Pujian kepada Orang Mukmin yang Berilmu
Surah 4: An-Nisa’ (162)
Ayat 162
لَّـٰكِنِ ٱلرَّٰسِخُونَ فِى ٱلْعِلْمِ مِنْهُمْ وَٱلْمُؤْمِنُونَ يُؤْمِنُونَ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيْكَ وَمَآ أُنزِلَ مِن قَبْلِكَ ۚ وَٱلْمُقِيمِينَ ٱلصَّلَوٰةَ ۚ وَٱلْمُؤْتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَٱلْمُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ أُو۟لَـٰٓئِكَ سَنُؤْتِيهِمْ أَجْرًا عَظِيمًا
Tetapi orang-orang yang teguh serta mendalam ilmu pengetahuannya di antara mereka dan orang-orang yang beriman, sekaliannya beriman dengan apa yang telah diturunkan kepadamu (Al-Quran), dan kepada apa yang telah diturunkan dahulu daripadamu, khasnya orang-orang yang mendirikan solat, dan orang-orang yang menunaikan zakat, serta yang beriman kepada Allah dan hari akhirat; mereka itulah yang Kami akan berikan kepadanya pahala (balasan) yang amat besar.
Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang yang berpegang teguh kepada agama-Nya serta memiliki ilmu yang benar-benar bermanfaat dan kukuh iaitu mengetahui dan memahami hakikat agama yang sebenar, beriman dan beramal dengannya maka balasannya adalah syurga.
Ibnu Ishak dan Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia mengatakan hal ini ada kaitan dengan Abdullah bin Salam, Usaid bin Sa’yah, Tha’labah bin Sa’yah dan Asad bin Ubaid ketika meninggalkan agama Yahudi dan masuk Islam serta membenarkan dan mempercayai risalah yang dibawa oleh Rasulullah saw.