Surah 4: An-Nisa’ (153 – 159)

Penentangan dan Kekufuran Orang Yahudi

Surah 4: An-Nisa’ (153 – 159)


Ayat 153

يَسْـَٔلُكَ أَهْلُ ٱلْكِتَـٰبِ أَن تُنَزِّلَ عَلَيْهِمْ كِتَـٰبًا مِّنَ ٱلسَّمَآءِ ۚ فَقَدْ سَأَلُوا۟ مُوسَىٰٓ أَكْبَرَ مِن ذَٰلِكَ فَقَالُوٓا۟ أَرِنَا ٱللَّهَ جَهْرَةً فَأَخَذَتْهُمُ ٱلصَّـٰعِقَةُ بِظُلْمِهِمْ ۚ ثُمَّ ٱتَّخَذُوا۟ ٱلْعِجْلَ مِنۢ بَعْدِ مَا جَآءَتْهُمُ ٱلْبَيِّنَـٰتُ فَعَفَوْنَا عَن ذَٰلِكَ ۚ وَءَاتَيْنَا مُوسَىٰ سُلْطَـٰنًا مُّبِينًا

Ahli Kitab (kaum Yahudi) meminta kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menurunkan kepada mereka sebuah Kitab dari langit. (Janganlah engkau merasa pelik), kerana sesungguhnya mereka telah meminta kepada Nabi Musa lebih besar dari itu. Mereka berkata: “(Wahai Musa) perlihatkanlah Allah kepada kami dengan nyata (supaya kami dapat melihat-Nya dan percaya kepada-Nya)”. Lalu mereka disambar oleh petir dengan sebab kezaliman mereka (menderhaka kepada Allah); kemudian mereka pula menyembah (patung) anak lembu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (mukjizat), lalu Kami maafkan mereka dari perbuatan yang sedemikian itu (ketika mereka bertaubat). Dan Kami telah memberi kepada Nabi Musa kekuasaan yang nyata (untuk mengalahkan kaum yang kafir itu).

Ada beberapa riwayat tentang turunnya ayat ini antaranya, diriwayatkan oleh Muhammad bin Ka’ab Al-Qurazhi, As-Suddi dan Qatadah berkata, “Orang-orang Yahudi meminta Rasulullah saw agar diturunkan kepada mereka sebuah kitab dari langit sebagaimana telah diturunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa as secara bertulis.” 

Ibnu Juraij pula berkata, “Mereka meminta kepada Rasulullah saw agar diturunkan kepada mereka suhuf daripada Allah Ta’ala secara bertulis kepada si fulan, si fulan dan si fulan untuk membenarkan ajaran yang Baginda bawa.” 

Kata-kata mereka itu merupakan satu bentuk penentangan, kekufuran dan kesombongan mereka. 

Ayat 153 ini ditafsirkan dalam ayat yang lain, firman Allah Ta’ala: 

“Dan (ingatlah), ketika kamu berkata: “Wahai Musa, kami tidak akan beriman kepadamu sebelum kami melihat Allah dengan terang, oleh itu kamu disambar halilintar, sedang kamu menyaksikannya. Setelah itu Kami bangkitkan kamu sesudah kamu mati, supaya kamu bersyukur.” 

Al-Baqarah 2:55-56 

Kaum Yahudi juga menjadikan patung anak lembu sebagai tuhan untuk mereka sembah ketika Nabi Musa as bermunajat kepada Allah Ta’ala. Allah Swt menyebutkan kisah penyembahan mereka ini dengan panjang lebar dalam surah Al-‘Araf dan Taha. Hal ini terjadi setelah Allah Swt memperlihatkan pelbagai mukjizat dan bukti-bukti yang nyata pada Nabi Musa as dan binasanya musuh-musuh mereka iaitu Firaun dan bala tenteranya di laut. 

Walaupun begitu Allah Swt memaafkan mereka yang melakukan kesyirikan tersebut dan menerima taubat mereka dengan cara sebahagian daripada mereka membunuh sebahagian yang lain. Ada juga pendapat yang mengatakan orang-orang yang menyembah patung anak lembu dibunuh oleh orang-orang yang tidak menyembah patung anak lembu. 

Ayat 154

وَرَفَعْنَا فَوْقَهُمُ ٱلطُّورَ بِمِيثَـٰقِهِمْ وَقُلْنَا لَهُمُ ٱدْخُلُوا۟ ٱلْبَابَ سُجَّدًا وَقُلْنَا لَهُمْ لَا تَعْدُوا۟ فِى ٱلسَّبْتِ وَأَخَذْنَا مِنْهُم مِّيثَـٰقًا غَلِيظًا

Dan Kami telah mengangkat “Bukit Tursina” ke atas mereka disebabkan (mereka ingkar akan) perjanjian setia mereka (mematuhi hukum-hukum Taurat), dan Kami perintahkan mereka: “Masuklah kamu melalui pintu (negeri) itu dengan merendah diri” dan Kami juga perintahkan mereka: “Janganlah kamu melanggar perintah larangan yang ditentukan pada hari Sabtu”, dan Kami telah mengambil daripada mereka perjanjian setia yang teguh (yang mewajibkan mereka mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya).

Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah mengangkat bukit (Sinai) ke atas mereka sebagai ancaman kerana mereka tidak mahu istiqamah mengamalkan hukum-hukum yang ada dalam kitab Taurat dan membangkang ajaran yang dibawa oleh Nabi Musa as. 

Ketika bukit itu diangkat, mereka diwajibkan agar berpegang teguh kepada Taurat, maka mereka pun melaksanakannya dan bersujud. Mereka selalu memperhatikan dan melihat ke atas kepala mereka kerana takut bukit itu akan menimpa mereka. Firman Allah Ta’ala: 

“Dan (ingatlah), ketika Kami mengangkat bukit ke atas mereka seakan-akan bukit itu naungan awan dan mereka yakin bahwa bukit itu akan jatuh menimpa mereka. (Dan Kami katakan kepada mereka): “Peganglah dengan teguh apa yang telah Kami berikan kepadamu, serta ingatlah selalu (amalkanlah) apa yang tersebut di dalamnya supaya kamu menjadi orang-orang yang bertakwa.” 

Al-‘Araf 7:171 

Dalam ayat ini juga, Allah Swt menyatakan Dia memerintahkan kaum Yahudi ini memasuki pintu gerbang kota Baitul Maqdis dengan keadaan tunduk dan merendah diri seraya mengucapkan, “hittah” yang bermaksud, “Ya Allah, hapuskanlah dosa-dosa kami kerana telah mengabaikan kewajipan jihad dan enggan melakukannya sehingga kami ditimpa kebingungan dan tersesat selama empat puluh tahun.” Namun mereka melanggar perintah tersebut, mereka masuk secara menginsut dengan punggung mereka sambil menyebut “hintah” yang bermaksud gandum. 

Allah Swt juga memerintahkan mereka memelihara kesucian hari Sabtu dan berpegang teguh menjauhi perkara-perkara yang diharamkan-Nya kepada mereka selagi hal itu disyariatkan untuk mereka. 

Mereka dilarang melanggar batas-batas dan pantang larang yang telah ditetapkan olehNya pada hari Sabtu dengan melakukan aktiviti keduniaan. Namun mereka melanggar perintah tersebut dengan melakukan tipu muslihat untuk mendapatkan ikan yang timbul di laut pada hari Sabtu. Hal ini diceritakan dengan panjang lebar dalam surah Al-A’raf. 

Ayat 155

فَبِمَا نَقْضِهِم مِّيثَـٰقَهُمْ وَكُفْرِهِم بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ وَقَتْلِهِمُ ٱلْأَنۢبِيَآءَ بِغَيْرِ حَقٍّۢ وَقَوْلِهِمْ قُلُوبُنَا غُلْفٌۢ ۚ بَلْ طَبَعَ ٱللَّهُ عَلَيْهَا بِكُفْرِهِمْ فَلَا يُؤْمِنُونَ إِلَّا قَلِيلًا

Maka (Kami laknatkan mereka) dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, dan mereka kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, dan mereka pula membunuh Nabi-nabi dengan tiada sesuatu alasan yang benar, dan mereka juga mengatakan: “Hati kami tertutup (tidak dapat menerima ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad)”. (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup), bahkan Allah telah memeteraikan hati mereka disebabkan kekufuran mereka. Oleh itu mereka tidak beriman kecuali sedikit sahaja (di antaranya).

Allah Ta’ala menyebutkan bahawa orang-orang Yahudi dilaknat, diusir dan dijauhkan daripada petunjukNya disebabkan dosa-dosa yang mereka lakukan. Antara dosa-dosa mereka ialah: 

  • Membatalkan perjanjian-perjanjian dengan Allah Ta’ala yang telah diambil daripada mereka. Padahal perjanjian dengan-Nya bukanlah perjanjian biasa. Oleh itu, ini adalah kesalahan yang amat berat kerana mereka telah berjanji untuk taat tetapi mereka telah memungkiri janji. 
  • Mereka telah kufur dengan ayat-ayat Allah Ta’ala yang disampaikan melalui Nabi Musa as dan nabi-nabi yang lain. Mereka tidak memandang ayat-ayat-Nya ‎sebagai hujjah dan bukti kekuasaanNya yang penting sehingga mereka berani menukar ayat-ayat-Nya sesuka hati mereka. 
  • Mereka membunuh ramai para nabi daripada kalangan Bani Israil yang tidak bersalah dan tanpa alasan yang kukuh. 
  • Mereka mengatakan hati mereka tertutup iaitu tidak dapat memahami dan tidak sedar apa yang disampaikan kepada mereka. Ucapan mereka ini sama dengan ucapan orang-orang musyrik yang disebutkan dalam firman-Nya: 

“Mereka berkata: ‘Hati kami berada dalam tutupan (yang menutupi) apa yang kamu seru kami kepadanya dan telinga kami ada sumbatan dan antara kami dan kamu ada dinding, maka bekerjalah kamu, sesungguhnya kami bekerja (pula).'” 

Fussilat 41:5 

Allah Ta’ala menyangkal dan membantah perkataan mereka bahawa bukanlah seperti yang mereka perkatakan itu. Sebenarnya Dia telah mengunci mata hati mereka disebabkan kekufuran dan dosa-dosa mereka. 

Ayat 156

وَبِكُفْرِهِمْ وَقَوْلِهِمْ عَلَىٰ مَرْيَمَ بُهْتَـٰنًا عَظِيمًا

Demikian juga (Kami laknatkan mereka) dangan sebab kekufuran mereka dan tuduhan mereka terhadap Maryam (dengan tuduhan yang amat dustanya.

Orang-orang Yahudi menuduh Maryam dan puteranya dengan tuduhan yang amat keji iaitu Maryam telah melakukan zina dan hamil daripada perzinaan tersebut. Sebahagian daripada mereka menambah bahawa Maryam telah berzina dalam keadaan haid. Semoga laknat Allah Swt atas mereka terus-menerus sehingga ke hari kiamat. 

Ayat 157

وَقَوْلِهِمْ إِنَّا قَتَلْنَا ٱلْمَسِيحَ عِيسَى ٱبْنَ مَرْيَمَ رَسُولَ ٱللَّهِ وَمَا قَتَلُوهُ وَمَا صَلَبُوهُ وَلَـٰكِن شُبِّهَ لَهُمْ ۚ وَإِنَّ ٱلَّذِينَ ٱخْتَلَفُوا۟ فِيهِ لَفِى شَكٍّۢ مِّنْهُ ۚ مَا لَهُم بِهِۦ مِنْ عِلْمٍ إِلَّا ٱتِّبَاعَ ٱلظَّنِّ ۚ وَمَا قَتَلُوهُ يَقِينًا

Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan: “Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih Isa Ibni Maryam, Rasul Allah”. Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang – salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa). Dan Sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham, mengenai Nabi Isa, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak (ragu-ragu) tentang menentukan (pembunuhannya). Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata; dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin.

Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang Yahudi menyangka mereka telah membunuh Nabi Isa as dan mereka menyebutnya sebagai rasul dalam bentuk menghina, melecehkan dan mengejek serta mengolok-olokkan dakwahnya. 

Lalu Allah Ta’ala membantah dan mematahkan perkataan kaum Yahudi tersebut.  Sebenarnya mereka tidak membunuh Nabi Isa as dan tidak pula menyalibnya.  Dia menghadirkan seorang lelaki lain lalu mereka menyalibnya kerana menyangka lelaki itu adalah Nabi Isa as. 

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang-orang Yahudi yang berselisih tentang penyaliban Nabi Isa as, sama ada mereka telah membunuh Baginda atau tidak, sebenarnya mereka benar-benar dalam keraguan. Mereka juga dalam kebingungan tentang hakikat perkara itu kerana mereka tidak yakin dan pasti bahawa adakah mereka telah membunuh Baginda dan mereka hanyalah mengikut sangkaan semata-mata. 

Ayat 158

بَل رَّفَعَهُ ٱللَّهُ إِلَيْهِ ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ عَزِيزًا حَكِيمًا

Bahkan Allah telah mengangkat Nabi Isa kepada-Nya; dan adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Allah Ta’ala menjelaskan bahawa Dia telah menyelamatkan Nabi Isa as daripada tangan-tangan kaum Yahudi dan mengangkat kepada-Nya. Firman-Nya: 

“(Ingatlah), ketika Allah berfirman: ‘Wahai Isa, sesungguhnya Aku akan menyampaikan kamu kepada akhir ajalmu dan mengangkat kamu kepada-Ku serta membersihkan kamu daripada orang-orang yang kafir, dan menjadikan orang-orang yang mengikuti kamu di atas orang-orang yang kafir hingga hari kiamat. Kemudian hanya kepada Aku-lah kembalimu, lalu Aku memutuskan diantaramu tentang hal-hal yang selalu kamu berselisih padanya.'” 

Ali ‘Imran 3:55 

Allah menyatakan bahawa Dia Maha Perkasa, tidak dapat ditandingi dan Dia tidak akan menzalimi orang-orang yang berlindung kepada-Nya. Dia Maha Bijaksana dalam segala ketetapannya. 

Ayat 159

وَإِن مِّنْ أَهْلِ ٱلْكِتَـٰبِ إِلَّا لَيُؤْمِنَنَّ بِهِۦ قَبْلَ مَوْتِهِۦ ۖ وَيَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ يَكُونُ عَلَيْهِمْ شَهِيدًا

Dan tidak ada seorang pun dari kalangan ahli Kitab melainkan ia akan beriman kepada Nabi Isa sebelum matinya dan pada hari kiamat kelak Nabi Isa akan menjadi saksi terhadap mereka.

Allah Swt menyatakan bahawa tidak ada seorang pun daripada kaum Yahudi dan Nasrani yang masih hidup setelah turunnya Nabi Isa as, melainkan akan beriman kepada Baginda sebelum Baginda meninggal dunia. Terdapat beberapa hadis tentang turunnya Nabi Isa as, antaranya ialah sabda Rasulullah saw: 

“Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, sungguh telah dekat waktunya akan turun di tengah kamu putera Maryam sebagai hakim yang adil. Dia akan mematahkan salib, membunuh babi, menghapuskan jizyah dan membahagikan harta sehingga tidak ada lagi seorang pun yang mahu menerimanya. Dan sujud sekali sahaja (pada waktu itu) lebih baik bagi mereka daripada dunia dan seisinya.” 

(HR. Al-Bukhari) 

“Kelak Nabi Isa akan berihram/bertalbiah untuk haji atau umrah atau berihram untuk kedua-duanya (haji dan umrah) dari lembah Ar-Rauha’. 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

Pada hari kiamat kelak, Nabi Isa as bersaksi atas kaum Yahudi bahawa mereka telah mendustakan dan tidak mempercayainya. Baginda juga bersaksi atas kaum Nasrani bahawa mereka telah menganggap dirinya sebagai putera Tuhan. Firman Allah Ta’ala: 

“Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: ‘Sesungguhnya Allah itu ialah Al-Masih putera Maryam.’ Katakanlah: ‘Maka siapakah yang dapat menghalang kehendak Allah, jika Dia hendak membinasakan Al-Masih putera Maryam itu bersama-sama ibunya dan seluruh orang-orang yang berada di bumi kesemuanya?’ Kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi dan apa yang ada di antara kedua-duanya, Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” 

Al-Ma’idah 5:117 

Maksud bersaksi dalam ayat ini adalah menjadi saksi kepada orang-orang mukmin tentang keimanan mereka dan menjadi saksi atas orang-orang kafir atas kekufuran mereka. Ini kerana setiap nabi akan menjadi saksi atas umatnya. Firman Allah Ta’ala: 

“Maka bagaimanakah (halnya orang-orang kafir nanti), apabila Kami mendatangkan seseorang saksi (rasul) dari tiap-tiap umat dan Kami mendatangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka itu (sebagai umatmu).” 

An-Nisa’ 4:41 

Qatadah mengatakan bersaksi atas mereka adalah Baginda telah menyampaikan risalah daripada Allah Ta’ala kepada mereka dan menyatakan penyembahan hanyalah kepada-Nya semata-mata.