Al-Quran adalah Benar-Benar Diturunkan daripada Allah Swt
Surah 4: An-Nisa’ (166 – 170)
Ayat 166
لَّـٰكِنِ ٱللَّهُ يَشْهَدُ بِمَآ أَنزَلَ إِلَيْكَ ۖ أَنزَلَهُۥ بِعِلْمِهِۦ ۖ وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ يَشْهَدُونَ ۚ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ شَهِيدًا
(Orang-orang kafir itu tidak mahu mengakui apa yang telah diturunkan Allah kepadamu wahai Muhammad), tetapi Allah sentiasa menjadi saksi akan kebenaran Al-Quran yang telah diturunkan-Nya kepadamu. Allah menurunkannya dengan ilmu-Nya, dan malaikat juga turut menjadi saksi. Dan cukuplah Allah menjadi saksi (akan kebenaran Al-Quran ini).
Setelah Allah Swt membantah orang-orang musyrik dan ahli kitab yang mengingkari kenabian Rasulullah saw, dalam ayat ini Allah Swt menyatakan penyaksian-Nya bahawa Baginda adalah utusan-Nya yang diturunkan Al-Quran kepadanya.
Maksud “Allah menurunkannya dengan ilmu-Nya” ialah Dia menurunkan Al-Quran dengan pengetahuan-Nya. Dia menginginkan hamba-hambaNya mengetahui pelbagai penjelasan, petunjuk, burhan (dalil) mengenai apa yang Dia cintai dan redhai serta apa-apa yang Dia benci. Dia juga menginginkan hamba-hamba-Nya mengetahui apa yang terkandung dalam Al-Quran berupa ilmu yang berkaitan tentang perkara-perkara ghaib yang berlaku pada masa dahulu dan yang akan datang. Selain itu, Allah Swt juga menginginkan mereka mengetahui sifat-sifat-Nya yang suci yang tidak diketahui oleh seorang pun daripada rasul dan malaikat kecuali apa yang telah Dia ajarkan kepada mereka sebagaimana firman-firman-Nya:
“……….dan mereka tidak mengetahui apa-apa daripada ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya………………”
Al-Baqarah 2:255
“Dia mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang ilmu mereka tidak dapat meliputi ilmu-Nya.”
Taha 20:110
Para malaikat pula memberikan pengakuan dan kesaksian tentang kebenaran apa yang datang kepada Rasulullah saw dan apa yang diwahyukan kepadanya di samping kesaksian Allah Ta’ala dalam hal tersebut. Cukuplah Allah Ta’ala sebagai saksi. Firman-Nya:
“Katakanlah: “Siapakah yang lebih kuat persaksiannya?” Katakanlah: “Allah”. Dia menjadi saksi antara aku dan kamu. Dan Al-Quran ini diwahyukan kepadaku supaya dengan dia aku memberi peringatan kepadamu dan kepada orang-orang yang sampai Al-Quran (kepada mereka)……………”
Al-An’am 6:19
Ayat 167
إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَصَدُّوا۟ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ قَدْ ضَلُّوا۟ ضَلَـٰلًۢا بَعِيدًا
Sesungguhnya orang-orang yang kafir serta menghalang orang-orang lain dari jalan Allah (agama Islam), sebenarnya mereka telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.
Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang kafir itu sendiri kufur kepada-Nya, tidak mengikuti kebenaran dan sekaligus berusaha menghalang manusia untuk mengikuti kebenaran. Oleh itu, mereka itu telah keluar daripada kebenaran, tersesat dan menyimpang sejauh-jauhnya.
Ayat 168
إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَظَلَمُوا۟ لَمْ يَكُنِ ٱللَّهُ لِيَغْفِرَ لَهُمْ وَلَا لِيَهْدِيَهُمْ طَرِيقًا
Sesungguhnya orang-orang yang kafir serta berlaku zalim, Allah tidak sekali-kali akan mengampunkan mereka dan tidak akan menunjukkan jalan kepada mereka.
Allah Swt menyatakan hukuman bagi orang-orang yang kufur kepada ayat-ayat-Nya, kitab-kitab-Nya dan para rasul-Nya. Dia tidak akan mengampuni mereka dan tidak akan menunjukkan jalan kebenaran sebagai hukuman atas perbuatan mereka yang telah menzalimi diri mereka sendiri dan menghalang manusia daripada jalan-Nya.
Ayat 169
إِلَّا طَرِيقَ جَهَنَّمَ خَـٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًا ۚ وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرًا
Selain dari jalan neraka jahannam, yang mereka akan kekal di dalamnya selama-lamanya; dan balasan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.
Allah swt tidaklah menzalimi hamba-hambaNya, tetapi merekalah yang sememangnya tidak mahu diajak kepada kebaikan, bahkan memilih jalan sendiri untuk diri mereka yang menyebabkan mereka kekal di dalam Neraka Jahannam.
Ayat 170
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ قَدْ جَآءَكُمُ ٱلرَّسُولُ بِٱلْحَقِّ مِن رَّبِّكُمْ فَـَٔامِنُوا۟ خَيْرًا لَّكُمْ ۚ وَإِن تَكْفُرُوا۟ فَإِنَّ لِلَّهِ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا
Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Allah (Muhammad s.a.w) dengan membawa kebenaran dari Tuhan kamu, maka berimanlah kamu (kerana yang demikian itu) amatlah baiknya bagi kamu. Dan jika kamu kufur ingkar (maka kekufuran kamu itu tidak mendatangkan kerugian apa-apa kepada Allah), kerana sesungguhnya bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan di bumi; dan Allah sentiasa Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
Allah swt memerintahkan semua manusia untuk beriman kepada hamba dan rasulNya, iaitu Nabi Muhammad saw. Baginda membawa petunjuk, agama yang hak dan jelas daripadaNya. Oleh itu berimanlah dan ikutilah Baginda kerana hal ini adalah lebih baik buat mereka.
Allah swt juga menyatakan bahawa Dia tidak memerlukan hamba-hambaNya dan keimanan mereka serta Dia tidak akan rugi sekiranya mereka tidak beriman kepadaNya sebagaimana firmanNya:
“Dan Musa berkata: ‘Jika kamu dan orang-orang yang ada di muka bumi semuanya mengingkari (nikmat Allah) maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.'”
Ibrahim 14:8
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui siapa yang berhak mendapat hidayah, maka diberikanNya hidayah. Sesiapa yang berhak mendapat kesesatan maka akan disesatkanNya. Tiada sedikitpun daripada amal perbuatan hamba-hambaNya yang samar atau tersembunyi daripada pengetahuanNya.
Allah Maha Bijaksana dalam segala urusanNya termasuk kata-kata, perbuatan, syari’at dan ketetapanNya. Dia tidak akan mensia-siakan amalan seseorang dan tidak menyamakan orang-orang mukmin dengan orang-orang kafir seperti firmanNya:
“Patutkah Kami menganggap orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh sama dengan orang-orang yang berbuat kerosakan di muka bumi? Patutkah (pula) Kami menganggap orang-orang yang bertakwa sama dengan orang-orang yang berbuat maksiat?”
Sad 38:28