Surah 4: An-Nisa’ (163 – 165)

Penetapan Kerasulan Rasulullah saw

Surah 4: An-Nisa’ (163 – 165)


Ayat 163

إِنَّآ أَوْحَيْنَآ إِلَيْكَ كَمَآ أَوْحَيْنَآ إِلَىٰ نُوحٍ وَٱلنَّبِيِّـۧنَ مِنۢ بَعْدِهِۦ ۚ وَأَوْحَيْنَآ إِلَىٰٓ إِبْرَٰهِيمَ وَإِسْمَـٰعِيلَ وَإِسْحَـٰقَ وَيَعْقُوبَ وَٱلْأَسْبَاطِ وَعِيسَىٰ وَأَيُّوبَ وَيُونُسَ وَهَـٰرُونَ وَسُلَيْمَـٰنَ ۚ وَءَاتَيْنَا دَاوُۥدَ زَبُورًا

Sungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu (wahai Muhammad), sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nabi Nuh, dan Nabi-nabi yang diutus kemudian daripadanya; dan Kami juga telah memberikan wahyu kepada Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub, serta Nabi-nabi keturunannya, dan Nabi Isa, dan Nabi Ayub, dan Nabi Yunus, dan Nabi Harun, dan Nabi Sulaiman; dan juga Kami telah memberikan kepada Nabi Daud: Kitab Zabur.

Ayat ini menyangkal dakwaan ahli kitab yang meragui kerasulan Nabi Muhammmad saw. Daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia berkata,  

Sukain dan Adi bin Zaid berkata, ‘Wahai Muhammad, kami tidak mengetahui bahawa Allah menurunkan sesuatu (risalah) kepada manusia setelah Musa.’ Maka Allah menurunkan ayat ini, hingga ayat 165.” 

(HR. At-Tabari) 

Antara pengajaran daripada ayat ini adalah: 

  • Nabi Muhammad saw diutuskan sebagai rasul bukanlah satu perkara yang baru, bahkan sebelumnya Allah Ta’ala telah mengutuskan para rasul yang jumlahnya ramai. Oleh itu, menganggap kerasulan Baginda ini sebagai sesuatu yang pelik tidaklah tepat dan anggapan seperti itu merupakan suatu kebodohan kerana menolak kebenaran. 
  • Allah Swt mewahyukan kepada Baginda sebagaimana Dia mewahyukan kepada rasul-rasul yang lain sebelumnya. 
  • Allah Swt menyebutkan pengkhususan kepada Nabi Daud as iaitu diberikanNya kitab Zabur. 
Ayat 164

وَرُسُلًا قَدْ قَصَصْنَـٰهُمْ عَلَيْكَ مِن قَبْلُ وَرُسُلًا لَّمْ نَقْصُصْهُمْ عَلَيْكَ ۚ وَكَلَّمَ ٱللَّهُ مُوسَىٰ تَكْلِيمًا

Dan (Kami telah mengutuskan) beberapa orang Rasul yang telah Kami ceritakan kepadamu dahulu sebelum ini, dan Rasul-rasul yang tidak Kami ceritakan hal mereka kepadamu. Dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan).

Allah Swt menyatakan bahawa Dia mengutuskan ramai rasul, ada yang diceritakan-Nya kepada Rasulullah saw dan ada yang tidak diceritakan-Nya. 

Berikut ini adalah nama para nabi yang disebut oleh Allah Ta’ala di dalam Al-Quran, iaitu berjumlah 25 orang semuanya: Adam, Idris, Nuh, Hud, Saleh, Ibrahim, Lut, Ismail, Ishak, Yaakub, Yusuf, Ayyub, Syu’aib, Musa, Harun, Zulkifli, Daud, Sulaiman, Yunus, Ilyas, Ilyasa’, Zakaria, Yahya, Isa dan penghulu mereka semuanya ialah Nabi Muhammad saw. 

Dalam ayat ini juga dinyatakan bahawa Allah Swt berbicara secara langsung dengan Nabi Musa as. Ini merupakan satu keistimewaan buat Baginda. Oleh sebab itu, Nabi Musa as digelar kalimullah (orang yang diajak bicara oleh Allah), sedangkan rasul-rasul yang lain mendapat wahyu daripada Allah Swt dengan perantaraan Jibril. Nabi Muhammad saw juga pernah berbicara secara langsung dengan Allah Swt pada malam hari sewaktu Baginda dimi’rajkan. 

Ayat 165

رُّسُلًا مُّبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ لِئَلَّا يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَى ٱللَّهِ حُجَّةٌۢ بَعْدَ ٱلرُّسُلِ ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ عَزِيزًا حَكِيمًا

Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Allah Swt menyatakan bahawa tugas para rasul ialah menyampaikan berita gembira dan juga peringatan kepada semua manusia. Orang-orang yang mentaati Allah Swt dan mengikuti para rasul akan memperoleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Manakala orang-orang yang derhaka kepada-Nya dan menyelisihi para rasul pula, akan mendapat kesengsaraan di dunia dan di akhirat. 

Para rasul telah menerangkan kepada manusia tentang syariat agama mereka, perkara-perkara yang diredhai oleh Allah Swt dan apa yang dimurkai-Nya, serta telah menerangkan pula jalan-jalan ke syurga dan jalan-jalan ke neraka. Oleh itu, tidak ada alasan bagi manusia untuk membantah Allah Swt dengan mendakwa belum ada yang datang kepada mereka untuk menjelaskan tentang agama yang benar. Firman Allah Ta’ala: 

“Dan agar mereka tidak mengatakan ketika azab menimpa mereka disebabkan apa yang mereka kerjakan: ‘Wahai Rabb kami, mengapa Engkau tidak mengutus seorang rasul kepada kami, lalu kami mengikuti ayat-ayat Engkau dan jadilah kami termasuk orang-orang yang beriman.’” 

Al-Qasas 28:47 

Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana, tiada seorang pun yang mampu mengalahkan-Nya. Dia Maha Bijaksana dalam penciptaan dan seluruh perbuatan-Nya sehingga tiada siapa yang akan dapat mencari-cari alasan untuk bebas daripada azab-Nya.