Perintah agar Beriman kepada Al-Quran
Surah 4: An-Nisa’ (174 – 175)
Ayat 174
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ قَدْ جَآءَكُم بُرْهَـٰنٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَأَنزَلْنَآ إِلَيْكُمْ نُورًا مُّبِينًا
Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu: Bukti dari Tuhan kamu, dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu (Al-Quran sebagai) Nur (cahaya) yang menerangi (segala apa jua yang membawa kejayaan di dunia ini dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak).
Allah Swt menjelaskan kepada manusia bahawa telah datang kepada mereka bukti-bukti yang agung daripada-Nya. Bukti-bukti kebenaran ini meliputi dalil-dalil ‘aqli, dalil-dalil naqli, ayat-ayat yang ada pada alam semesta dan pada diri manusia yang dapat mematahkan semua hujjah dan dapat menghilangkan segala kesamaran.
Ayat 175
فَأَمَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ بِٱللَّهِ وَٱعْتَصَمُوا۟ بِهِۦ فَسَيُدْخِلُهُمْ فِى رَحْمَةٍ مِّنْهُ وَفَضْلٍ وَيَهْدِيهِمْ إِلَيْهِ صِرَٰطًا مُّسْتَقِيمًا
Oleh itu, orang-orang yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepada (ajaran Al-Quran) ini, maka Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmat-Nya (yang khas iaitu Syurga) dan limpah kurnia-Nya (yang tidak terkira), dan Allah akan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus (jalan agama Islam), yang membawa kepada-Nya.
Orang-orang beriman yang melakukan ibadah dan bertawakkal kepada Allah dalam semua urusan mereka serta berpegang teguh kepada Al-Quran, Allah Swt akan memberikan rahmat-Nya kepada mereka dengan memasukkan mereka ke dalam syurga. Dia akan menambahkan kepada mereka pahala yang berlipat ganda, darjat mereka ditinggikan berkat kurniaan-Nya dan kebaikan-Nya kepada mereka.
Allah Swt akan memberi petunjuk kepada mereka kepada jalan yang lurus iaitu jalan yang jelas, tidak ada kebengkokan dan tidak ada penyimpangan.
Demikianlah gambaran tentang orang-orang beriman di dunia dan di akhirat. Di dunia mereka berada dalam bimbingan Allah Swt menuju jalan yang lurus dan jalan keselamatan dalam semua akidah dan amalan mereka. Manakala di akhirat kelak mereka berada pada jalan Allah Swt yang lurus yang menghantarkan mereka ke taman-taman Syurga-Nya.