jamak bagi ashabah). Kalau tidak ada ashabah, maka seluruh harta itu akan diberikan kepada saudara perempuannya itu dengan berdasarkan prinsip Ar-Radd. 

Ashabah menurut istilah ilmu faraid ialah waris yang tidak mendapat bahagian secara fardhu yang ditetapkan (harta faraid), tetapi mereka adakalanya mendapat semua harta pusaka, adakalanya mendapat baki setelah waris fardhu (ashabul furud) mendapat bahagian masing-masing dan adakalanya tidak mendapat langsung kerana telah habis dibahagikan kepada waris fardhu. 

  • Jika yang meninggalkan harta itu pula adalah perempuan, dan dia mempunyai adik-beradik lelaki, maka adik-beradik lelaki itu akan mendapat kesemua hartanya. 
  • Sekiranya yang mewarisi adalah adik-beradik perempuan dua atau lebih, maka mereka mendapat 2/3 daripada harta pusaka yang ditinggalkan. 
  • Sekiranya yang mewarisi adalah beberapa orang adik-beradik lelaki dan adik-beradik perempuan, pembahagiannya ialah adik-beradik lelaki mendapat dua bahagian atau dua kali ganda daripada bahagian adik-beradik perempuan. 

Hukum pembahagian harta ini amatlah penting kerana sekiranya tersalah perkiraan, kemungkinan orang yang menerima harta pusaka itu dengan cara yang salah dan akan termakan harta yang haram serta tidak layak untuk dia dimasukkan ke syurga. 

Allah ‎Ta’ala telah memberikan penerangan dengan terperinci tentang pembahagian harta pusaka. Ini menunjukkan hal ini sangat penting, oleh itu seseorang itu mestilah merendahkan diri dan menerima pembahagian yang telah ditetapkanNya. Jangan ada sedikitpun terdetik di dalam hati bahawa hukum Allah ‎Ta’ala ini tidak adil. 

Ketahuilah bahawa seandainya seseorang itu mengambil mana-mana harta dengan cara yang salah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui walaupun manusia lain tidak mengetahuinya.