Surah 4: An-Nisa’ (171 – 173)

Peringatan Allah Swt kepada Kaum Nasrani agar Tidak Berlebih-lebihan Menyanjungi Nabi Isa as

Surah 4: An-Nisa’ (171 – 173)


Ayat 171

يَـٰٓأَهْلَ ٱلْكِتَـٰبِ لَا تَغْلُوا۟ فِى دِينِكُمْ وَلَا تَقُولُوا۟ عَلَى ٱللَّهِ إِلَّا ٱلْحَقَّ ۚ إِنَّمَا ٱلْمَسِيحُ عِيسَى ٱبْنُ مَرْيَمَ رَسُولُ ٱللَّهِ وَكَلِمَتُهُۥٓ أَلْقَىٰهَآ إِلَىٰ مَرْيَمَ وَرُوحٌ مِّنْهُ ۖ فَـَٔامِنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرُسُلِهِۦ ۖ وَلَا تَقُولُوا۟ ثَلَـٰثَةٌ ۚ ٱنتَهُوا۟ خَيْرًا لَّكُمْ ۚ إِنَّمَا ٱللَّهُ إِلَـٰهٌ وَٰحِدٌ ۖ سُبْحَـٰنَهُۥٓ أَن يَكُونَ لَهُۥ وَلَدٌ ۘ لَّهُۥ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ ۗ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ وَكِيلًا

Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya Al Masih Isa ibni Maryam itu hanya seorang pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikan-Nya kepada Maryam, dan (ia juga tiupan) roh daripada-Nya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya, dan janganlah kamu mengatakan: “(Tuhan itu) tiga”. Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian), supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Bahawasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhluk-Nya).

Allah Swt melarang ahli kitab bersikap berlebih-lebihan dan melampaui batas dalam memberi sanjungan. Ini banyak terjadi kepada kaum Nasrani dalam menyanjung Isa putera Maryam. Mereka mengangkat Nabi Isa as melebihi kedudukan yang diberikan oleh Allah Swt kepada Baginda sebagai hamba, nabi dan rasul dengan menjadikannya sebagai tuhan iaitu sembahan selain Allah Ta’ala. Firman-Nya: 

“Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya Allah ialah Al-Masih putera Maryam,” padahal Al-Masih (sendiri) berkata: “Wahai Bani Israil, sembahlah Allah Rabbku dan Rabbmu.” Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga, dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolong pun.” 

Al-Ma’idah 5:72 

Mereka juga berlebih-lebihan terhadap para pengikut Nabi Isa Al-Masih iaitu para rahib yang dianggap sebagai orang-orang yang berpegang pada agama dan terpelihara daripada kesesatan. Mereka hanya mengikut secara membuta tuli atau taklid buta terhadap apa yang dikatakan oleh rahib-rahib mereka. Firman Allah Ta’ala: 

“Mereka menjadikan orang-orang alim mereka dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan) Al-Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka persekutukan.” 

At-Taubah 9:31 

Daripada Anas bin Malik ra, dia berkata bahawa seorang lelaki berkata, “Wahai Muhammad, wahai sayyid (tuan) kami dan putera tuan kami, orang terbaik kami dan putera orang terbaik kami.” Maka Rasulullah saw bersabda: 

“Wahai sekalian manusia, jagalah ucapan kamu! Jangan sampai kamu digelincirkan oleh syaitan. Aku adalah Muhammad putera Abdullah, seorang hamba Allah dan Rasul-Nya. Demi Allah aku tidak suka kamu menyanjungku melebihi kedudukanku yang telah Allah Ta’ala berikan kepadaku.” 

(HR. Ahmad) 

Dalam hadis yang lain, Rasulullah saw bersabda: 

“Janganlah kamu berlebih-lebihan dalam menyanjungiku sebagaimana kaum Nasrani berlebih-lebihan menyanjung Isa bin Maryam. Sesungguhnya aku adalah seorang hamba maka katakanlah: ‘Hamba Allah dan Rasul-Nya.’” 

(HR. Ahmad) 

Allah Swt juga melarang berdusta atas nama-Nya dengan menjadikan bagi-Nya seorang isteri dan anak. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sifatkan. Dia Maha Tinggi lagi Maha Esa dalam kekuasaan, kebesaran dan keagungan-Nya. Tiada Ilah yang berhak disembah melainkan Dia dan tidak ada Rabb selain-Nya. 

Kemudian Allah Ta’ala menjelaskan bahawa Nabi Isa as adalah hamba-Nya dan salah seorang makhluk ciptaan-Nya. Dia menciptakan Baginda melalui kalimah perintah yang disampaikan oleh Jibril as daripada-Nya kepada Maryam. Lalu Jibril me­niupkan ruh ciptaan-Nya ke dalam tubuh Maryam dengan izin-Nya. Maka terciptalah Nabi Isa as. Penciptaan Baginda as dijelaskan oleh-Nya dalam surah-surah yang lain: 

“Sesungguhnya perumpamaan (penciptaan) Isa di sisi Allah, adalah seperti (penciptaan) Adam. Allah menciptakan Adam daripada tanah, kemudian Allah berfirman kepadanya: “Jadilah” (seorang manusia), maka jadilah dia.” 

Ali ‘Imran 3:59 

“Dan (ingatlah kisah) Maryam yang telah memelihara kehormatannya, lalu Kami tiupkan ke dalam (tubuh)nya ruh daripada Kami dan Kami jadikan dia dan anaknya tanda (kekuasaan Allah) yang besar bagi semesta alam.” 

Al-Anbiya’ 21:91 

Oleh kerana kebodohan dan kekufuran kaum Nasrani, maka mereka tidak memiliki prinsip dan pegangan. Perkataan dan kesesatan mereka sangat pelbagai. Ada yang meyakini bahawa Nabi Isa as adalah tuhan. Ada juga yang meyakini Baginda adalah sekutu bagi Allah Ta’ala. Bahkan ada juga yang meyakininya sebagai anak tuhan. 

Ayat 172

لَّن يَسْتَنكِفَ ٱلْمَسِيحُ أَن يَكُونَ عَبْدًا لِّلَّهِ وَلَا ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ ٱلْمُقَرَّبُونَ ۚ وَمَن يَسْتَنكِفْ عَنْ عِبَادَتِهِۦ وَيَسْتَكْبِرْ فَسَيَحْشُرُهُمْ إِلَيْهِ جَمِيعًا

(Nabi Isa) Al-Masih tidak sekali-kali enggan dan angkuh daripada menjadi hamba bagi Allah, demikian juga (sikap) malaikat yang sentiasa berdamping (dengan Allah). Dan sesiapa yang enggan dan angkuh daripada beribadat (menyembah dan memperhambakan diri) kepada Allah, serta dia berlaku sombong takbur, maka Allah akan menghimpunkan mereka semua kepada-Nya.

Allah Swt menjelaskan dalam ayat ini bahawa para nabi dan malaikat tidak enggan yang bermaksud tidak sombong atau tidak malu menjadi hamba Allah Ta’ala. Oleh itu, Dia menyatakan sesiapa yang sombong dan enggan beribadah kepada-Nya, Dia akan mengumpulkan mereka pada hari kiamat dan memutuskan hukuman dengan adil tanpa menzalimi mereka sedikitpun. 

Ayat 173

فَأَمَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ فَيُوَفِّيهِمْ أُجُورَهُمْ وَيَزِيدُهُم مِّن فَضْلِهِۦ ۖ وَأَمَّا ٱلَّذِينَ ٱسْتَنكَفُوا۟ وَٱسْتَكْبَرُوا۟ فَيُعَذِّبُهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا وَلَا يَجِدُونَ لَهُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا

Sesudah itu, orang-orang yang beriman beramal soleh, Allah akan menyempurnakan bagi mereka pahala (balasan) mereka, dan Dia akan menambahkan lagi limpah kurnia-Nya kepada mereka. Sebaliknya orang-orang yang enggan beribadat kepada Allah dan berlaku sombong takbur, maka Allah akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dan mereka pula tidak akan memperoleh sesiapa pun – yang lain dari Allah – yang akan menjadi pelindung atau penolong bagi mereka.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia akan memberikan pahala kepada orang-orang beriman sesuai dengan amalan soleh mereka dan menambahkan lagi dengan kurniaan, kebaikan, keluasan, rahmat serta nikmat-Nya. 

Manakala orang-orang yang enggan beriman dan menyombongkan diri, maka balasan untuk mereka adalah azab yang pedih dan tiada penolong dan pelindung buat mereka. Firman Allah: 

“……….. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.” 

Ghafir 40:60